KENAPA RUSIA
DIJADIKAN MUSUH
Perang Dingin berjalan dari tahun 1947 hingga ke tahun 1989. Di zaman Perang Dingin Amerika Syarikat memusuhi Rusia. Negara yang bernama Rusia ini memimpin satu kumpulan negara di Eropah Timur yang dipanggil Kesatuan Soviet atau Union of Soviet Socialist Republics - USSR .
Dalam Perang Dingin geopolitik dunia menjadi tegang. Dunia terbagi kepada dua blok. Blok Amerika membawa sistem ekonomi kapitalis. Manakala blok Rusia mengepalai sistem ekonomi sosialis. Dua sistem ekonomi ini bertelagah lawan berlawan mencari pengaruh.
Sistem ekonomi kapitalis yang di kepalai oleh Amerika bertuhankan keuntungan maksima. Manakala sistem ekonomi sosialis yang dipimpin oleh Rusia bertuhan kebajikan ramai.
Ketika Perang Dingin berjalan suasana dunia betul-betul tegang. Di Vietnam nasionalis Vietnam mengangkat senjata melawan Peranchis dan Amerika untuk menyatukan negara mereka. Rusia dan China di bawah Mao Zedong datang membantu Vietnam.
Di Latin Amerika Cuba mendirikan negara sosialis. Ini dilihat oleh Amerika sebagai satu ancaman. Tahun 1962 hampir berlaku ledakan bom nuklear apabila Rusia cuba memasang senjata nuklear di Cuba.
Tetapi jangan lupa sebelum Perang Dingin bermula Amerika dan Rusia adalah kawan. Dua negara ini bersama United Kingdom bekerjasama dalam kancah Perang Dunia Ke Dua melawan fasis German, Itali dan Jepun. Tiga negara ini bersatu mengalahkan ideologi fasis yang di kepalai oleh Nazi German.
Sebaik sahaja fasis German kalah dan perang dunia tamat Amerika telah menjadikan Rusia sebagai musuh. Permusuhan ini di tafsir tamat pada tahun 1989.
Hari ini USSR tidak wujud lagi. Hari ini yang wujud ialah Persekutuan Rusia. Persekutuan Rusia ini secara fizikal adalah negara terbesar di dunia, meliputi 6.6 juta batu persegi dan 11 zon waktu sepanjang 6,000 batu.
Bila tamat Perang Dingin dunia menjadi lega. Rusia di bawah pimpinan Mikail Gorbachev telah kembali berbaik-baik dengan Amerika yang ketika itu di bawah Presiden Ronald Reagan. Pengganti Gorbachev ialah Presiden Boris Yeltsin. Ketika Yeltsin menjadi Presiden pada tahun 1991 hingga 1999 Amerika dan Rusia di lihat cukup intim.
Di zaman ini keadaan dunia tenang. Tamatnya Perang Dingin terbuka harapan kebahagiaan kepada umat manusia sedunia.
Sesudah Yeltsin berundur muncul Vladimir Putin. Dari kerusi Perdana Menteri Putin terus menggantikan Yeltsin untuk menjawat kerusi Presiden Rusia hingga ke hari in.
Kepresidenan Putin tahun 2000 mengubah kembali hubungan Amerika- Rusia. Sekali lagi dari kawan Rusia dijadikan lawan. Rusia sekali lagi dijadikan musuh oleh Amerika.
Kenapa Rusia di jadikan musuh?
Ketika Perang Dingin dunia memahami kenapa dua blok ini bertelagah. Ketika itu dunia terbagi kepada dua blok. Blok Kapitalis di bawah Amerika dengan NATO sebagai benteng ketenteraan. Blok Sosialis di bawah Rusia dengan Perjanjian Warsaw sebagai benteng ketenteraan.
NATO didirikan pada tahun 1949 sebagai perjanjian pertahanan dengan 15 negara Eropah Barat termasuk Turki dan Greece untuk mempertahankan sistem ekonomi kapitalis.
Perjanjian Warsaw di dirikan pada tahun 1955 sebagai jawapan kepada NATO. Ianya didirikan oleh 7 negara Eropah Timur untuk mempertahan sistem ekonomi sosialis.
Dalam zaman Perang Dingin di luar Eropah Barat Amerika menebar pengaruh di Asia, Afrika dan Latin Amerika. Perkara yang sama dilakukan oleh Rusia. Di luar Eropah Timur Rusia menjala pengaruh di Asia, Afrika dan Amerika Latin.
Pertelagahan Perang Dingin ialah pertelagahan dua sistem ekonomi – kapitalis dan sosialis. Hasilnya lawan berlawan dua blok dunia ini membawa ketegangan kepada dunia.
Permusuhan Rusia-Amerika ini dibuktikan dengan perlumbaan dua negara ini membuat senjata. Saban tahun ada sahaja senjata jenis baru di buat. Jika Amerika meledakkan peluru berpandu jenis A. Rusia pula akan meledakkan peluru berpandu jenis B.
Pelbagai jenis senjata canggih di wujudkan oleh dua negara super ini. Persaingan dua negara ini bukan hanya dalam persenjataan. Dua negara super ini juga bertarung hebat untuk menguasai angkasa lepas.
Pada 12 April 1961 Rusia menghantar manusia pertama Yuri Gagarin
( 1934-1968) ke angkasa lepas dengan roket Vostok 1. Pada 20 Julai 1969 dengan Apollo 11 tiga angkasawan Amerika menjejak kaki ke bulan.
Pada hari ini saya sendiri selalu bertanya kenapa Amerika memusuhi Rusia. Kenapa Eropah memusuhi Rusia. Pertelagahan dua sistem ekonomi – kapitalis dan sosialis - hampir tidak wujud.
Hari ini bukan Parti Komunis yang memerintah Rusia. Putin bukan dari Parti Komunis. Ketika Putin menjadi Presiden Kesatuan Soviet Sosialis tidak wujud lagi. Perjanjian Warsaw telah dibubar semenjak 1991.
Sistem ekonomi sosialis hanya tinggal saki baki. Sistem ekonomi kapitalis kini menjana ke seluruh dunia. Malah ada yang membuat pandangan bahawa evolusi manusia ini telah sampai ke tahap dimana liberal demokrasi kapitalis menjadi puncak akhir rupa bentuk kerajaan.
Hakikatnya kenapa masih bermusuh dengan Rusia yang bukan lagi di bawah Parti Komunis. Persaingan bukan lagi kerana kapitalis lawan sosialis. Justeru pasti ada sebab musabab yang lain yang menjadikan Amerika memusuhi Rusia.
Saya melihat kembali persejarahan Eropah. Saya membaca bahawa satu ketika dulu Rusia juga satu empire feudal. Rusia dalam pemerintahan feudal mendominasi negara-negara di Lautan Baltic seperti Estonia, Latvia, Finland dan Lithuania. Juga mendominasi negara seperti Poland.
Justeru pada musim panas 1812 bala tentera Peranchis di bawah Napoleon. Datang menyerang Rusia. Napoleon mahu memaksa Raja Rusia Tsar Alexander memberhentikan perniagaan Rusia dengan British yang menjadi musuh Peranchis.
Jelas kelihatan bahawa serangan Napoleon ini berpunca dari kepentingan ekonomi. Napoleon cuba memusnahkan ekonomi Rusia. Perang enam bulan ini berakhir dengan kekalahan Napoleon.
Pada Oktober 1917 Vladimir Lenin dengan Leon Trotsky dari Parti Bolsheviks arus kiri bersama kumpulan kiri yang lain telah menghapuskan pemerintah feudal Czar Nicholas 11 untuk mendiri Soviet Rusia. Negara baru ini menggunakan sistem ekonomi sosialis berasaskan ajaran Karl Marx.
Pada tahun 1941 sekali lagi Soviet Rusia di serang. German di bawah Hitler menyerang Soviet Rusia. Hasilnya German terpecah dua – German Barat dan German Timur. Rusia tetap kukuh hingga ke hari ini.
Ketika ini dalam bidang sains dan teknologi Amerika dan Rusia sama kuat sama hebat. Dalam persenjataan Amerika dan Rusia mendominasi dunia dengan senjata nuklear milik mereka. Begitu juga dalam perkembangan ekonomi Rusia dan Amerika memiliki rakan perniagaan di seluruh dunia. Malah rakan niaga mereka ada dari negara yang sama.
Tetapi geopolitik hari ini pada hemat saya lebih tegang dari zaman Perang Dingin. Lebih tegang dari zaman Krisis Cuba 1962.
Ketika krisis Cuba warga dunia diberi maklum tentang wujudnya apa yang di panggil Talipon Merah – Red Telephone - yang menghubungkan Presiden JFK dari Rumah Putih dengan Khrushev di Kremlin. Talian ini telah ditubuhkan pada tahun 1963 bertujuan untuk menghubungkan Pentagon dengan Kremlin.
Talipon Merah sebenarnya adalah konsep – bukan talipon berwaran merah. Konsep ini diwujudkan untuk mengadakan hubungan terus menerus antara pemimpin dua negara super ini untuk mengelakkan dari berlakunya ledakan nuklear.
Hari ini ada pemerhati politik yang berani mengatakan bahawa konsep Talipon Merah – Hotline – antara Amerika dan Rusia ini tidak lagi wujud.
Bayangkan Amerika hari ini memiliki 5, 044 peluru peledak senjata nuklear. Manakala Rusia memiliki 5,580 peluru peledak nuklear.
Dunia dan umat manusia dan bumi kita ini akan meledak hancur jika berlaku peperangan antara dua negara super ini.
Persoalannya kenapa Rusia dimusuhi walhal Rusia juga dari Eropah berkulit putih dan beragama Kristian.
Untuk mencari jawapan mari kembali melihat kenapa Napoleon menyerang Rusia. Jawabnya ialah ekonomi. Maka betul lagi sahih pandangan Karl Marx bahawa pergerakan umat manusia ini penjananya ialah ekonomi.
Kalau dulu sistem ekonomi kapitalis berlawan dengan sistem ekonomi kapitalis. Kali ini kapitalis melawan kapitalis.
Apakah dunia tidak sedar akan bahaya geopolitik pertembungan Amerika – Rusia hari ini. Apakah telah pupus para pemikir, para intelektual dan para ilmuwan untuk melihat betapa bahaya kita pada ketika ini.
Jawabnya tidak. Kumpulan pemikir, para intelektual dan para ilmuwan masih melimpah ruah dan masih ramai yang berupaya memberi pencerahan tentang bahaya geopolitik kita hari ini. Tetapi ada kuasa yang lebih besar dan lebih berpengaruh di belakang ketegangan geopolitik hari ini.
Lihat saja Perang Gaza dan Perang Ukraine berterusan. Kini akan masuk pula suasana baru di Syria. Saya tetap dengan pandangan bahawa tidak ada sesuatu berlaku tanpa di rancang.
Justeru siapa yang merancang semua ini? Sila tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/728930
tolak mekdi togok beer .. hidup palestin
BalasPadamPost modernis mencadangkan, bila manusia yang mengangankan utopia atau syurga dunia pasti akan sampai pada realliti distopia. manusia hilang pedoman. bentuk akhir peradaban manusia. akhir sekali, kitar manusia sampai ke penghujung. memusnahkan dahulu sebelum membina walhal bila dunia musnah, ia akan hilang selama lamanya.
BalasPadam