TERDAPAT empat cara yang digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian, atau lebih dikenali sebagai sindiket Macau Scam untuk memperdayakan mangsa mereka, kata pegawai kanan polis yang bertanggungjawab terhadap jenayah siber.
Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman SAC Victor Sanjos berkata sindiket terbabit bergantung kepada kealpaan masyarakat dan memperdayakan mereka dengan menyamar sebagai anggota pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah jenayah.
“Cara yang digunakan adalah dengan menawarkan cabutan bertuah, menyamar sebagai pegawai polis atau penjawat awam, menyamar sebagai pegawai Bank Negara dan juga meminta wang tebusan dalam kes penculikan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau turut menjelaskan sindiket berkenaan akan menggunakan teknik penipuan menggunakan platform Voice Over Internet Protocol (VoIP) untuk membolehkan mereka menggunakan sebarang nombor telefon bagi memperdaya mangsa.
“Dalam kes cabutan bertuah, pemanggil akan memaklumkan mangsa telah memenangi wang tunai jutaan dolar dari Hong Kong dan mereka akan berikan nombor telefon untuk dihubungi mangsa sekiranya mahu mendapatkan hadiah wang tunai itu.
“Mangsa kemudiannya akan diminta menjelaskan cukai dengan memindahkan wang ke akaun bank tertentu dan sebaik sahaja wang dipindahkan, mereka akan menghilangkan diri,” katanya.
Victor berkata, cara kedua adalah sindiket ini akan menyamar sebagai anggota polis dan menuduh mangsa melanggar undang-undang.
“Bagi menyelesaikan kes, mangsa perlu pindahkan semua wang dalam akaun mangsa ke bank. Ini kononnya bagi mengelakkan akaun bank mangsa dibekukan.
“Teknik ini sama yang digunakan oleh penyamar pegawai bank. Tetapi mereka akan mengatakan mangsa menggunakan kad kredit dan melebihi amaun dengan bank,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Victor berkata ada juga sindiket yang menggunakan tebusan atau penculikan untuk mendapatkan wang.
“Sindiket akan menghubungi mangsa dan mendakwa saudara atau ahli keluarga mereka telah diculik.
“Untuk membebaskan mereka, mangsa perlu memindahkan wang ke akaun bank pihak ketiga. Dalam sesetengah kes, mereka juga gunakan alasan lain seperti langgar lari,” tambahnya.
Victor berkata nama Macau Scam berasal daripada bentuk penipuan yang berasal dari Taiwan dan China.
Berita mengenai Macau Scam sudah biasa dilaporkan di akhbar.
Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan reman beberapa personaliti terkenal yang didakwa terbabit dengan sindiket ini, namun mereka dibebaskan selepas tamat tempoh reman.
Susulan itu, polis mengambil alih kes berkenaan dan setakat ini menahan 20 individu, termasuk dalang dan lapan pegawai polis.
Bagaimana pun, setakat ini tiada siapa yang dibawa ke mahkamah.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijangka akan menjawab soalan berhubung tindakan terhadap sindiket penipuan di Parlimen pada Isnin berikutan soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berhubung perkara itu.
Drama suspek meloloskan diri
Artis tempatan merupakan antara mereka yang disiasat kerana disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam.
Artis terbabit, Shuib Sepahtu dan isterinya Siti Sarah Raisuddin dipanggil oleh SPRM baru-baru ini namun mereka tidak ditahan.
Sementara dalang sindiket berkenaan pula mencetuskan kemarahan umum selepas meloloskan diri daripada polis dengan memanjat pagar selepas dibebaskan SPRM.
Goh Leong Yeong bagaimanapun ditahan semula pada Selasa dalam satu operasi khas selepas 15 hari melarikan diri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Juzir Mohamed berkata Goh dikehendaki kerana ada kaitan dengan sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.
“Beliau ditahan di sebuah hotel pada pukul 1.20 pagi. Kini beliau di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur sementara menunggu perintah reman,” kataya kepada The Malaysian Insight.
Ketika Goh meloloskan diri, SPRM sedang bersedia untuk menyerahkan tiga individu – yang juga suspek utama, Addy Kana dan dua pegawai polis – kepada pihak polis untuk membantu siasatan berhubung judi dalam talian dan kes Macau Scam.
Sementara itu, sumber memberitahu The Malaysian Insight, 20 individu termasuk dua wanita, dipercayai memainkan peranan penting dalam aktiviti penipuan.
“Daripada 20 individu itu adalah lelaki (Goh) yang dipercayai menjadi dalang aktiviti Macau Scam dan menguruskan pusat perjudian dalam talian yang beroperasi dari kediaman mewah di negara ini dengan menyasarkan pemain dari luar negara.
“Terdapat juga empat ndividu yang menjadi orang kanannya. Empat individu ini membantu suspek utama melabur wang dalam perniagaan yang dijalankan oleh selebriti di negara ini,” kata sumber.
“Setakat ini, pegawai penyiasat mefokuskan kepada proses mendapatkan maklumat daripada semua suspek dan akan memanggil saksi termasuk beberapa selebriti,” katanya.
Sumber itu bagaimanapun tidak mendedahkan selebriti yang terbabit dalam sindiket berkenaan.
Pada 12 Oktober, polis menahan reman kesemua suspek selama 21 hari hingga 3 November.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata polis menahan 20 individu, termasuk lapan pegawai polis dan wagra China untuk membantu siasatan.
Katanya SPRM turut membekukan lebih 730 akaun bank yang mempunyai wang sebanyak RM101 juta dan merampas wang tunai sebanyak RM5 juta.
Selain itu katanya, pihak berkuasa turut merampas 23 kenderaan dan motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli untuk meneruskan operasi.
Pengubahan wang haram
Sumber yang dekat dengan siasatan berkata sindiket terbabit menggunakan pelbagai cara untuk mengubah wang bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Terdapat tiga fasa untuk membersihkan wang, pertama di mana wang itu disimpan, kemudian wang itu ditapis, dan diikuti dengan dikumpulkan.
“Pada fasa pertama, wang haram ini akan dilaburkan dalam sistem kewangan sah. Sindiket akan gunakan rangkaian luas dengan beberapa nama berbeza dan akaun untuk melakukan transaksi agar ia tidak dapat dikesan pihak berkuasa,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
“Fasa kedua melibatkan transaksi wang yang rumit yang mana wang haram akan diasingkan ke beberapa lapisan ketika transaksi. Ia bagi menjauhkan wang daripada sumber asal.
“Ketika ini ahli sindiket akan mengeluarkan wang beberapa kali menggunakan pelbagai akaun bank termasuk bank di luar pesisir di negara berbeza menggunakan syarikat palsu tanpa aset atau operasi,” tambahnya.
Menurut sumber, syarikat in akan membuat transaksi palsu seperti biasa untuk membolehkan aliran wang tunai dan dana diterima dikitar semula menerusi syarikat lain sebagai wang “bersih”.
“Langkah terakhir adalah penyatuan. Wang ini akan diserap masuk ke dalam sistem kewangan sah. Ia mengubah wang haram ke wang bersih diperoleh melalui saluran yang sah. Ketika ini sukar untuk pastikan sama ada ia wang haram atau sebaliknya.
“Wang ini sedia untuk digunakan bagi membeli apa sahaja. Penjenayah akan membeli aset seperti hotel, rumah, barang kemas luar negara,” katanya.
Satu lagi sumber berkata penjenayah ini juga akan mewujudkan perniagaan dan syarikat untuk campurkan wang haram dengan pendaoatan bersih, termasuk pelaburan ke atas selebriti.
Sumber berkata, agensi anti-rasuah mula menyiasat sindiket Macau Scam dan judi dalam talian selepas mengesan “aliran wang” dari luar negara terutamanya dari China.
Tambah sumber berkenaan, dalang utama sindiket dipercayai warga China namun menggunakan ejen di Malaysia untuk menguruskan “pelaburan” termasuk mencari perniagaan yang berpotensi sebagai platform untuk “mencuci duit”. – 3 November, 2020.
KENAPA POLIS
TAK DEDAH
NAMA YG TERLIBAT
AMIN
KENAPA KENAPA
AMIN
ZAMAN REFORMASI
1998 - 2001
POLIS BUBUH
GAMBAR DALAM
AKHBAR
BELUM PUN
KENA TANGKAP
AMIN
PUKIMAK
ORANG JAHAT
SEKARANG
DAH KENA TANGKAP
DAH KENA SOAL SIASAT
TAPI NAMA TAK ADA
WOIT
POLIS NAK JAGA
SAPA ?
ORANG JAHAT INI
AKAN TERUS
BUAT SCAM BARU
KERANA RAKYAT
TAK KENAL
AMIN