CAMDEN TOWN
LONDON
“ Tu dah buat.. ni dah tengok... situ dah pergi..’
Aku teringat kembali kerja-kerja yang telah aku buat. Hari ini bila aku senaraikan dan belek-belek kembali pengalaman kerja yang telah pernah aku buat – aku sendiri tak percaya. Apakah betul aku pernah aku lakukan kerja-kerja ini. Aku pernah buat kerja gelap, kerja terang dan kerja terbuka. Semuanya untuk menyambung hidup.
‘ Tu dah buat... ni dah lalu..’
Aku tidak akan melupakan Camden Town bukan kerana aku nak mengada-ngada klim jadi orang London. Tidak. Pekan kecil ini ada kesah dengan aku. Mustahil dilupakan – tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat berdengung.
Camden Town dilingkari oleh beberapa terusan air yang menyambung ke Sungai Thames. Pekan kecil ini tak jauh - hanya tiga batu dari pusat kota London. Pekan kecil ini dikenali kerana Camden Market. Ini sebenarnya pasar hujung minggu pada hari Sabtu Ahad. Dari apa yang aku baca pasar minggu ini dimulakan pada tahun 1973.
Cuti Easter bulan April 1982 aku sampai ke London kali pertama dari Belgium. Ketika itu aku masih lagi merangkak belajar bahasa Peranchis di Wavre.
Di London aku menumpang di rumah arwah Yunus Ali (1952-2010) di Stratford E7. Ketika itu Yunus telah menjadi pelajar sepenuh masa di East London University. Rumah terras Yunus di Stratford milik universiti yang disewakan untuk pelajar. Yunus berkongsi dengan dua lagi pelajar. Seorang Amoi pelajar dari Malaysia dan seorang lagi anak muda Mat Saleh. Aku menumpang tidur di ruang tamu.
Ini bukan bermakna aku telah melupakan lokap di Moscow. Atau melupakan lokap di Bombay. Penjara Arthur Road Bombay masih terlekat di hati. Tidak. Aku menjadi selasa kerana semuanya telah aku lalui.
‘ Penjara itu dah masuk... lokap itu dah tidur..’
Di London Yunus Ali menjadi pemandu pelancung. Yunus memperkenalkan aku dengan Camden Market. Pasar Minggu ini tempat Awang cari Dara – tempat Dara cari Awang- tempat Awang cari Awang dan tempat Dara cari Dara. Aku tersenyum bila melihat lenggang lenggok anak muda kota London ketika aku pertama kali menjejak kaki ke London.
Di permulaan 80’an Punk adalah feshen hangat di kota London. Hippie di zaman aku telah mengundur. Para hippie dah berumur. Zaman enam puluhan dah masuk senja. John Lennon dah menjadi arwah. Adik-adik baru sudah sampai dengan feshen baru mereka yang lebih mengancam.
Aku ingat lagi minggu pertama aku sampai ke Belgium – di rumah menyambut orang pelarian Braine-le-Comte aku ternampak program Top of The Pop dari BBC London. Mata dan telinga aku terbuka luas. Akhirnya dapat juga aku melihat program yang ratusan kali telah aku dengar dan baca.
TV terletak di bilik makan. Petang itu aku ternampak Boy George dengan lagu Do You Really Want To Hurt Me. Boy George dan kugiran Culture Club sedang menaiki carta tangga pertama Top of The Pop.
‘ Isham ... boy or girl....’ Gamal anak muda pelarian dari Eriteria bertanya pada aku bila dia melihat Boy George sedang bertandak di kaca TV. Ini tahun 1982. Aku belum sampai ke London lagi.
Bila aku sampai ke Camden Town aku ternampak banyak pengikut Boy George yang muka berbedak bergincu. Rambut mencucuk mata. Berbaju hitam berjaket hitam. Ada yang memakai kain gebar – feshen terkini- tahun 1982. Ketika itu Sakai Biduanda dari Jelebu amat susah untuk kenal mana jantan dan mana betina. Amin.
Di pasar Camden ini banyak dijual feshen pakaian yang bukan dari arus perdana. Camden Market menjadi pusat anak muda yang berjiwa melawan. Mereka enggan menjadi mangsa Hermes, Louis Vuitton atau Chanel. Mereka melawan feshen dengan mencakar muka dan mengoyak kain baju mereka.
Di Camden Market boleh didapati gerai kain baju, kasut, pakaian terpakai dan barang tangan kedua yang harganya lebih demokratik dan tidak mencekik leher.
Untuk aku ada satu lagi yang menarik di Camden Town ini. Di tengah pekan ini diantara kedai roti dan kedai pakaian ialah sebuah kedai ikan segar. Aku suka kedai ikan ini kerana aku kerap membeli kupang bila musim kupang sampai.
Sebelum aku secara resmi menyambung kembali belajar di London aku selalu datang bercuti ke London dari Belgium. Aku akan menumpang di rumah Yunus Ali.
Apabila Yunus pulang ke Malaysia aku telah ada ramai kawan pelajar Melayu di London. Aku mengenali mereka secara tidak sengaja - melalui Din Wahab. Din Wahab secara kebetulan datang ke London dalam satu pesawat bersama arwah Emak dan Abah aku.
Emak dan Abah aku datang ke London untuk menjengok aku yang dah lama lesap. Satu petang ketika aku membawa Emak dan Abah aku berjalan di Oxford Street kami terserempak dengan Din Wahab. Semenjak petang itu Din Wahab dan aku terus menjadi kawan.
Din Wahab memperkenalkan aku dengan tiga lagi pelajar Melayu. Mereka di taja oleh MARA untuk belajar ilmu feshen pakaian dan jahit menjahit. Sesudah Yunus Ali selamat pulang ke Malaysia jika aku ke London aku menumpang di rumah Din Wahab mulanya di King Cross kemudian pindah ke Stoke Newington London Utara.
Di rumah Din Wahab aku dapat berkenalan pula dengan Zeti, Zai , Maulud, Khalid, Suhaimai dan Farah. Juga Lee seorang budak China dari Butterworth. Di bilik Lee aku menumpang tidur. Lee atas katil. Aku di lantai.
Pelajar Melayu ini tajaan kerajaan Malaysia. Awalnya mereka amat tidak selesa dengan aku. Mereka melihat aku dengan penuh curiga.
Aku juga diberitahu oleh Din Wahab sebelum pelajar tajaan kerajaan terbang menyambung pelajaran ke luar negara mereka telah diberi kursus khas. Salah satu kuliah khas ini ialah mengenal kumpulan-kumpulan pelajar Malaysia di Australia, New Zealand , Amerika Utara dan United Kingdom. Nama dan gambar aku dijadikan contoh.
Dari soh seh soh seh yang aku dengar MSD London (Malaysian Students Department) selalu memberi ingatan kepada pelajar tentang wujudnya sosok bernama Hishamuddin Rais yang merayau rayau dalam kota London. Sosok ini bahaya. Sosok ini musuh negara. Polis Malaysia sedang mencari sosok ini.
Aku difahamkan MSD London ketika itu di kepalai oleh Shagul Hamid. Aku kenal si Shagul ini. Kami dari sekolah yang sama di Kuala Kangsar. Dia pelajar senior. Di UM kami tinggal di kolej yang sama - Kolej Kelima.
Justeru para pelajar di London di nasihat agar jangan merapati dan berasosiasi dengan Hishamuddin Rais. Tetapi Din Wahab bukan sahaja kenal dengan aku malah kenal dengan Emak dan Abah aku. Din Wahab tidak ada kesangsian untuk berkawan. Amin.
Dari Din Wahab aku berkenal baik dengan Farah yang ketika itu sedang bercinta dengan Suhaimi. Farah pelajar ilmu hukum. Dia bekerja dihujung minggu sebagai juru jual di kedai kasut di High Street Kesington – wilayah kaya kota London. Dari Farah aku berkenalan dengan kawan sakerja Farah anak muda Amerika bernama Killian.
Killian rakan sakerja Farah ini tinggal di flet betul-betul di tepi pekan Camden. Killian telah berjaya masuk ke flet yang tinggal kosong. Di London jika kamu dapat masuk ke rumah atau flet kosong yang telah ditinggalkan tanpa memecahkan pintu atau tingkap maka kamu ada hak mengikut hukum kanun perumahan United Kingdom untuk tinggal di rumah itu sehingga tuan empunya membawa kamu ke mahkamah.
Maknanya Killian menjadi setinggan. Tuan empunya flet ialah Majlis Bandaran Camden. Majlis tidak akan bertindak ganas menghalau setinggan serta merta. Jika dihalau Majlis wajib menyediakan tempat gantian. Ertinya Killian selamat. Ertinya aku juga dapat menumpang melepak di Camden Town setiap hujung minggu. Ini yang aku lakukan.
Satu petang Killian memberitahu aku ada kerja kosong. Dihujung minggu aku boleh menjadi pembantu seorang Mak Cik Irish di warung menjual teh dan kopi. Tak jauh dari Camden Lock. Sayangnya aku hanya bekerja dua hari. Minggu berikutnya aku tidak diperlukan lagi. Mungkin aku silap jual. Pelanggan minta kopi aku beri teh. Ini kerja pertama aku di London dan aku telah dibuang kerja. Amin
Kemudian Killian mendapat kerja membersihkan kerusi. Ini bukan kerusi biasa. Ini kerusi dari kayu pine. Perabut tangan kedua ini milik Erik.
Si Erik ini akan merayau dengan vanya ke seluruh negara mencari perabut terpakai. Kerusi dan meja terpakai ini wajib dibersihkan sebelum dijual kembali.
Aku hanya tersenyum bila aku sedar apa yang Erik lakukan. Bukan aku yang jadi juru jual tapi Tim anak muda dari Australia.
Killian memberi aku kuliah bagaimana cara mengunakan kimia khusus untuk membersih perabut ini sehingga dilihat menjadi kayu antik yang mahal.
Aku tak tahu berapa Erik membayar Killian tapi Killian membayar aku 20 pound setiap kali aku bekerja. Maka setiap Sabtu dan Ahad aku tersadai di rumah setingan Killian membersihkan kerusi dan meja.
Killian anak muda dua puluhan campuran Irish Amerika ini peminat ganja. Dalam sakunya sentiasa ada ganja atau hashish. Entah dimana dibelinya aku tidak bertanya. Biasanya sebelum kami berkerja Killian akan menghisap dulu. Sesudah akan menghisap sekali lagi.
‘ Killian.. people smoke tobacco with grass.. but you smoke grass with tobacco... ‘ Aku memberi komen kerana Killian menggunakan amat sadikit tembakau dengan taburan ganja yang banyak.
Kadang kala Killian akan mengunakan apa yang dipanggil ‘hot plate’. Dia akan membakar sudu besi didapur gas. Apabila telah cukup panas Killian akan menaburkan serbuk hashish ke atas sudu ini. Kepulan asapnya akan disedut. Ini cara Killian berdengong.
Ada satu petang Ahad Killian telah memberi aku menghisap rokok yang telah disira dengan hashish. Untuk aku ini pekara biasa. Aku dah kenal hashish dari zaman aku di Pakistan lagi. Malah dalam penjara Arthur Road Bombay ianya dipanggil ‘guli’. Guli ini menjadi duit untuk kami para tahanan.
Petang Ahad itu di Camden Town kami bersantai, hisap ganja untuk berdengung. Kemudian aku minta diri untuk pulang. Aku mengambil kereta api bawah di Stesen Camden. Laluan Northern Line ini terpecah dua.
Petang itu amat ramai penumpang yang nak pulang. Kami berasak-asak . Aku meloncat masuk ke dalam tube. Tetiba bila tube berhenti di stesen seterusnya aku tersedar aku telah salah masuk kereta api. Aku hendak pulang ke Finsbury Park. Stesen depan mata aku ialah Kentish Town. Aku bergegas lari keluar.
Asap hashish telah menyerap dan menambah paranoia. Degup jantung aku deras. Aku keluar dari bawah tanah untuk menyedut udara di jalan raya. Dengan debaran jantung yang kuat aku wajib membuat keputusan. Aku merasa takut untuk masuk kembali ke bawah tanah. Untuk selamat dan meredakan paranoia aku menapak 2 batu pulang ke rumah aku di 34 Birnam Road.
London kota rock n roll. London kota anak muda. Aku rasa aku bernasib baik kerana ketika aku sampai ke London aku masih muda. Bagitu juga kawan aku Killian.
Killian sama saperti ribuan anak muda yang sampai ke kota London bercita untuk menjadi rock star. Menayangkan muda dengan perangai Mat Rock. Bukan berbioloji muda tapi berperangi Mat Lebai.
Justeru Killian bersama Mick, Joe dan James telah menjadi Snow Leopard. Ini kugiran punk rock dari Camden Town. Vin gadis Vietnam sebagai penyanyi. Bila kugiran ini ditubuhkan aku tidak bertanya. Setiap kali aku ke Camden aku terjumpa Mick dan Joe. Dimana mereka berlatih aku tidak tahu.
Yang aku tahu Killian pemain drum. Malah aku diberi tahu pernah satu kali Killian hampir menjadi ‘ sessionist drummer’ untuk kugiran The Kink.
Di London kugiran yang tidak ada nama dan mahu jadi popular wajib bermain dalam pub. Biasanya tanpa bayaran. Mungkin Tuan Pub akan memberi satu dua botol minuman percuma.
Ada beberapa pub dimana akan ada ‘ajen syarikat rekod’ atau penulis dari majalah NME – New Musical Express - akan datang sama. Biasanya mereka dijemput atau mereka menjadi ‘ scout’ mencari bakat baru.
Pernah satu malam Sabtu Snow Leopard membuat ‘gig’ di Town N Countty Pub di Camden Town . Malam itu ada 3 kugiran bermain.
Sebelum aku masuk ke dalam pub Killian memberi tahu aku wajib menuliskan nama aku dan kugiran yang aku mahu mendengar. Ini untuk rujukan tuan empunya pub. Jika ramai peminat Snow Leopard maka kugiran ini akan dijemput bermain sekali lagi.
Malam itu aku mendengar musik punk rock yang bising dan hangat. Snow Leopard memang hebat. Aku, Hishamuddin Rais sakai Biduanda dari Jelebu kini telah menjadi ‘groupie’ Snow Leopard. Dimana kugiran ini bermain aku akan datang sama.
Berapa minggu kemudian aku dengar Snow Leopard akan membuat gig di Porter House Convent Garden. Ini maknanya Snow Leopard telah naik tarafnya. Bukan main di pinggir kota tapi telah masuk betul-betul ke West End wilayah hiburan kota London. Tapi malam itu di Porter House aku tidak ikut sama.
Petang Ahad sesudah gig di Porterhouse aku datang memburuh di rumah Killian. Joe dan Mike bercerita tentang gig di Porterhouse.
‘ Guess what Isham... John Peel ... EMI guy .. load of music people .. were all there...’ Joe bercerita dengan penuh bangga.
‘ Wow... that’s great...’ Aku memberi perangsang. Orang hebat-hebat datang mendengar Snow Leopard bermain. Kenapa tidak - bila Joe menyebut nama John Peel ( 1939-2004) aku pun berbangga sama. John Peel ialah DJ BBC Radio 1 dan juga wartawan musik.
Sosok yang bernama John Peel kalau dia berkata kugiran ini hot maka hotlah jadinya. Kalau John Peel menulis kugiran ini adalah muka baru yang akan meledak naik maka syarikat rakaman akan berduyun datang. Baginilah pengaruh Johh Peel terhadap dunia musik dan dunia rock n roll.
Sebulan berlalu tidak ada berita Snow Leopard American Tour.
Masa berjalan. Hari berganti. Aku tidak akan melupakan pada satu petang Sabtu. Saperti biasa aku datang untuk buat kerja. Bila aku sampai ke flet Killian aku teperanjat. Flet ini telah ditutup. Melintang kayu menutup pintu dan ditingkap. Ada notis dari Majlis Bandaran Camden.
Aku pergi ke kedai antik untuk berjumpa dengan Erik atau Tim. Mereka belum sampai. Perniagaan belum bermula. Aku tercari-cari.
Tetiba di atas jambatan Camden Town aku terserempak seorang Minah Melayu cun bergetah. Anna berkulit hitam manis dari Singapura. Anna berdiri ditepi jambatan. Betul betul menggangu pejalan yang melintas jambatan. Ditangannya bergantungan beg tangan wanita. Anna sedang menjaja barangan kulit di Camden Market.
Aku yang kelam kabut terus membuka kesah aku kepada Anna walau pun kami baru bertemu. Mungkin kerana kami dari rumpun yang sama dan kini merantau di tempat orang maka kami cepat mesra.
‘ You need a job... nak jadi waiter... pergi ke Desaru di Old Compton Street Soho... jumpa Freedy... dia Pilipina... katakan Anna yang hantar.... tell Freedy you are my friend....’ Minah dari Singapura ini menyelamatkan aku.
Maka perjalanan aku beralih dari Camden Town ke Soho West End.
EPILOK
Flet Killian diambil oleh Majlis Bandaran. Killian pulang ke Amerika untuk menjadi peniaga jual beli rumah. Tim pulang ke Australia.
Snow Leopard menjadi sejarah. Mick , Joe dan James aku tak tahu ke mana menghilang. Vin entah dimana.
Anna mendapat gerai resmi dalam bangunan di sebelah panggung wayang Odeon Camden Town.
Yunus Ali ditahan dua tahun dibawah ISA dalam Operasi Lalang 1988. Din Wahab mengambil alih kedai jahit ayahandanya di Wisma Yakin. Farah dan Suhaimi berumah tangga kini telah ada dua cucu. Lee pernah aku temui sekali.
EPILOK 2
Pada tahun 2014 aku membawa teater Bilik Sulit ke United Kingdom. Di London aku menjadi pemandu pelancung dan membawa Adam Adly, Achong, dan Aniza datang bertandang ke Camden Market. Pasar Camden makin padat. Makin banyak gerai, Makin banyak kedai tangan kedua. Aku tunjukan pada mereka tempat aku menjual teh dan kopi. Dan rumah setinggan Killian.
Kedai antik bawah jambatan masih ada. Tapi Erik tidak kelihatan meniaga di situ lagi.
Paling sedih kedai ikan tempat aku membeli kupang ditengah pekan Camden telah menjadi kedai kasut Doc Marten. (TT)
DISIARKAN DI PORTAL
MALAYSIANOW.COM
seronok membacanya bang. mahal sungguh pengalaman
BalasPadamKedai doc marten tu masa gua pergi sana tahun 2004 pun dah ada. Ingat nak masuk tapi lepas nampak dua ekor punkers doc marten 18 lubang dgn rambut spike warna purple depan kedai terus gua cuak. Maklum la budak baru habis spm. Lepas tu baru gua tau diorang tu cool je
BalasPadam