PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad kekal dipenjara enam tahun dan denda RM15.45 juta berhubung sembilan tuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan, sebulat suara membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Mohd Isa, 77, oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024.
Yang turut bersidang dalam panel berkenaan ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz selaku perayu dan Mohd Isa selaku responden diwakili peguam, M Athimulan.
Dengan keputusan itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu akan dibawa serta-merta ke Penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman penjara. Sebaik keputusan selesai dibacakan selepas sejam 40 minit, Mohd Isa sempat menoleh ke arah keluarganya yang berada di galeri awam sebelum diiringi anggota polis ke lokap melalui pintu dalam mahkamah.
Dalam penghakiman yang dibacakan Nordin, panel mendapati sabitan yang diputuskan hakim bicara (Mahkamah Tinggi) adalah betul dan selamat serta penemuan oleh mahkamah itu disokong oleh bukti berdasarkan peruntukan undang-undang.
"Kami mendapati dapatan hakim bicara adalah betul dan disokong oleh keterangan serta selaras undang-undang. Responden gagal menangkis anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka elemen pertuduhan berhubung pembelian hotel telah dibuktikan di bawah Seksyen 16(a)(A) melampaui keraguan munasabah.
"Mahkamah Rayuan telah tersalah guna prinsip dan gagal menilai fakta relevan dalam kes ini. Justeru campur tangan mahkamah adalah wajar, maka rayuan pendakwaan dibenarkan dan pembebasan responden diketepikan. Keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan responden di atas kesemua sembilan pertuduhan dikembalikan.
"Kami hanya perlu menegaskan semula bahawa rasuah adalah suatu perbuatan keji yang boleh memusnahkan sesebuah negara. Hukuman penjara dan denda juga dikembalikan dan responden turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama dua tahun (bagi setiap tuduhan jika gagal membayar denda). Dengan ini perintah pemenjaraan dikeluarkan," katanya.
Mahkamah Rayuan sebelum ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, dengan tambahan 18 tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.
Isa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 yang mendorong pihak pendakwaan merayu ke Mahkamah Persekutuan. Panel hakim mendengar rayuan itu pada Khamis lalu dan menetapkan hari ini untuk keputusan.
Terdahulu pada 2018, Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.
Ia sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak pada harga RM160 juta oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.