SEBELUM ORANG LAIN SAMPAI
Revolusi
Bolshevik 1917 di Rusia mengubah peta dunia. Untuk pertama kalinya
dunia melihat kemungkinan kelas Feudal, kelas Tuan Tanah dan kelas
Elit Politik dihumban dari kuasa. Rusia beralih dari sistem feudal
masuk ke era zaman moden.
Ketika
Lenin menjatuhkan Czar Nicholas dan kaum kerabatnya – tidak ramai
Anak Melayu yang pandai membaca atau menulis. Sekolah Umum dan
Sekolah Kebangsaan belum wujud. Yang ada hanya belajar Agama.
Seratus
dua tahun sebelum Revolusi Bolshevik – pada tahun 1819 Pulau
Singapura telah dijual oleh Sultan Husin kepada East India Company.
Pada tahun 1824 Perjanjian Anglo-Dutch ditanda tangani. Maka
terpisahlah bumi Melayu. Satu menjadi Indonesia dan satu menjadi
Tanah Melayu. Pada tahun 1906 Anglo-Thai Treaty pula ditandatangai -
empat wilayah Melayu di Selatan Siam diserah kapda Siam. Yang
tinggal hanya Semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura. Pada tahun
1874 secara resmi Tanah Melayu menjadi jajahan Inggeris melalui
Perjanjian Pangkor.
Apa
perlunya saya paparkan data sejarah ini? Untuk saya sejarah amat
penting. Bangsa yang tidak tahu sejarah bangsanya adalah bangsa yang
paling bangsat. Sosok yang tidak tahu sejarah asal usulnya adalah
sosok bangsat. Jika
seseorang
tidak tahu dari mana asal usul pasti sosok ini tidak akan tahu
kenapa keadaan sekarang berlaku saperti ini. Dan mereka pasti TIDAK
tahu dari SINI mereka hendak kemana. Sejarah adalah rujukan yang
tidak pernah berubah. Sejarah TIDAK akan berbohong.
British
membawa masuk Orang Cina dan Orang India ke Tanah Melayu bukan kerana
cintakan Orang Melayu atau mahu membantu Orang Cina dan India yang
miskin. Tujuan British membawa masuk India dan China ke tanah Melayu
ialah untuk menjadi kuli. Untuk menjadi buruh di ladang getah dan di
lombong bijeh.
Jelas
menunjukakn bahawa kemasukan Orang Cina dan Orang India ini kerana
kepentingan kaum pemodal. Lalu timbul persoalan – apakah Orang
Melayu tidak ada ketika Cina dan India dibawa masuk? Jawabnya Orang
Melayu dan Orang Asal ada wujud. Mereka telah menduduki Bumi Melayu
ini semenjak ribuan tahun. Bumi ini adalah tanah tumpah darah mereka.
Apa
yang menjadi masalah kepada penjajah British ialah Orang Melayu dan
Orang Asal amat selesa dengan cara hidup mereka. Orang Asal dengan
teknik Bakar dan Tanam. Berhuma untuk beras dan berladang untuk
jagong dan keledek. Babi untuk menjadi asas protein. Manakala Orang
Melayu di kampong selesa dengan kehidupan kampong – bersawah dan
berpadi. Atau yang ditepi laut – berIkan ke laut.
Dari
pandangan sistem ekonomi kapitalis – Orang Melayu dan Orang Asal
melanggar hukum dan nilai-nilai kapitalis. Orang Melayu tidak ada
niat untuk mengumpul harta. Orang Melayu tidak ada niat untuk menjual
tenaga mereka. Justeru Orang Melayu dalam sistem kapitalis ditakrif
sebagai mereka yang tidak ada keupayan membeli. Orang Melayu tidak
ada duit. Dalam sistem ekonomi kapitalis sesiapa yang TIDAK berduit
adalah sampah.
Tidak
BERDUIT adalah haram dalam ajaran rukun iman sistem ekonomi
kapitalis. Tidak berduit bermakna tidak dapat membeli. Kalau tidak
berduit – tidak membeli - maka sistem ekonomi kapitalis tidak
dapat begerak. Sesiapa yang TIDAK BERDUIT dalam sistem ekonomi
kapitalis dianggap tidak berguna.
Orang
Melayu dizaman Raffles tidak memerlukan wang untuk hidup. Ini tidak
bermakna mereka tidak memburuh dan tidak bekerja. Mereka kesawah
untuk cukup makan. Mereka ke sungai untuk cukup ikan. Mereka ke hutan
untuk rusa dan kijang. Orang Melayu ada ayam, itik , lembu dan
kambing. Hidup Manusia Melayu ketika itu tidak diperangkap atau
terjerat dalam sistem ekonomi kapitalis. Justeru Manusia Melayu bebas
dari ikatan kolonial.
Ini
tidak bermakna Orang Melayu tidak bekerja. Mereka juga memburuh dan
membanting tulang. Mereka meneroka hutan dara. Kampong dan jalan
diteroka. Mereka menjadikan paya dan lembah kawasan sawah yang subur.
Tanpa
duit bolehkah semua ini dilakukan? Jawabnay boleh. Ketika ini Orang
Melayu menggunakan sistem ekonomi GOTONG ROYONG – BERSERAYA- Mereka
memberi tenaga bukan kerana upah atau gaji tapi dengan niat tolong
menolong. Parit dan anak sungai dibersihkan bersama. Rumah didirikan
bergotong royong. Sawah diairi bersama. Ke darat mencari rotan ke
sungai mencari ikan. Berat sama dipikul-ringan sama dikepit. Bulat
air kerana pemetong- bulat manusia kerana mufakat.
Ertinya
ekonomi Orang Melayu dan Orang Asal pada zaman Raffles tidak
menggunakan ringgit dan dolar. Ini amat bahaya kepada sistem
ekonomi kapitalis.
Sikap
Melayu yang TIDAK ambil pot terhadap ringgit dan dolar ini
mengancam kuasa Raffles dan East India Company. Mereka datang dari
negara Atas Angin untuk berjual beli. Jika sampai ke Jelebu atau ke
Jemapoh semua Orang Kampong tidak ada duit maka Kapitalis Inggeris
ini akan mati kering.
Justeru
Orang China dan Orang India dibawa masuk adalah strateji sistem
kapitalis. Sebagai buruh dan kuli- mereka dijanjikan upah. Kuli-kuli
ini tidak memiliki tanah saperti Orang Melayu. Mereka tidak memiliki
'kebebasan ekonomi' untuk hidup. Mereka terikat dan bergantung tidak
saperti Orang Melayu yang bebas.
Maka
untuk hidup Pendatang Baru ini wajib menjual tenaga kepada British
untuk mendapat upah dan gaji. Dengan duit upah dan gaji kuli-kuli ini
memiliki kuasa membeli. Kuasa membeli ini amat penting dalam
lingkaran sistem ekonomi kapitalis. Membeli barangan adalah alat
pelincir untuk menjalankan sisitem ekonomi kapitalis.
Justeru
dari segi sejarah - buruh China dan buruh India yang datang ke Tanah
Melayu dizaman British adalah pemula sistem ekonomi kapitalis di
Tanah Melayu. Mereka mengenal dan bergerak dalam sistem ekonomi
kapitalis seratus tahun lebih awal dari Orang Melayu
Harus
disedari bahawa dizaman ini hubungan antara Melayu dengan Cina atau
antara Cina dengan Melayu amatlah minimal. Orang Melayu tinggal
dikampong dan tidak ada keperluan untuk berurus atau berkenal dengan
China atau India. Malah jika ada Cina atau India yang datang ke
kampong Melayu atau menjadi sahabat Melayu – ini diberi
penghormatan. Ini kerana pekara sademikian terlalu 'rare' atau amat
jarang berlaku.
Orang
Cina pula secara natural tinggal di pekan dan kota. Dari ratusan
orang menjadi puluhan orang yang datang berhijrah. Dari puluhan
menjadi ribuan. Akhirnya ratus ribuan yang datang berhijrah ke Tanah
Melayu. Pedatang Baru ini walau pun dari kampong dan desa kini
tinggal dipekan dan bandar. Justeru kerana inilah Kuala Lumpur, Ipoh
, Pulau Pinang malah semua pekan di barat Semenanjung diduduki oleh
Orang China.
Pada
tahun 1906 Malay College Kuala Kangsar didirikan. Pada tahun 1922
Sultan Idris Training College lahir di Tanjung Malim. Apakah lembaga
ilmu ini lahir kerana cinta dan kaseh sayang British terhadap petai
dan tempoyak? Jawabnya TIDAK.
British
memerlukan kaki tangan yang setia untuk memastikan kepentingan kaum
pemodal British terjaga. Pada ketika ini ladang getah dan lombong
bijeh British telah mengeluarkan hasil. Maknanya selain dari
keperluan tenaga buruh - kuasa kolonial British juga memerlukan guru,
kerani, jaga dan mandor.
Hakikatnya
- British memerlukan 'budak suruhan' yang setia. British memerlukan
tenaga kerja – aparacik – untuk menjalankan pentabiran. Hanya
anak tempatan yang boleh memahami hati dan sanubari warga tempatan.
Nilai dan budaya tempatan hanya difahami oleh anak tempatan.
Kuasa
British sebagai kuasa penjajah cukup licik. Sebuah negara yang
kecil berjaya menakloki lebih dari tiga suku dunia ini. Sebanyak 53
buah negara dalam dunia ini adalah bekas Tanah Jajahan British –
Negara-Negara Commonwealth. Bagaimana ini boleh berlaku?
Kuasa
British datang sesudah kuasa Portugis, Belanda, Peranchis menjajah
Amerika Latin, Afrika dan Asia. British telah melihat pengalaman
kuasa kolonial yang terdahulu. Penjajah British telah mengumpul
pengalaman dan memperbaiki cara dan teknik untuk menjajah. Harus
diingati Inggeris telah menjajah Wales, Scotland dan Irealand –
hinggakan kesemua warga negara ini hilang bahasa ibunda mereka.
Justeru
di Tanah Melayu, British secara licik menjalankan dasar
Pecah/Perintah. Dasar ini dicampurkan pula dengan dasar Adu/Domba.
Tanah Melayu berjaya dipisahkan dari Sumatra dan Jawa. Selangor
digaduhkan dengan Aceh dan Johor. Manakala di Perak ditabalkan
'barua' yang setia. Penentang British dituduh sebagai 'anti-nasional'
– dihalau atau dibuang negeri. Siapa berani melawan British akan
diserang untuk dibunuh.
Anak-anak
feudal yang terdidik dalam Malay College kini menjadi 'budak suruhan'
yang amat setia untuk British. Dari Malay College mereka dihantar ke
Old Mother England untuk belajar. Mereka menjadi tulang belakang
dalam sistem pentabiran British. Manakala anak kaum tani dan nelayan
di hantar ke SITC untuk menjadi guru.
Sesudah
Revolusi Bolshevik 1917 – semuanya berubah. Eropah bergolak. Idea,
pemikiran dan falsafah baru muncul. Sistem penjajah mula
dipersoalkan. Salah benar penjajah mula ditanya. Pada tahun 1930
Parti Komunis Malaya muncul di Kuala Pilah. Pada tahun 1938 Kesatuan
Melayu Muda lahir dari Kampong Baru Kuala Lumpur. Semenjak itu
kelahiran dua parti politik ini – Tanah Melayu hingga ke Malaysia
hari ini – terus bergolak. (TT)
NOTA
tulisan ini
telah disiarkan dalam
SUARA KEADILAN
-----------