Rabu, 18 Disember 2024

PERANG DAN EKONOMI PERANG


PERANG DAN

EKONOMI PERANG


Bila saya menggarap tulisan ini  terdapat 350,00 warga tanpa rumah  di New York. Saban malam 147,518 dari mereka ini akan tidur di beberapa buah asrama yang disediakan oleh Majlis Kota New York.  Hanya yang bernasib baik dapat tidur di asrama ini. Yang lain bermalam di tepi jalan, berkhemah dalam taman atau tidur dalam terowong laluan kereta api.

Manakala di Carlifornia terdapat 154,641 warga tanpa rumah. Hakikatnya hampir  di semua kota-kota besar di Amerika pasti ada warga tanpa  rumah.

Mengikut data tahun 2023  terdapat 653,104  warga miskin kota di seluruh Amerika. Ini  angka mereka yang berdaftar tidak termasuk beribu-ribu lagi pendatang haram yang berkhemah tidur di pinggir kota. Mereka tidak termasuk dalam catuan.

Secara resmi dari data  tahun 2022 terdapat 37.9 juta atau 11.5 % warga miskin di Amerika. Miskin di Amerika di tafsir sesiapa saja berpendapatan di bawah 5,000 dolar setahun.

Jangan silap faham Amerika bukan setaraf dengan  India atau Nigeria atau Mesir. Amerika Syarikat dengan 50 buah negeri dalam  Persekutuan Amerika masih lagi negara terkaya dalam dunia ini. 

Sistem ekonomi kapitalis yang menjana ekonomi dunia ini kuncinya masih lagi di genggam Amerika walau pun di katakan China kini pesaing baru.

Statistik bulan November 2024 memperlihatkan wujud 756 sosok  bilionair di Amerika.  Hampir semua tidak kita tahu nama mereka kecuali Donald Trump dan Elon Musk.

Musk di laporkan  adalah sosok terkaya dalam dunia kita ini. Dia memiliki harta kekayaan berjumlah 439.4 bilion dolar.

Terdapat juga 22 juta – saya ulang – ada 22 juta  individu bertaraf jutawan di Amerika dari jumlah 334.9 juta warga.  Sah ramai orang kaya di Amerika.

Tetapi saban malam di kota-kota besar seperti New York dan Los Angeles kita akan melihat  warga Amerika yang papa kedana. Kontradiksi antara miskin dan kaya di Amerika cukup jelas. Yang miskin tidur bergelimpangan di jalan raya. Yang kaya menginap di kondo atau banglo diwilayah  mewah yang di kawal rapi.

Kontradiksi ini mustahil dapat disorokkan.

Apa yang saya jadikan persoalan ialah kenapa  negara yang begini kaya gagal menyelesaikan masalah kemiskinan yang menonjol. Soalan saya ini akan menjadi pertanyaan lucah apabila saya kaitkan 175 bilion dolar bantuan untuk Perang Ukraine.

Sejak perang bermula, Kongres Amerika  telah mengundi melalui lima rang undang-undang yang telah menyediakan bantuan berterusan kepada Ukraine. Paling baru pada  April 2024. Jumlah kuasa belanjawan di bawah rang undang-undang ini sering disebut oleh media -  $175 bilion dolar untuk Ukraine.

Dari portal organisasi anti-Zionis Defund Israel Now saya membaca  satu  tweet baru-baru ini. Isi kicauan ini amat menarik. Ianya memberi perbandingan apa yang boleh di lakukan dengan bantuan berbilion dolar dana ke Ukraine dan ke Israel.

Apa yang dana  ini boleh lakukan untuk Amerika?

1. Sebanyak $56 bilion boleh menghantar setiap warganegara Amerika ke kolej secara percuma.
2. Sebanyak $20 bilion  boleh menamatkan kehilangan tempat tinggal dan selesai masalah warga tanpa rumah.
3. Sebanyak $6 bilion boleh menamatkan hutang pelajar.
4. Sebayak $12 bilion boleh memberi penjagaan kesihatan percuma untuk yang memerlukan.

Justeru tidak masuk akal kenapa kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan. Kenapa rakyat sendiri merempat tetapi dana di hantar ke Ukraine dan ke Israel.

Apakah perkara ini tidak dilihat oleh para politikus, ahli Dewan Kongres atau Dewan Senat. Apakah Presiden Biden buta mata dan pekak telinga tidak melihat semua ini. Apakah media The New York Times, The Washington Post yang terhebat dalam dunia ini gagal memberita fakta ini. Stesen Tv CNN dan CBS turut sama gagal. Amin. 

Di mana hilangnya para pemikir dan intelektual dan pakar ekonomi Amerika hinggakan  hutang negara terus meledak naik.

Data hutang  negara Amerika Syarikat ialah $35.91 trilion dolar pada 5 November 2024. Hutang negara terdiri daripada hutang yang dipegang oleh orang ramai dan hutang antara kerajaan. Kira-kira 80% daripada hutang itu adalah hutang awam, termasuk hutang yang dipegang oleh negara asing.

Pada 15 November 2024  Reuters melaporkan- Pentagon – Jabatan Pertahanan -  gagal mengaudit bebas sistem perakaunannya untuk tahun keenam berturut-turut.

Dalam keadaan separa nazak ini kenapa Amerika masih mengagihkan dana untuk Ukraine dan Israel ?

Hujah Presiden Biden bila meluluskan dana ialah untuk keselamatan Amerika.  Warga Amerika di beritahu bahawa jika Amerika tidak mempersenjatai Ukraine atau Israel  maka  keselamatan Amerika akan diancam. Perang  Ukraine dan Perang Gaza mengikut logik Biden ialah untuk memastikan  tidak ada sesiapa yang akan  mengancam Amerika.

Bagaimana Ukraine dan Israel yang hampir 10 ribu kilometer jauhnya dari New York dapat menyelamatkan Amerika. Pasti tidak masuk akal.

Ketika  Bush dua beranak menyerang Iraq tujuan mereka ialah untuk membawa demokrasi.  Saddam Hussein di lihat sebagai musuh utama demokrasi. Justeru wajib di bunuh.

Biden juga memberikan hujah yang sama. Ukraine wajib di selamatkan demi demokrasi.  Walhal Presiden Zelensky telah membatalkan dua kali pilihan raya.

Akhbar berbahasa Inggeris tertua di Ukraine Kyiv Post telah menggantung penerbitan selepas 26 tahun kerana wartawannya menuduh pemilik, seorang oligarki yang berkuasa, "menyerang" mereka.

Kebebasan media di Ukraine paling corot.

Pada 2015 akhbar  The Guardian menggelar Ukraine sebagai "negara paling korup di Eropah". Menurut tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Ernst & Young pada 2017, pakar menganggap Ukraine sebagai negara kesembilan paling korup daripada 53 yang dikaji.

Tentang Israel saya tidak perlu menulis kerana Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah memaparkan fakta-fakta yang membuktikan Israel tidak ada bau-bau bacang  dengan demokrasi.

Amerika untuk terus mendominasi dunia memerlukan musuh.  Amerika pada ketika ini memilih Rusia sebagai musuh.  Sebagai musuh maka Rusia wajib di perangi. Rusia wajib di bom. Ekonomi Rusia wajib diporak perandakan. 

Siapa di belakang dasar ini.

Jawabnya mudah. Di belakang dasar ini ialah  MIC - Military Industrial Complex – industri senjata.  Pengaruh industri senjata ini ke atas politik Amerika telah diberitahu oleh Presiden Dwight Eisenhower .

Presiden ke 34  Amerika ini adalah bekas  jeneral lima bintang yang menjadi komander Tentera Bersekutu Eropah ketika Perang Dunia Ke Dua.

Pada 17 Januari 1961 Eisenhower telah memberi ucapan Selamat Tinggal kepada warga Amerika.   Dalam ucapan ini Eisenhower telah memberi ingatan akan bahaya pengaruh industri senjata.

‘ Tetapi sekarang kita tidak lagi boleh mengambil risiko penambahbaikan kecemasan pertahanan negara; saya telah dipaksa untuk mewujudkan industri persenjataan kekal dengan perkadaran yang luas. . . . Gabungan penubuhan tentera yang besar dan industri senjata yang besar ini adalah baharu dalam pengalaman Amerika. . . .Namun kita tidak boleh gagal untuk memahami implikasi besarnya. . . . Dalam jabatan kerajaan, kita mesti berwaspada terhadap  pengaruh yang tidak wajar, sama ada dicari atau tidak dicari, dari kompleks perindustrian senjata. Potensi untuk kebangkitan kuasa yang tidak sepatutnya wujud dan akan berterusan...’

Ini petikan ucapan yang dilafazkan  lebih 50 tahun dulu. Ucapan jujur dari bekas soldadu yang menjadi Presiden dua penggal. Bekas jeneral ini  telah memberi ingatan tentang bahaya pengaruh industri senjata. Hari ini terbukti  amaran dan ingatan Eisenhower itu telah terjadi.

Dasar luar Amerika  kini dikendalikan oleh industri senjata. Malah lebih tepat lagi politik Amerika hari ini di kendalikan oleh industri senjata.

Amerika Syarikat mempunyai hampir 800 pangkalan tentera di lebih 70 negara dan wilayah. Soldadu Amerika berada di merata tempat dalam dunia ini. Di Jepun: 53,246  soldadu , di Jerman: 35,188 , di Korea Selatan: 24,159 soldadu ,  di Itali: 12,405 dan di United Kingdom: 9,949 soldadu. 

Ini angka soldadu yang duduk di khemah dan memakai pakaian askar. Kita tidak tahu  berapa jumlah soldadu rahsia dan ajen CIA yang beroperasi di seluruh dunia.

Sekali lagi saya terangkan Kompleks industri ketenteraan (MIC) atau industri senjata ini memberi makna bahawa  wujud  gabungan tidak formal  antara individu dan organisasi yang terlibat dalam industri ketenteraan dan pertahanan swasta dengan kerajaan. 

Ada lima kontraktor "utama" Amerika yang  telah lama mendominasi senarai pengeluar senjata terbesar di dunia. 

Syarikat Lockheed Martin, Northrop Grumman, RTX, Boeing dan General Dynamics kekal  teratas rangking pembuat senjata  pada tahun 2000.

Syarikat senjata ini akan berusaha untuk memberikan pengaruh yang luar biasa ke atas dasar kerajaan. 

 Hari ini dasar kerajaan Amerika ialah Perang Berterusan – non stop war. Bagaimana syarikat  senjata ini berjaya mempengaruhi dasar kerajaan Amerika. Tunggu minggu hadapan.  (TT)


TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/729248



Tiada ulasan:

Catat Ulasan