Balu selar Anwar teruskan tindakan 'pengecut' sasar arwah suami
Balu kepada Daim Zainuddin yang meninggal dunia pada Nov 13 lalu membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana masih menyasarkan arwah suaminya susulan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa ia sedang mengkaji "jejak wang di luar negara" yang dikaitkan dengan bekas menteri kewangan itu.
"Kini, dengan pemergian Daim, tidakkah pengecut bagi Anwar meneruskan penipuan besar-besaran dan sandiwara siasatan ini, dengan membangkitkan tuduhan kononnya wujud 'jejak wang' dan lain-lain?" kata Naimah Khalid, sambil mendakwa Anwar dan SPRM cuba mencemar nama suaminya dengan mengulangi tuduhan "mencuri berbilion" tanpa memberikan butiran kesalahan.
Daim dan Naimah sebelum ini dihadapkan tuduhan gagal mematuhi notis SPRM mengisytiharkan harta, dalam apa yang disifatkan pasangan itu adalah sebahagian daripada penganiayaan bermotif politik yang didalangi Anwar.
Susulan kematian Daim, Naimah menggesa supaya pendakwaan diteruskan kerana suaminya menyimpan hasrat untuk membersihkan nama menerusi perbicaraan di mahkamah.
Peguam Daim, Gurdial Singh Nijar sebelum ini dilaporkan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mahu membersihkan namanya.
"Ketika dia berbaring sakit di atas katil, beliau menyatakan keperluan untuk membersihkan namanya daripada apa yang beliau anggap sebagai pertuduhan tidak berasas terhadapnya atas sebab yang dia tidak dapat jelaskan. Permintaan kami dan arahan kami (daripadanya) ialah supaya kes ini mesti diteruskan .
"Kami di pihak pembelaan mesti menjawab kes itu melalui pemeriksaan balas dan saksi-saksi kami,” kata Gurdial.
Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk membebaskan Daim daripada tuduhan tersebut.
Naimah hari ini mempersoalkan langkah SPRM untuk meneruskan siasatan terhadap Daim dengan mendapatkan kerjasama agensi antarabangsa menyiasat "jejak wang" di luar negara.
"Jejak wang apa?" soalnya. "Untuk menyiasat jejak wang, perlu ada kesalahan rasuah dilakukan terlebih dahulu. Jika tiada kesalahan, maka sesuatu aset adalah dikira sah dan hasil usaha keras sama ada di Malaysia atau di tempat lain."
Beliau berkata dalam usaha Anwar bersekongkol dengan Azam Baki menuduh Daim "mencuri berbilion", mereka tidak pernah memberitahu kesalahan yang dilakukan walaupun Daim berulang kali menulis kepada ketua pesuruhjaya SPRM itu.
"Sehingga akhir hayatnya, mereka gagal memberikan sebarang jawapan. Adakah ini adil?
"Adakah ia adil untuk melemparkan tuduhan tanpa bukti kepada seseorang demi memuaskan nafsu untuk membalas dendam? Islam menganggap fitnah sebagai dosa besar dan mereka yang melakukannya dilaknat di dunia dan akhirat," tambah Naimah.
Sambil menyifatkan Anwar seorang yang "tidak pernah serik menunjukkkan dirinya berpendidikan", Naimah merujuk kepada sebuah novel karangan Franz Kafka, "The Trial", yang menceritakan kisah seorang lelaki yang ditangkap lalu dibicarakan dari jarak jauh tanpa diberitahu apa jenayah yang dilakukannya.
"Hanya dalam pemerintahan diktator sahaja seseorang disiasat tetapi tidak diberitahu kesalahan mereka. Anwar, yang tidak pernah serik menunjukkkan dirinya berpendidikan, pasti pernah mendengar tentang Kafka.
"Di negara polis yang diperintah Anwar, seperti mana dalam buku Kafka, "The Trial", seseorang boleh dituduh berulang kali melakukan jenayah 'jejak wang' dan sebagainya, tanpa sekali pun diberitahu apa jenayah yang dilakukannya."
Yang peliknya bila orang Melayu kaya macam-macam tuduhan dilemparkan tapi bila bukan Melayu yang kaya gomen madani bisu seribu bahasa malah siap bagi lagi projek.
BalasPadam