Rabu, 25 Disember 2024

MAULUD NABI ISA


MAULUD  NABI ISA


Saya menulis tulisan ini di ambang Maulud Rasul Nabi Isa.  Atau di kenali seluruh dunia sebagai  Hari Krismas. Saya amat gembira bila terbaca kenyataan Mufti Pulau Pinang  yang tidak melarang Bani Melayu penganut Islam untuk  sesama menyambut perayaan Hari Krismas. Amin

Saban tahun bila ada perayaan Deepavali, atau sambutan Tahun Baru China  ada saja para Agamawan yang melarang itu dan ini.  Tak boleh ucap selamat. Tak boleh sama merayakan nanti rosak akidah.

Ustad YouTube juga akan heboh mengingatkan  dan melarang orang Melayu untuk bersama merayakan  hari kebesaran lain agama.

Saya sendiri tidak ambil pot atas larangan apa pun. Perjalanan hidup saya tidak berlandaskan pandangan atau ajaran sesiapa pun. Jauh sekali ajaran Ustad YouTube.

Sebagai penganut Islam Budaya saya merayakan semua hari kebesaran agama apa pun. Malah saya merasa bangga dapat merayakan semua perayaan agama kerana negara kita yang memiliki banyak agama dan kepercayaan.

Saya berani memberi tahu disini bahawa bukan semua negara dalam dunia ini sama seperti Malaysia. Malah di Malaysia hari-hari kebesaran agama yang bukan Islam pun dirayakan dengan ada cuti umum.  Deepavali kita cuti. Hari Wesak kita  cuti. Tahun baru China kita cuti.  Hari Krismas kita cuti. Amin

Hari Krismas  25 Disember ini ialah hari kelahiran Nabi Isa.  Ertinya hari   Maulud Nabi Isa.

Bila hari Maulud Nabi Isa sampai maka saya pasti teringat pada satu kesah. Kesah saya dan kawan-kawan  yang ditahan di Kamunting di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). 


Kesah ini berlaku pada  malam Maulud Nabi Isa tahun 2003. Pada ketika itu  Tim Reformasi  – Tian Chua, Saari Sungip, Lokman Adam , Badrul Amin dan saya tinggal dalam Blok Dua B Kem Tahanan Kamunting Taiping. Awalnya pada 10 April 2001 kami berenam  di tahan di Kamunting tetapi  Ezam Mat Nor  ada kes lain maka dia telah di hantar ke   penjara Kajang. Tinggal kami berlima.

Tahun 2003 adalah zaman Nokia mendominasi talipon bimbit. Dalam bilik kami ada  talipon bimbit jenis Nokia di tangan Lokman dan Badrul Amin. Bagaimana talipon ini masuk satu kesah yang lain.

Ketika dalam tahanan saya  tidak ada talipon. Saya tidak berhubung dengan sesiapa pun. Kaum keluarga dari Jelebu agak jauh nak datang. Jarang saya ada pelawat. Yang datang kawan-kawan dari Universiti Bangsar Utama. Mereka semua klim sepupu sepepat dengan saya justeru dibenarkan melawat.

Tentang talipon bimbit ini saya agak lembam. Malah lepas keluar dari Kamunting pun saya tidak memiliki Nokia. Saya ini generasi Gatek – Gagap Teknologi. Saya menolak teknologi yang saya anggap akan mengganggu rutin harian saya.

Seingat saya pada tahun pertama di Kamunting   tidak ada Nokia dalam Blok kami. Bila masuk tahun ke dua Nokia sampai. Saya faham keinginan Lokman, Badrul dan Saari untuk berhubung dengan Sang Isteri dan anak-anak. Saya dan Tian  yang masih solo  tidak merasa  tertekan seperti yang lain.
Pada petang Rabu 24 Disember 2003 jam telah melintasi 9 malam. Pintu bilik dan pintu Blok telah dikunci. Semua senyap. Kami menjalankan rutin  harian kami. Duduk di katil masing-masing membaca. 

Ruang depan ada meja makan , ada kawasan berjemaah dan ada TV.  Saya tidak meminati TV.  Dari zaman berzaman hingga hari ini saya tidak memiliki peti TV. 

Bilik kami sebesar dua bilik darjah untuk lima sosok. Amat  lumayan. Kami tidak berasak-asak seperti tahanan Al-Maunah atau Kumpulan Mujahidin Malaysia.

Tertiba hampir jam 11 malam saya terdengar deringan kunci dari pintu Blok. Pintu kayu dan zink ini berbunyi bila hendak dibuka.  Muncul satu kumpulan enam Cik Gu datang masuk ke hadapan pintu bilik kami. Mereka bukan Cik Gu yang biasa dengan kami. Mereka ini pegawai keselamatan penjara.

Cik Gu adalah terminologi  untuk wadar pengawal penjara. Perkataan ini diguna pakai di seluruh  penjara di Malaysia. Saya rasa yang memperkenalkan istilah Cik Gu ini pastilah anak muda yang selalu di tahan di Pusat Serenti.

Cik Gu yang mengawal kami menghampiri pintu  bilik kami. Yang lain muka yang tidak kami kenali. Kami semua bangun  datang ke  hadapan pintu.

‘ Pemeriksaan... spot check ...nak periksa bilik...’ Suara kedengaran.

Kami di hadapan  pintu tak bergerak. Kami tidak benarkan mereka masuk. Saya rasa ini pasti arahan  Komandan Kem yang mahu membuat ‘spot check’. 

Atau mereka merasa  curiga dan syak bahawa kami  di Blok Dua B ada Nokia.

‘ Woit... tak tahu ke malam ini malam apa.... malam ini malam suci... nak periksa carilah malam lain... malam ini malam Krismas....’ Ini ayat dari Hishamuddin Rais.

Para Cik Gu memandang dan cuba  meredah masuk.

‘ Malam ini malam Maulud Nabi Isa... tak tahu ke... malam kudus... malam suci...  malam ini semua orang sembahyang....’  Saya bersuara lagi.

‘ Cik Gu... tak ingat ke ... di Baitul Mukaddis...di Juruselam ... Nabi Isa lahir malam ini... satu dunia sambut... nak periksa datanglaaa hari lain...carilaaa hari lain...’ Saya menguatkan hujah.

‘ Esok Krismas...’ Tian bersuara.

‘ Krismas... esok kem cuti...Cik Gu pun cuti sama ’ Badrul bersuara.

‘Lokman dan Saari  tegak berdiri. Saya rasa mereka telah sedar kenapa para Cik Gu ini sampai. Saya  memandang muka Lokman dengan harapan Nokia telah selamat.

Lalu saya terfikir Nokia ini  hendak disorokkan ke mana? Dalam bilik mandi ? Dalam tandas?  Dalam hal ini saya tidak tahu menahu. Hal menyorokkan Nokia ini pasti Lokman bijak.

Para Cik Gu masih gagal masuk ke bilik kami. Tian  dan Saari  berdiri di tengah laluan pintu menghalang. Badrul Amin dan Lokman di belakang mereka. Saya berdiri di belakang Tian. Kami semua menghalang Cik Gu masuk.

‘ Datanglaa hari lain.... bukan  malam  ini... malam Krismas...’ Ini suara Badrul Amin.  Ini suara sosok  seorang Agamawan.  Bukan macam suara saya suara sosok sekular   yang liberal.

Saya menggunakan istilah Maulud Nabi ini  untuk memberi ingatan  kepada sesiapa saja yang mengaku penganut Islam – terutama pada Cik Gu pada malam itu – untuk sedar bahawa Nabi Isa itu adalah juga Nabi yang kita percayai. Justeru kita sambut malam kelahiran beliau.

Dari apa yang saya baca Nabi Isa adalah diantara  25 Nabi yang wajib umat Islam kenali.

Saya masih ingat lagi Tian Chua telah dibekalkan  Kitab Injil dari kawan-kawan. Malah saya sempat membaca beberapa juzuk Kitab Injil  yang saya pinjam dari Tian Chua.  Dari bacaan  Kitab ini saya faham  akan malam kudus – malam ambang Krismas.

Malam kudus ini juga mengingatkan diri saya ketika berkelana di Eropah. Saya teringat akan Gereja Katolik  besar di tengah pekan Wavre tempat saya tinggal di Belgium.  Gereja besar ini tidak sampai dua ratus meter dari flet saya.

Saya teringat kembali  sebuah pementasan pendek kesah kelahiran Nabi Isa yang di pentaskan dalam ruang kedai di hadapan flet saya di Wavre.  Saya di pelawa menuntun teater Malam Kudus ini oleh kawan  Mat Salleh  Belgium yang tinggal di sebelah bilik saya.

Pementasan ini diadakan dalam ruang kedai kerana mereka ini dari mazhab Protestan dan bukan Katolik anutan resmi Belgium.

‘ Cik Gu malam ini malam Maulud laa...janganlah rosakkan malam ini.... esok Krismas.... nak check datang hari lain.... kami tak ke mana... kunci ada pada Cik Gu...’ Saya merayu.

Para Cik Gu berpandangan sesama sendiri. Saya tidak tahu siapa kepala mereka. Mereka ini bukan Cik Gu biasa yang menjaga kami. Mereka ini Pegawai Khas  untuk penjara Kamunting. Kalau dalam PDRM mereka ini adalah pegawai  FRU.

Tertiba mereka berpusing dan menghala ke pintu besar. Pintu bilik kami  mereka tinggalkan. Cik Gu yang menjaga kami malam itu tersenyum. Mereka terus  keluar dan hilang dari pandangan.

Kami tersenyum gembira.  Nokia Blok 2 B selamat. Ketegangan 20 minit selesai.

Untuk saya kesah ini akan terus  menjadi kenangan.  Malam Maulud Nabi Isa di Kem Kamunting tidak akan saya lupakan.  Setiap kali menjelang Krismas saya akan teringat kesah ini.

Saya tidak ada isteri. Tidak ada anak. Tidak ada cucu. Cerita Maulud Nabi ini saya wakafkan untuk sesiapa saja yang ingin merayakan Hari Krismas.

Selamat menyambut Hari  Krismas untuk semua. Selamat sampai tahun 2025. Amin. (TT)



TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/729833

















1 ulasan: