SELAMAT MERAYAU
DI BAZAR RAMADAN
LAPAR DAN PUASA
Wajib disedari, merayakan puasa ini bukan hanya amalan penganut agama Islam. Penganut agama Hindu sebelum membayar niat membawa Kavadi di Batu Caves juga akan berpuasa. Penganut agama Yahudi juga berpuasa untuk menyambut hari kebesaran Yom Kippur. Dalam pelbagai mazhab, agama Kristian ada ritual berpuasa.
Ada arahan agama yang melarang makan dari subuh hingga senja. Ada yang berpuasa setelah makan tengah hari seperti amalan harian para rahib dan sami yang tinggal di Pagoda. Ada berpuasa yang hanya menolak daging dan makanan berdarah. Dari semenjak zaman kuno lagi, amalan berpuasa ini telah wujud. Manusia merasa bersyukur dan berterima kasih kepada Yang Maha Esa kerana telah memberikan mereka nikmat makanan.
Dari segi teorinya, jika kita tidak makan dan kita berlapar, maka kita akan merasakan betapa nikmatnya makanan yang ada disekeliling kita. Dari segi teorinya, apabila kita berlapar, maka sang penganut agama akan berupaya untuk merapati Tuhan. Dari segi teorinya dikatakan jika kita berpuasa, maka kita akan sama merasakan bagaimana kelaparan selalu menyerang fakir miskin yang tergelincir makan.
Semua hujah dari teori-teori ini telah saya dengar ketika saya membesar. Teori ini makin banyak kedengran ketika bulan Ramadan. Teori-teori ini semuanya dilihat indah dan suci jika kita memandang sekali imbas. Paling tepat pandangan teori ini ialah, apabila berpuasa kita akan merasa lapar. Apakah kelaparan berpuasa, ini akan membuka kesedaran hakiki untuk memahami makan, makanan, lapar dan kelaparan.
Kita sering melihat imej-imej kelaparan. Imej-imej ini atau lebih tepat lagi imej kebuluran di Ethiopia telah sama-sama kita lihat pada tahun-tahun 80-an dahulu. Kini, imej-imej ini telah beralih pula ke Somalia dan ke Sudan. Imej rangka anak-anak kecil yang kebuluran tidak makan ini tidak ada sangkut paut dengan amalan agama atau berlapar untuk mencari ketenangan hidup. Apa yang berlaku ialah kemarau yang melanda dan telah memusnahkan tanaman.
Keadaan ini diburukkan lagi oleh kacau bilau politik atau perang. Justeru, saya ingin menimbulkan satu jalur wacana tentang lapar. Dari mana lapar datang? Kenapa ada yang lapar tanpa makanan? Kenapa ada pula yang ditimbuskan oleh bertimbun-timbun makanan. Rasa saya pada bulan Ramadan ini adalah masa ketika yang tepat untuk kita semua memahami kenapa ada yang lapar, ada yang berlapar, ada yang sengaja nak lapar.
Kita selalu terbaca bagaimana kemarau berpanjangan yang mengakibatkan kebuluran. Imej dan kisah-kisah kebuluran ini sering kita ketahui datangnya dari Afrika. Pada tahun-tahun 90-an dahulu, warga dunia juga telah mendengar tentang kebuluran yang telah menimpa Korea Utara.
Kalau di Ethiopia dan Somalia punca kebuluran ialah kemarau, manakala di Korea Utara puncanya ialah banjir. Kering-kontang akan membunuh semua tanaman. Bumi yang subur akan menjadi kering berdebu. Bila diampuh oleh air, tanaman juga akan mati. Tak ada air manusia akan kebulur tak makan. Terlalu banyak air pun, manusia akan kebulur tak makan. Lihat betapa paradoksnya perjalanan hidup manusia ini.
Sebenarnya, kebuluran yang wujud dalam dunia hari ini adalah hasil kraftangan manusia sendiri. Tidak betul apabila dikatakan bahawa dunia hari ini kekurangan makanan. Ini satu pembohongan. Dengan teknoloji tercanggih, dengan teknik pertanian moden - manusia seluruh dunia tidak perlu puasa untuk kebulur. Pengeluaran makanan dalam dunia ini mencukupi untuk warga dunia - ini kenyataan dari FAO - lembaga makanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Untuk memahami kenapa ada lapar mari kita lihat Sudan. Negara di selatan Mesir ini dilintasi oleh Sungai Nil. Ini menjadikan Sudan wilayah bumi yang subur. Mengikut kajian, penghasilan makanan di Sudan sahaja telah cukup untuk memenuhi keperluan makanan untuk semua negara Arab. Tetapi ini hanya kajian. Hakikatnya, kebuluran sering menyerang Sudan.
Kebuluran di Sudan ini bukan kerana Tuhan murka. Bukan kerana warga Sudan dilaknati. Memang betul ada bencana alam. Tetapi bukan ini yang menyebabkan kebuluran - tetapi perang merebut 'wilayah minyak' yang tidak diumumkan kepada dunia - sedang membulurkan warga Sudan.
Kemudian kita beralih ke India. Dari India kita selalu terlihat imej anak kecil yang tulang-tulang rangka tidak terbarai kerana diikat oleh kulit badan. Dengan mata buntang Sang Ibu yang mengendong anak ini sedang menghulur tangan, meminta-minta serpihan makanan. Kadang-kala kita melihat imej ratusan orang-orang kampung kurus kering sedang duduk mencangkung kerana telah berpuasa berbulan-bulan tanpa sahur atau tanpa jemputan ke bufet Ramadan.
Apa yang jelas disini bukan dunia kita ini kekurangan makanan. Tetapi hakikatnya pengagihan makanan ini tidak adil. Ketidakadilan pengagihan makanan inilah punca utama yang menimbulkan kebuluran. Bencana alam dan kacau bilau politik hanya rempah rampai untuk menambahkan lagi kebuluran itu.
Imej ibu dan anak-anak yang kurus kering dari India atau Afrika itu sebenarnya tidak menggambarkan apa yang sebenarnya terjadi. Gambar kebuluran di Darfur tidak menceritakan bagaimana orang-orang kampung telah dihalau keluar kerana dibawah tanah pertanian mereka terdapat telaga minyak. Begitu juga di India, orang-orang kampung ini dipaksa pindah kerana tanah-tanah pertanian mereka kini diperlukan untuk dijadikan wilayah perindustrian. Atau tanah pertanian mereka di rampas tuan tanah atau tergadai kerana hutang.
Kaum tani ini bergantung hidup kepada tanah. Walaupun mereka tidak memiliki tanah yang luas, tetapi mereka boleh bercucuk tanam untuk mendapat bahan makanan. Ramai pula yang tidak bertanah - mereka ini menjual tenaga bekerja mencari makan menjual tenaga sebagai buruh tani di ladang dan sawah. Apabila tanah-tanah pertanian ini diubah suai untuk dijadikan bandar baru atau kawasan perindustrian, maka disinilah munculnya bibit kelaparan.
Untuk memahami bagaimana miskin dan lapar datang, mari kita lihat apa yang sedang berlaku di Johor. Pada ketika ini, seramai 30,000 orang kampung - nelayan dan petani - di Pengerang sedang diancam. Sebanyak 18 buah kampung dengan keluasan 22,500 ekar tanah pertanian akan diambil alih oleh kaum pemodal untuk dijadikan loji, takungan dan tempat penapisan minyak. Orang orang kampung di Pengerang sedang dipaksa untuk menjualkan tanah kampung mereka.
Kalau di India atau di Sudan, orang-orang kampung ini akan hanya dihalau keluar. Tanah mereka akan dirampas. Di Malaysia ini, kalau mengikut hati sanubari para Towkay dan Si Pemaju, orang-orang kampung di Pengerang ini juga wajib dihalau dan tanah mereka wajib dirampas. Ini untuk mengurangkan kos pembinaan dan mengurangkan duit pampasan.
Pak Tani yang telah beratus tahun bekerja mengeluarkan makanan kini wajib dipindah entah kemana. Nelayan yang sebati dengan laut kini dinaikan ke darat. Pak Tani dan Sang Nelayan ini menghasilkan makanan. Mereka tidak pernah lapar. Mereka tidak pernah kebulur. Tetapi apabila punca penghasilan makanan mereka dirampas, maka dari sinilah punca kelaparan dan kebuluran bermula.
Kita jangan merasa angkuh untuk berbangga dan mendabik dada berkata - tidak ada kebuluran di Malaysia. Jangan lupa dengan detik sejarah. Pada bulan Disember tahun 1974 dahulu, ribuan orang-orang kampung, warga di Baling, Kedah telah keluar ke jalan raya kerana kebuluran. Mereka lapar tak makan kerana mereka miskin.
Justeru, pada anggapan saya, ceramah-ceramah Pak Lebai dan Pak Ustaz yang cuba menerangkan hikmah berlapar dalam bulan puasa ini - tidak mencukupi. Merasakan kelaparan para fakir miskin setahun sekali tanpa memahami kenapa mereka lapar dan bagaimana lapar datang adalah kuliah setengah jalan. Kelaparan fakir miskin yang kita rasakan ketika kita berpuasa pada bulan Ramadan ini tidak lengkap. Kita bukan hanya berkongsi merasa lapar tetapi seharusnya kita juga tidak mahu lagi sesiapa pun terus merasa lapar.
Berpuasa di bulan Ramadan ini juga seharusnya membukakan fikrah kita untuk menjangkau lebih mendalam. Berupaya untuk melihat satu-satu fenomena itu bukan hanya dikulit atau dibaju. Kelaparan yang sedang dirasakan ketika berpuasa seharusnya menenangkan fikrah untuk berupaya melihat alam secara menyeluruh.
Melihat alam ertinya melihat bagaimana bencana alam - banjir, taufan, kemarau - sebenarnya lahir dari rekacipta manusia itu sendiri. Bencana alam yang melahirkan kebuluran itu juga adalah hasil tanda kerakusan manusia merobek alam. Jika ketenangan fikrah yang dicari oleh penganut Islam dalam bulan Ramadan ini gagal untuk memaksa kita bertanya diri - kenapa ada yang lapar? Atau mencari jawapan kenapa ada yang lapar - walhal makanan bertimbun-timbun. Maka berlapar itu hanya dilakukan untuk berlapar kerana mengekor semua warga Islam yang berlapar pada bulan ini.
Jika warga Islam berpuasa hanya untuk merasakan lapar tanpa memahami agenda kemiskinan, maka berlapar sedemikian hanya ritual. Para ritualis yang lapar ini adalah mangsa terbaik untuk tuan empunya hotel yang sedang menyediakan 'Buffet Ramadan 100+++' yang telah mendapat tauliah 'halal' dari Jakim.
NOTA
tulisan ini telah pernah disiarkan
dalam yahoo international
pada 26 julai 2012
-------
Tuan TT yg dikasehi,
BalasPadamsaya ingin menjemput tuan datang berhujah dan bertazkirah tentang lapar di surau al falah, danau kota, setapak.
jam 10 mlm. tarikhnya akan ditetapkan kemudian.
jika tuan sudi, tinggalkan msg di blog saya.
Hai TT, kuat pula kau berceramah di bulan puasa ni. Kau puasa tak?kah..kah..kah..Membebel kau siang dan malam!Aku tahu ramai penganut di Malaysia ni hanya puasa diwaktu malam saja, siang tak puasa!kah..kah..kah..Adakah Sang TT termasuk dalam golongan gerombolan tersebut?
BalasPadamBerpuasa bagi banyak orang hanya mendapat letih saja!kah..kah..kah..Masakan tidak, bila tiba bulan puasa Sang TT dan gerombolannya akan ada satu tugas baru, iaitu merayau-rayau dari satu pasar Ramadhan ke pasar yang lain.Bukanya nak tafakur di dalam masjid untuk mengingat Tuhan. Dengan berlapar ini, ramai penduduk dunia hanya mengingati makanan-makanan yang enak saja untuk dijamah. Oleh itu adalah baik jangan puasa kalau macam tu. Hari-hari ingat makanan saja,macam TT,Kah..kah..kah.
Memang betul kebuluran akan melanda Malaysia sedikit masa lagi. Apabila gerombolan United Malays National Organisation diberi kuasa untuk tempoh 5 tahun lagi,terima kasih pada SPR yang penipu tu, mamposlah kita rakyat Malaysia. Tanah sawah dan ladang akan dihapuskan demi projek-projek yang tak mendatangkan apa-apa faedah pada rakyat tempatan.Pekerja impot yang terlalu ramai sekarang sangat merimaskan dan buat menyemak sahaja di Malaysia, begitu juga bagi TT yang selalu merayau-rayau di kota-kota dan desa-desa.Kah..kah..kah..
Jika sawah yang subur di rampas dan dijadikan loji-loji minyak,percayalah negara ini sudah hampir ke zaman kebuluran. Negara-negara Asia yang lain enggan mengekspot beras ke Malaysia, akibat hanya untuk keperluan negara mereka sendiri. Maka Malaysia akan senasib seperti Somalia.Waktu itu TT tidak buat demo lagi sebab semua dah tak nak berdemo kerana dah kebulur................!kah..kah.kah.
Berpandulah pd wahyu kerena syaitan akan tarik mnsia ke nereka kecuali mereke yg ikhlas tunduk kpd semua wahyu yg dturunkn . Firman Allah swt , "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnyaSyaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." (Al-Baqorah 208)
BalasPadamtt ni kekdg lebih berpandangan jauh dia dr ustaz diploma. spjg bulan puasa ni tak habis cerita pasal lapar dan dahaga secara lokal. dr tazkirah sampai khutbah jumaat cerita psl kebaikan bulan ramadhan. klu ilmu tak sampai peringkat global mcm ni lah jadinya. malas membaca, asyik dgr sebelah pihak sj.
BalasPadambenarlah alQuran - segala kerosakan dibumi adalah hasil tangan manusia.
realitinya manusia di bumi ni kelaparan sebab wang......
BalasPadamtiada wang berpuasalah kau...
ada wang berpuasa sebulan untuk ramadan saja....
ada wang lagi beli banyak-banyak juadah berbuka kat param...
ada wang lagi shopping sakan-sakan untuk raya pulak...
ikat la perut kau selepas raya pulak kan...
Pencerahan dari pandangan yang berbeza..TT kalau la ada ustaz yang bertazkirah macam TT aku yakin umat melayu islam kat malaysia ni tak ramai yang bodo..
BalasPadamTuan TT,
BalasPadamSetuju..
Dunia kapitalis cukup kejam..Itu suatu hakiki. Luaskan minda kita untuk hapus ketidakadilan..Cukong2 dan para pemimpin perembat harta negara, free loaders patut cermin2kan diri mereka.
Tuan TT,
BalasPadamDunia kapitalis cukup kejam..Itu suatu hakiki. Luaskan minda kita untuk hapus ketidakadilan..Cukong2 dan para pemimpin perembat harta negara, free loaders patut cermin2kan diri mereka.
woit !!!! pergi lancow ngan kominis. Hidup stalin. Hidup tuan guru Mao Tse tong.
BalasPadamRitual dah menjadi Festival Makan Di Bulan Ramadhan.
BalasPadamEkonomi....?
Buat duit hasil kejahilan orang melayu....?...ini sudah kira bagus....letak tanda halal....kita rekrut apa yang patut direkrut untuk membodohkan orang melayu terutamanya Umno(B)....Kah,kah,kah....
Kurma...!!!....tompok,tompok taik unta.....
TT...lu punyer tulisan ini mmg bikin hati gua semakin sedih.. lu cuba menunjuk2kan yg umat islam itu bebal dan semakin bodo-poyo berlapis2..
BalasPadamJgn persoalkan kemonopolian kebenaran oleh ustat2 dan lebai2..kebenaran tidak dimiliki oleh mana2 agama melainkan islam..agama lain boleh melancap saja.. tak ada nilai di sisi Allah..
Lu cuba pula mengupas sesuatu amalan puasa yg langsung xder sesiapa menghayati.. kemampuan fikrah ini tidak boleh dipersoal oleh fikrah muslimin selama ini akan keabujilingan khidmat berpuasa... puasa yg ada hari ini sama ada dari lebai, ustat dan pemuka2 agama serata dunia yg mempunyai kuasa hanyalah dilihat palsu belaka kerana tidak mampu membaiki penghayatan puasa dan ramadhan krn hasil meniru2 dan ciplak hasil ugama yg disampaikan ulamak2 lepas tanpa boleh persoalkan mengapa umat2 itu berlapar..
Meniru berlapar ini juga satu keseronokkan dalam ibadah dan lu tatau yg perasaan indahnya stim menjadikan diri dalam keadaan pura2 bodoh bebal ni..kahkahkah..
ye
BalasPadamlepas tu bising ayam mahal kat tesco.ayam tesco dalam peti beku tu datangnya dari mana?biak dalam tesco jugakkah atau dari tanah2 kampung yang orang2nya dihalau keluar?dunia sudah terbalik,si bebal semakin kaya dan sicerdik papa kedana.
Amatlah sia-sia jika berlapar tanpa memahami konsep kesama-rataan terhadap golongan fakir di bulan puasa ini. Apalah gunanya berlapar serta menahan hawa nafsu sepanjang hari jika kos berbuka puasa selama 30 hari sama banyak dengan kos barang dapur selama dua bulan di bulan lain. Apalah gunanya jika memahami erti lapar dan kesusahan si fakir tapi masih juga berasak-asak ke SOGO di hujung Ramadhan untuk mengenyangkan nafsu beli belah atas alasan meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa kerana telah dikaburi dengan tawaran "setahun sekali" tokey2 gedung. Sedangkan menyambut kemenangan dan melakukan pembaziran adalah dua perkara yang sangat2 berbeza. Jika kelazatan ayam percik dan smoothies banana dari chef terkenal sewaktu berbuka puasa kembali membutakan fikrah yang telah bersusah-payah berjuang di siang hari sehingga tiada pemahaman terhadap konsep kesama-rataan dan kebuluran si fakir miskin, maka jauh sekalilah untuk fikrah memahami dan mendalami sejarah asal usul menatang yang dipanggil kemiskinan ini.
BalasPadamLARI TAJUK SIKIT..
BalasPadamsemua org skg sibuk dgn keadaan di mesir. media-media juga memaparkan situasi runcing di mesir. BBC, CNN, Bloomberg, sampailah ke media tempatan termasuk blog dan segala jenis nama media membincangkan tentang mesir. ini juga adalah rancangan kapitalis supaya semua jiwa menjurus ke mesir. tp tiada siapa yang ambil port tentang burma ke, or mane2 kekejaman yg lg violent yg sedang berlaku secara terancang di mana2 sudut bumi.
cuba teka dimanakah perancang2 kapitalis sedang bermesyuarat sementara semua jiwa dihadapkan ke mesir?
cuba teka apa yg sdg dibincangkan oleh mereka sementara jiwa2 melayang ke mesir?
cubalah teka woi!
permainan catur yg hampir check mate!
Huh huh huh...menangis baca pamahaman lu uncle...mmm tak penah pulak akal ku sampai ke tahap itu...selalunya pemahaman hanya untuk diri sendiri tanpa penah mengenal secara menyeluruh...uncle Sham...malam ni lu buat gua rasa kecik sesangat....pencerahan terbaik di malam yang indah....syukur syukur masih diberi peluang membaca....terus dan terus menyampai...
BalasPadamTima kasih abg isham kerana siarkan semula tulisan ni.Kelas atas lagi dari prihatin atau genius atau nobel atau mende2 gitu. Tok2 guru dan prof2pun kena baca. Bro, ada can tak nak buka posa dengan lu?
BalasPadamFardu ain dan fardu kifayah..
BalasPadamSalam Ramadhan,
BalasPadam~ Apa yg. diluar mencerminkan apa yg didalam kita. ~
Pasar Ramadhan, kuih & pakaian Raya semuanya adalah ritual yg didorong oleh perniagaan & keuntungan. Adakah kita hanya perlu insaf & bermaafan sebulan sahaja dalam setahun?
Puasa dalam ertikata yg sebenarnya datang dari istilah Sanskrit iaitu "Puwasa" yg bermakna 'pendekatan'. Apabila kita mengupas lapisan2 nafsu serakah seperti makan, minum, seks, bermegah, dsb., kita akan mendekati 'Zat' Allah yg wujud ditengah2 realiti kita. Maka inilah pintu kepada kehadiran, keilmuan, kekuasaan & kasih Allah SWT.
Konsep berpuasa dgn bertaffakur adalah satu kaedah bagi mencari jawapan yang tersedia ada pada Maha Pengetahuan Allah yg 'dekat drp urat leher' kita.
Pendita2 zaman silam termasuk rasul2 spt Musa, Isa & Muhammad SAW kesemuanya bepuasa sepanjang 40 hari serta bertaffakur sehingga mendapat 'wahyu' atau 'ilham' yg terpancar drp 'Zat' Allah yang Maha Mengetahui dari dalam diri mereka sendiri.
Manakala Allah lebih 'dekat drp urat leher' manusia [Q50:16], maka tiada makam yg lebih suci drp ruh yg berada didalam jasad kita sendiri.
~ Khalas, Cermin Hikmat