KITA WAJIB
BERSEDIA
AMIN
Asia Tenggara berdepan risiko jerebu rentas sempadan teruk tahun ini
SINGAPURA: Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura mungkin berdepan jerebu rentas sempadan yang teruk dalam beberapa bulan akan datang selepas Asia Tenggara diletakkan pada tahap amaran merah berikutan peningkatan risiko jerebu, menurut Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA).
Dalam laporan "Haze Outlook 2026" yang dikeluarkan hari ini, SIIA mengenal pasti Ogos dan September sebagai tempoh paling berisiko, dengan ancaman itu diburukkan lagi oleh fenomena El Nino dan Dwikutub Lautan Hindi (IOD).
Tahap amaran merah tahun ini adalah hanya kali kedua penarafan sedemikian dikeluarkan sejak "Haze Outlook" diperkenalkan pada 2019, selepas penilaian sama sebelum ini dikeluarkan pada 2023.
Laporan itu menekankan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kembalinya keadaan El Nino pada 2026 serta kemungkinan berlakunya musim kering yang lebih teruk dan berpanjangan.
"Beberapa ahli kaji cuaca turut memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya IOD positif, yang boleh memburukkan lagi keadaan cuaca panas dan kering serta meningkatkan risiko kebakaran di seluruh Asia Tenggara," menurut institut itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena penerbitan laporan itu.
Pengerusi SIIA, Simon Tay berkata cabarannya adalah untuk memastikan amalan lestari dikekalkan di seluruh rantaian bekalan, termasuk oleh perusahaan kecil dan sederhana yang mungkin beroperasi di bawah tekanan ekonomi yang lebih besar.
"Banyak yang boleh dilakukan untuk mengelakkan senario paling buruk serta memperkukuh daya tahan iklim, keselamatan tenaga dan makanan serta kerjasama serantau," katanya.
Menurut laporan itu, Indonesia telah memperkukuh tindak balas institusinya terhadap kebakaran hutan dan tanah, termasuk melalui penubuhan "Forest and Land Fire Coordination Desk" baharu yang melibatkan pelbagai agensi, selain meneruskan usaha meningkatkan pemantauan, penguatkuasaan dan keupayaan komuniti dalam memadam kebakaran.
Laporan itu turut menegaskan bahawa pencegahan jerebu perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pengurusan tanah lestari dan penyesuaian iklim yang lebih luas.
"Kebakaran yang berlaku baru-baru ini di Johor dan banjir di Sumatera menunjukkan bagaimana keputusan berkaitan penggunaan tanah boleh mewujudkan kerentanan alam sekitar dan ekonomi yang lebih meluas di seluruh rantau ini," tambah laporan itu.
Selain itu, laporan berkenaan turut menggesa kerjasama ASEAN yang lebih kukuh serta pelaksanaan berkesan terhadap komitmen sedia ada, termasuk peningkatan pendanaan bagi pencegahan jerebu dan pengurusan tanah lestari, selain kerjasama yang lebih erat dalam kalangan pihak berkepentingan.
"ASEAN perlu mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam menangani cabaran ini ketika rantau ini memasuki musim kering yang berpotensi menjadi lebih teruk serta berdepan kesan jangka panjang perubahan iklim.
"Menyokong penyelesaian dengan pendanaan yang mencukupi akan menjadi faktor penting," kata Simon. – BERNAMA

Tiada ulasan:
Catat Ulasan