KEMPEN TANDA TANGAN
GARIS POLITIK ANAK MUDA
“ Saya, yang menandatangi ini dengan
penuh kesedaran adalah ahli Perhimpunan Nasional untuk Rakyat Mesir, dengan ini
mengumumkan tidak lagi percaya kepada
Presiden Republik, Dr.Mohamed Morsi Isa al-Ayyat, dan meminta diadakan pilihan
raya presiden sacepat mungkin. Saya berpegang tegoh dengan garis revolusi.
Berusaha untuk menjayakan revolusi. Akan
menyebarkan garis revolusi kepada orang ramai.
Ini bertujuan untuk mendirikan
sebuah masyarakat yang bermaruah, adil dan merdeka. “
Dengan
ayat-ayat ini anak-anak muda Mesir telah memulakan kempen tanda tangan untuk
menuntut Presiden Morsi letak jawatan. Kempen ini berpayung dibawah
kumpulan yang memanggil diri mereka TAMAROD
atau MELAWAN atau BERONTAK.
Minggu
lalu saya telah cuba menerangkan latar tentang apa yang sedang berlaku di
Mesir. Masyarakat dunia telah menerima
hakikat bahawa telah berlaku rampasan kuasa di Mesir. Kutukan demi kutukan
telah diterima. Presiden Morsi telah dan
masih ditahan oleh tentera. Kerajaan sementara telah ditubuhkan. Satu
Perlembagaan baru sedang dibuat. Pilihanraya Presiden dijanjikan akan
dijalankan sacepat mungkin. Tentera berjanji akan mengundur.
Ketika
saya menulis ini kumpulan penyokong Morsi masih lagi berhimpun di sekitar
Masjid Rabiah Al-Asdawiyah. Dalam masa yang sama berpuluh ribu anak muda
Tamarod masih juga berhimpun di Dataran Tahrir.
Jumlah
warga Mesir yang gugur terus bertambah. Ada yang menjadi mangsa soldadu. Ada
yang terbunuh dalam pergaduhan antara penyokong dan penentang Morsi. Hakikatnya
keadaan politik Mesir dan ekonomi Mesir masih belum stabil. Suasana masih cair
dan tegang. Bulan puasa ini disambut oleh warga Mesir dengan penuh tidak ketentuan. Ditambah pula dengan
melonjaknya harga bahan makanan.
Pada
hemat saya, bukan satu yang senang untuk memahami apa yang berlaku di Mesir.
Negara ini adalah salah sebuah negara tertua yang penuh dengan sejarah. Mesir –
saperti China dan India – adalah salah sebuah negara membawa tamadun dan pencerahan kepada umat manusia.
Mesir selain
dari memperkenalkan beer dan alkohol telah juga memperkenalkan kosep Tuhan dan konsep Yang
Maha Esa kepada umat manusia. Ribuan tahun dahulu tamadun ini telah diperintah oleh Firaun, telah diperintah oleh Raja, pernah di
jajah oleh Rome Kuno, Napolen pada tahun
1798 datang menaklok Mesir. British,
Itali dan Peranchis – kuasa imperialis Barat ini – semuanya pernah menjadi tuan
kepada Mesir.
Politik
Mesir moden bermula dengan Revolusi 1952 apabila soldadu merampas kuasa dari Raja. Kumpulan tentera
yang memanggil diri mereka Free Officers
Movement telah menghalau Raja Farouk
dari bumi Mesir. Rampasan kuasa tentera ini telah melahirkan Republik Arab Mesir.
Gamal
Abdel Nasser menjadi presiden kedua pada
tahun 1956. Nasser sama saperti Presiden
Sukarno adalah kaum nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan
dan bangun melawan penjajah. Nasser bekas seorang kolonel yang anti
imperialis yang telah membawa garis politik progresif ke dalam
politik Mesir dan bumi Arab. Justeru
kita akan gagal memahami peranan soldadu
dan tentera Mesir jika kita hanya berupaya mengambil contoh tentera-tentera dari negara bekas tanah jajahan British.
Contohnya
: Dari segi sejarah Askar Melayu diRaja
didirikan oleh British bukan untuk melawan British tetapi untuk menjaga
kepentingan British. Askar Melayu bukan melawan British tetapi melawan ‘orang
yang melawan British’. Ini tidak berlaku
dalam budaya soldadu dan tentera mesir. Tentera Mesir telah bangun bertamarod
menentang British. Tentera Mesir telah bertamarod menghalau kaum feudal. Apa
yang saya maksudkan ialah soldadu Mesir
ini memiliki sejarah menyebelahi rakyat.
Mari
kita lihat apa yang telah terjadi yang menyebabkan tentera Mesir merampas kuasa. Semua bermula
apabila anak-anak muda Mesir sedar bahawa Revolusi Pertama mereka telah
dibajak. Cita-cita untuk mendirikan Mesir yang lebih demokratik telah gagal.
Presiden Morsi dari parti Ikhwan Muslimin telah gagal untuk menunaikan janji
pendemokrasian.
Tuntutan
utama anak muda ialah untuk mengenal dan mendakwa mereka yang bertanggung jawab keatas
kematian lebih dari 100 orang dalam Revolusi Pertama. Menuntut agar dilakukan
dasar ekonomi yang membantu kaum miskin. Mengambil dasar pro-Palestin dan
memutus hubungan dengan Israel. Morsi
tidak ambil pot.
Ada
satu langkah politik Morsi yang cukup
memeranjatkan Mesir. Morsi telah meluluskan satu dekri dimana Sang Presiden
tidak boleh didakwa dakwi. Ini mengejutkan seluruh rakyat Mesir dan meyakinkan orang ramai bahawa revolusi mereka telah
dibajak. Dekri ini telah ditentang habis-habisan. Tidak dapat tidak Morsi yang
telah menunjukan sikap anti demokrasi terpaksa
memansuhkan dekri ini. Dekri
saperti ini tidak pernah wujud walau pun dalam 30 tahun pemerintahan Mubarak. Semua ini menjana gerakan pendemokrasian untuk menyingkirkan
Morsi.
Pada
pertengahan bulan April 2013 – anak-anak muda telah memulakan kempen tanda tangan menuntut Morsi
mengundur. Kempen dibawah payung Tamarud
ini hanya bercadang untuk mendapatkan 15 juta tanda tangan. Angka 15 juta diambil
sebagai menganjing. Ini kerana Morsi
mendapat sokongan 13 juta pengundi. Justeru
Tamarod mahu dilihat mendapat 2 juta sokongan yang lebih banyak dari apa yang Morsi
dapat dalam pilihan raya presiden.
Presiden
Morsi pada awalnya telah memperlekehkan kempen ini. Sama saperti yang sering
berlaku dalam politik Malaysia, Subhi Saleh
seorang pemimpin Ikhwan Muslimin
telah menyifatkanh kempen Tamarod ini sebagai ‘gerakan cemburu’ . Tidak cukup
dengan ajenda ‘cemburu’ Ahamad al-Mughayyir ketua Pemuda Ikhwan telah
mencadangkan agar anak muda dibelakang
Tamarod ini dilucutkan kerakyatan.
Presiden
Morsi akhirnya telah mengarahkan Polis
untuk menahan pemimpin pelajar dan anak muda yang melancar kempen
Tamarod. Penangkapan berlaku - 10 orang pelajar dari Universiti Cairo dan 4
dari Universiti Sohag telah ditahan. Mereka ditahan dengan
menggunakan undang-undang yang
sering digunakan oleh Mubarak untuk
menggodam anak muda dan mahasiswa. Ini sama saperti yang berlaku di Kedah –
negeri Pakatan Rakyat - pada tahun 2011
yang lalu. Menteri Besar Azizan telah
menggunakan AUKU – yang ditentang oleh Pakatan Rakyat - untuk membuang 5 orang anak mahasiswa dari pelajar Kolej
Universiti Insaniah Kedah.
Tanpa
disangka-sangka kempen tanda tangan
Tamarod ini telah melimpah ruah ke seluruh Mesir. Dari bandar ke pekan, dari pekan ke kampong. Akhirnya 22 juta tanda tangan telah dikumpulkan. Dengan
ini Tamarod merasa bahawa masanya telah sampai untuk Presiden Morsi mengundur.
Pada
30 Jun 2012 yang lalu warga Mesir sekali
lagi telah turun ke jalan raya. Sama ada 10 juta atau 15 juta atau 30 juta
warga Mesir telah turun ke jalan raya menuntut Morsi mengundur akan terus
menjadi tajuk bualan dan dibincangkan. Untuk saya ini tidak penting. Apa yang
penting ialah Tamarod - gerakan anak
muda - telah mengambil garis politik yang tepat. Tamarod telah mengambil wadah jalan raya untuk membuka ruang demokrasi.
Presiden
Morsi telah diberi tarikh
mengundur. Dalam ucapan akhirnya sebagai
Presiden , Morsi telah berkata hampir 30 kali tentang haknya sebagai presiden .
Sayangnya tidak sekali pun Presiden
Morsi menyentuh tentang keadaan ekonomi rakyat atau menyentuh tentang tuntutan
jutaan anak muda yang sedang berkumpul di Dataran Tahrir. Justeru 3 hari
kemudian tentera masuk untuk mengambil
alih kuasa.
Dari
sini timbul persoalan apakah peranan tentera itu demokratik atau anti demokratik.
Dalam bab ini perbincangan masih
diteruskan. General Abdel-Fattah el-Siss berkata tentera Mesir mencelah masuk untuk memastikan daulah Mesir
tidak runtuh.
Kita
wajib sedar walau pun tentera Mesir memiliki sejarah pro rakyat ,
lembaga ini juga telah berjaya dirasuah
oleh Hosni Mubarak selama 30 tahun.
Tentera Mesir kini telah menjadi
elit politik dan elit ekonomi di Mesir. Pembaca mungkin susah untuk melihat
jelas tentang peranan tentera Mesir ini. Ini kerana di Malaysia ini peranan
soldadu kita hanya satu - untuk mempertahankan negara dari serangan
musuh luar. Tentera Malaysia belum pernah menjadi kuasa penentu arah politik
tanah air dan belum pernah berperang.
Tentera
Mesir lain coraknya. Dalam konteks politik Timur Tengah , Mesir adalah negara
Arab yang terbesar dengan 84 juta
penduduk. Tentera Mesir terulung dibumi Arab. Tentera Mesir pernah berjaya memerangi Israel pada Perang Oktober
1973 untuk mendapatkan kembali Semenanjung Sinai. Hanya Perjanian Camp David 1978 yang membatalkan permushan antara Mesir
dengan Israel.
Tentera
Mesir wajib dimandulka. Amerika melihat tentera Mesir sebagai bala tentera yang berpontesi melawan
Israel. Justeru tentera Mesir telah, sedang
dan akan terus di persenjatai dan
diberi dana oleh Amerika. Bukan bertujuan untuk menyerang Isreal. Diberi dana agar tentera Mesir
sentiasa tunduk setia untuk menjadi budak
suruhan kepada kuasa imperial
Anglo-Amerika.
Kuasa
imperialis Anglo-Amerika tahu bagaimana pada satu ketika dahulu dibawah
Presiden Nasser bukan sahaja Mesir menjadi progresif malah politik Mesir yang
anti feudal telah mempengaruhi dunia Arab. Syria telah bersatu dengan Mesir pada tahun
1958. Pengaruh Mesir di Iraq membawa kepada rampasan kuasa pada tahun 1958 dan
dihapuskan kuasa Raja. Di Libya Kolonel Gadaffy telah merampas kuasa pada tahun
1969 dan menghalau Raja Idris – sama
saperti yang telah dilakukan oleh Gamal
Abdel Nasser pada tahun 1952
Fahaman nasionalis
anti feudal dari tentera Mesir
ini jelas mengancam kepentingan kuasa politik dan ekonomi ekonomi Anglo-Amerika.
Sistem ekonomi kapitalis yang
berpaksikan bahan bakar petrolium akan runtuh jika telaga minyak ini dimiklili dan
dikawal oleh kaum nasionalis progresif.
Jangan
hairan apabila Presiden Obama terus memberi sokongan senjata dan lambakan dana kepada tentera Mesir.
Harus dihitam putehkan disini bahawa bahawa
negara pertama yang mengitiraf rampasan kuasa di Mesir datang dari Saudi Arabia. Ini diikuti dengan
berbilion dolar yang dijanjikan oleh Saudi, Kuwait dan Qatar kepada rejim baru di
Cairo. Apa makna semua ini? ( TT) ...bersambung
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
oleh SUARA KEADILAN
sesiapa yang ingin melangggan
akhbar mingguan ini sila pukul talipon
03 -92-21-1045
---------