Rabu, 13 Januari 2021

CAMDEN TOWN LONDON

 


CAMDEN TOWN

LONDON

“ Tu dah buat.. ni dah tengok... situ dah pergi..’ 

Aku teringat kembali kerja-kerja yang telah aku buat. Hari ini bila aku senaraikan dan belek-belek kembali pengalaman kerja yang telah pernah aku buat – aku sendiri  tak percaya. Apakah betul  aku  pernah aku lakukan kerja-kerja ini.   Aku pernah buat kerja gelap, kerja terang dan kerja terbuka.  Semuanya untuk menyambung hidup.

‘ Tu dah buat... ni dah lalu..’

Aku tidak akan melupakan Camden Town bukan kerana aku nak  mengada-ngada klim jadi orang London. Tidak. Pekan kecil  ini  ada kesah  dengan aku.  Mustahil dilupakan – tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat berdengung.

Camden Town dilingkari oleh beberapa terusan air yang menyambung ke Sungai Thames. Pekan kecil ini tak jauh  - hanya  tiga batu dari pusat kota London. Pekan kecil ini dikenali kerana  Camden Market. Ini sebenarnya  pasar  hujung minggu pada hari Sabtu Ahad. Dari apa yang aku baca pasar minggu ini  dimulakan pada tahun 1973.

Cuti  Easter bulan April 1982 aku sampai ke London  kali pertama dari Belgium. Ketika itu aku masih lagi merangkak belajar bahasa Peranchis di Wavre. 

Di London  aku menumpang di rumah arwah Yunus Ali  (1952-2010) di Stratford E7. Ketika itu Yunus telah menjadi pelajar sepenuh masa di East London University. Rumah terras Yunus di Stratford milik universiti yang disewakan untuk pelajar.  Yunus berkongsi dengan dua lagi  pelajar. Seorang   Amoi pelajar dari Malaysia dan seorang  lagi  anak muda Mat Saleh.  Aku menumpang tidur di ruang tamu.

Kali pertama aku datang ke London betul-betul  sebagai pelancung dari Wavre Belgium. Setiba di London aku merasa  amat selesa.  Baru aku sedar betapa nikmatnya bercakap dalam bahasa ibunda. Betapa selesanya  aku dapat  bercakap dalam bahasa Inggeris. Membaca akhbar Inggeris. Menuntun  TV yang aku faham bahasanya. 

Di London aku bersantai. Aku tak perlu berfikir fikir terkial kial  mencari perkataan untuk berbual.  Aku tak memerlukan kamus. Sebagai orang pelarian perasaan aku semakin lega. Aku merasakan hidup aku makin selesa. Aku merasa diri aku semakin jauh dari malapetaka.

Ini bukan bermakna  aku telah melupakan lokap di Moscow. Atau melupakan  lokap di Bombay.  Penjara Arthur  Road  Bombay masih terlekat di hati.   Tidak.  Aku  menjadi selasa kerana semuanya  telah aku lalui.

‘ Penjara itu dah masuk... lokap itu dah tidur..’

Di London Yunus Ali menjadi pemandu pelancung. Yunus memperkenalkan aku  dengan Camden Market.    Pasar Minggu ini tempat Awang cari Dara – tempat   Dara cari Awang- tempat Awang  cari Awang dan tempat Dara  cari Dara. Aku tersenyum bila melihat lenggang lenggok  anak muda kota London ketika aku pertama kali menjejak kaki ke London. 

Di permulaan 80’an Punk adalah  feshen  hangat di kota London. Hippie di zaman aku telah mengundur. Para hippie  dah berumur. Zaman  enam puluhan dah masuk senja. John Lennon dah menjadi arwah.  Adik-adik baru sudah sampai dengan feshen baru mereka yang lebih mengancam.

Aku ingat lagi minggu pertama aku  sampai  ke  Belgium   – di rumah menyambut orang pelarian Braine-le-Comte aku ternampak program Top of The Pop dari BBC  London. Mata  dan telinga aku terbuka luas. Akhirnya dapat juga aku melihat program yang ratusan kali telah aku  dengar dan baca. 

TV terletak di bilik makan.  Petang itu aku ternampak  Boy George  dengan lagu Do You Really Want To Hurt Me. Boy George dan kugiran Culture Club sedang  menaiki  carta  tangga  pertama  Top of The Pop.

‘ Isham ... boy or  girl....’ Gamal anak muda pelarian dari  Eriteria bertanya pada aku bila dia melihat Boy George  sedang  bertandak di kaca TV. Ini  tahun 1982. Aku belum sampai ke London lagi. 

Bila  aku sampai ke Camden Town aku ternampak banyak  pengikut  Boy  George  yang muka berbedak bergincu. Rambut mencucuk mata. Berbaju hitam berjaket hitam. Ada yang memakai kain gebar  – feshen terkini- tahun  1982.  Ketika itu   Sakai Biduanda dari Jelebu amat susah untuk  kenal mana jantan dan mana betina. Amin.

Di pasar Camden ini banyak dijual feshen pakaian yang  bukan dari arus perdana. Camden Market menjadi pusat anak muda yang berjiwa melawan.  Mereka enggan menjadi mangsa Hermes, Louis  Vuitton atau Chanel. Mereka melawan feshen dengan mencakar  muka dan mengoyak   kain baju mereka.

Di Camden Market  boleh didapati  gerai kain baju, kasut, pakaian  terpakai dan barang tangan kedua yang harganya  lebih demokratik dan tidak mencekik leher.

Untuk aku ada satu lagi yang menarik di Camden Town ini. Di tengah pekan ini diantara kedai roti dan kedai pakaian ialah sebuah kedai  ikan segar.   Aku suka kedai ikan ini kerana aku kerap membeli  kupang  bila musim kupang sampai.

Sebelum aku secara resmi menyambung kembali  belajar di London aku  selalu datang bercuti  ke London dari Belgium.  Aku  akan menumpang di rumah Yunus Ali.

Apabila Yunus pulang ke Malaysia aku telah ada ramai kawan  pelajar Melayu di London.  Aku mengenali mereka secara tidak sengaja -  melalui Din Wahab. Din Wahab secara kebetulan datang ke London dalam satu pesawat  bersama arwah Emak dan Abah aku. 

Emak dan Abah aku datang ke London untuk  menjengok aku yang dah lama lesap.  Satu petang ketika aku membawa  Emak dan Abah aku berjalan di Oxford Street kami terserempak dengan Din Wahab.  Semenjak petang itu Din Wahab dan aku terus menjadi kawan.

Din Wahab  memperkenalkan aku dengan tiga lagi pelajar  Melayu. Mereka di taja oleh MARA untuk belajar    ilmu  feshen pakaian dan jahit menjahit. Sesudah  Yunus Ali  selamat pulang ke Malaysia jika aku ke London aku menumpang di rumah Din Wahab mulanya di King Cross kemudian  pindah ke  Stoke Newington  London Utara.

Di rumah Din Wahab aku  dapat berkenalan  pula dengan  Zeti,  Zai , Maulud, Khalid, Suhaimai  dan Farah. Juga Lee seorang budak China dari Butterworth. Di bilik Lee aku menumpang tidur.  Lee atas katil. Aku di lantai. 

Pelajar Melayu ini   tajaan kerajaan Malaysia. Awalnya mereka amat tidak selesa dengan aku. Mereka melihat aku dengan penuh curiga.

Aku juga diberitahu oleh Din Wahab sebelum  pelajar tajaan kerajaan  terbang menyambung pelajaran ke luar negara mereka telah diberi kursus khas. Salah satu kuliah khas ini ialah mengenal kumpulan-kumpulan pelajar Malaysia  di Australia, New Zealand , Amerika Utara dan United Kingdom. Nama dan gambar aku dijadikan contoh. 

Dari soh seh soh seh yang aku dengar  MSD London    (Malaysian Students Department) selalu memberi ingatan kepada pelajar tentang wujudnya sosok bernama Hishamuddin Rais  yang merayau rayau dalam kota London. Sosok ini bahaya. Sosok ini musuh negara. Polis Malaysia sedang mencari sosok ini.

Aku difahamkan  MSD London  ketika itu di kepalai oleh  Shagul  Hamid. Aku kenal si Shagul ini. Kami dari sekolah yang sama di Kuala Kangsar. Dia pelajar senior. Di UM kami tinggal di kolej yang sama - Kolej Kelima. 

Justeru para pelajar di  London di nasihat agar jangan merapati  dan berasosiasi dengan  Hishamuddin Rais.  Tetapi Din Wahab bukan sahaja kenal dengan aku malah kenal dengan Emak dan Abah aku. Din Wahab  tidak ada kesangsian untuk berkawan. Amin.

Akhirnya aku menjadikan rumah Din Wahab di   62 Caryfort Road Stoke Newington alamat aku bila aku bertandang ke London. Tiap kali aku  menumpang aku menghulur beberapa  pound untuk bil leterik kepada Lee. Aku juga membayar bil talipon bila aku menalipon kampung.  

Dari Din Wahab  aku berkenal  baik dengan Farah yang ketika itu sedang bercinta dengan Suhaimi. Farah pelajar  ilmu hukum. Dia  bekerja dihujung minggu sebagai juru jual di kedai kasut  di High Street Kesington – wilayah kaya kota London.   Dari Farah aku berkenalan dengan  kawan sakerja Farah anak muda Amerika bernama  Killian.

Killian  rakan sakerja Farah ini tinggal di flet  betul-betul di tepi pekan Camden. Killian telah berjaya masuk ke  flet   yang tinggal  kosong. Di London jika kamu dapat masuk ke rumah atau flet kosong  yang telah ditinggalkan tanpa memecahkan pintu atau tingkap  maka kamu ada hak mengikut hukum kanun perumahan United Kingdom  untuk tinggal di rumah itu sehingga tuan empunya membawa kamu ke mahkamah. 

Maknanya Killian menjadi  setinggan. Tuan empunya flet ialah Majlis Bandaran Camden. Majlis tidak akan bertindak ganas  menghalau setinggan serta merta. Jika dihalau Majlis wajib menyediakan tempat gantian.  Ertinya Killian selamat. Ertinya aku juga dapat menumpang melepak  di Camden Town setiap hujung minggu.  Ini yang aku lakukan.

Satu petang Killian memberitahu aku ada kerja kosong. Dihujung minggu aku boleh menjadi pembantu seorang Mak Cik Irish di warung menjual teh dan kopi. Tak jauh dari Camden Lock. Sayangnya aku hanya bekerja   dua hari. Minggu berikutnya aku tidak diperlukan lagi.   Mungkin aku silap jual. Pelanggan minta  kopi aku beri teh. Ini kerja pertama aku di London dan aku  telah dibuang kerja. Amin

Kemudian Killian mendapat kerja  membersihkan kerusi.  Ini bukan kerusi biasa. Ini kerusi dari kayu pine.  Perabut tangan kedua ini milik Erik.  

Si Erik ini akan  merayau dengan vanya ke  seluruh negara mencari perabut terpakai.  Kerusi  dan meja  terpakai ini  wajib dibersihkan sebelum dijual kembali. 

Killian mengajak aku membuat kerja  membersih dan mengilatkan kembali perabut ini untuk dipasarkan pada pasar Camden. Erik melambakkan perabut yang telah dibaik pulih  ini di kaki lima sebelah kedai antik. Ini menjadikan  seolah-olah perabut ini  sebahagian dari barangan milik kedai antik.

Aku hanya tersenyum bila aku sedar apa yang Erik lakukan. Bukan aku yang jadi juru jual tapi Tim anak muda  dari Australia.

Killian memberi aku kuliah bagaimana cara mengunakan kimia khusus untuk  membersih  perabut ini sehingga dilihat  menjadi kayu antik yang mahal. 

Aku tak tahu berapa Erik membayar Killian tapi Killian membayar aku 20 pound setiap kali aku bekerja. Maka setiap Sabtu dan Ahad aku tersadai di rumah setingan Killian membersihkan kerusi dan meja. 

Killian anak muda dua puluhan  campuran Irish Amerika ini peminat ganja.  Dalam sakunya  sentiasa ada  ganja atau hashish. Entah dimana dibelinya aku tidak bertanya.  Biasanya sebelum kami berkerja Killian akan menghisap dulu. Sesudah akan menghisap sekali lagi.

‘ Killian.. people smoke  tobacco with grass.. but you smoke grass with tobacco... ‘ Aku memberi komen kerana Killian menggunakan amat  sadikit tembakau dengan taburan ganja yang banyak.

Kadang kala Killian  akan mengunakan apa yang dipanggil ‘hot plate’. Dia akan membakar sudu besi didapur gas. Apabila telah cukup panas Killian akan  menaburkan serbuk hashish ke atas  sudu ini. Kepulan asapnya akan disedut. Ini cara Killian berdengong.

Ada satu petang Ahad Killian telah memberi aku menghisap rokok  yang telah disira dengan hashish. Untuk aku ini pekara biasa. Aku dah kenal hashish dari zaman aku di Pakistan lagi. Malah dalam penjara Arthur Road Bombay ianya dipanggil ‘guli’.  Guli ini menjadi  duit  untuk kami para tahanan.

Petang Ahad itu di Camden Town kami bersantai, hisap ganja untuk  berdengung.  Kemudian aku minta diri untuk pulang. Aku mengambil kereta api bawah di  Stesen Camden.  Laluan Northern Line  ini  terpecah dua.

Petang itu amat ramai  penumpang yang nak pulang.  Kami berasak-asak .  Aku meloncat masuk ke dalam tube. Tetiba bila  tube berhenti di stesen seterusnya aku tersedar aku telah salah  masuk kereta api. Aku hendak pulang ke Finsbury Park. Stesen depan mata aku ialah Kentish Town. Aku bergegas lari keluar.

Asap  hashish telah menyerap dan menambah paranoia. Degup jantung aku deras. Aku keluar dari  bawah tanah untuk menyedut udara di jalan raya. Dengan debaran jantung yang kuat aku wajib membuat keputusan. Aku merasa takut untuk masuk kembali ke bawah tanah.  Untuk selamat   dan meredakan paranoia  aku menapak 2 batu pulang ke rumah aku di  34 Birnam Road. 

London kota rock n roll.  London kota anak muda. Aku rasa aku bernasib baik kerana ketika aku sampai  ke London aku masih muda.   Bagitu juga  kawan aku Killian.

Killian sama saperti ribuan  anak muda  yang sampai ke kota London bercita untuk menjadi  rock star.  Menayangkan  muda  dengan perangai  Mat Rock. Bukan  berbioloji muda tapi  berperangi Mat Lebai.   

Justeru Killian bersama  Mick, Joe dan James  telah menjadi Snow Leopard.  Ini kugiran  punk rock dari Camden Town.  Vin gadis Vietnam sebagai penyanyi. Bila kugiran ini ditubuhkan aku tidak bertanya. Setiap kali aku ke Camden  aku terjumpa Mick dan Joe.  Dimana mereka berlatih aku tidak tahu. 

Yang aku tahu Killian pemain drum.  Malah aku diberi tahu pernah satu kali  Killian hampir menjadi  ‘ sessionist drummer’ untuk  kugiran The Kink. 

Di London  kugiran yang tidak ada nama dan mahu  jadi popular wajib bermain dalam pub.  Biasanya tanpa bayaran. Mungkin Tuan Pub akan memberi satu dua botol  minuman percuma. 

Ada beberapa pub dimana akan ada ‘ajen  syarikat rekod’ atau penulis dari majalah  NME – New Musical Express  - akan  datang sama. Biasanya mereka dijemput atau  mereka menjadi ‘ scout’ mencari bakat baru.

Pernah satu malam  Sabtu Snow Leopard  membuat ‘gig’ di Town N Countty Pub di Camden Town . Malam itu ada 3 kugiran  bermain. 

Sebelum aku masuk ke dalam pub Killian memberi tahu aku wajib  menuliskan nama aku  dan kugiran yang aku mahu mendengar. Ini untuk rujukan tuan empunya  pub. Jika ramai peminat Snow Leopard  maka kugiran ini akan dijemput bermain sekali lagi.

Malam itu aku mendengar musik  punk rock yang bising dan hangat.  Snow Leopard memang  hebat.   Aku, Hishamuddin Rais  sakai Biduanda dari Jelebu kini telah menjadi ‘groupie’ Snow Leopard.  Dimana kugiran ini bermain aku  akan datang sama.

Berapa minggu kemudian aku dengar  Snow Leopard akan membuat gig di  Porter House Convent Garden. Ini maknanya  Snow Leopard telah naik tarafnya. Bukan main di pinggir kota tapi telah masuk betul-betul ke   West  End wilayah hiburan kota London. Tapi malam itu di Porter House  aku tidak ikut sama.

Petang Ahad sesudah gig di  Porterhouse aku  datang memburuh di rumah Killian.   Joe  dan Mike bercerita tentang gig  di Porterhouse.

‘ Guess what Isham... John Peel ... EMI guy .. load of music  people .. were all there...’  Joe  bercerita dengan penuh bangga.

‘ Wow... that’s great...’ Aku memberi perangsang.  Orang hebat-hebat datang mendengar Snow Leopard bermain. Kenapa tidak  - bila Joe menyebut nama John Peel  ( 1939-2004)  aku pun berbangga sama. John Peel ialah DJ BBC Radio 1 dan juga wartawan musik. 

Sosok yang bernama  John Peel kalau dia berkata  kugiran ini hot maka hotlah jadinya.  Kalau John Peel menulis  kugiran ini adalah muka baru yang akan meledak naik maka  syarikat rakaman  akan berduyun datang. Baginilah pengaruh Johh Peel terhadap dunia musik dan dunia rock n roll.

Malam itu  Snow Leopard mula berbicang untuk ‘road -tour’ ke Amerika.   Mereka  sudah mula merancang.  Sambil berdengung sambil berkhayal tentang – Snow Leopard American Tour.  Tapi aku lihat Killian macam tak ambil pot sangat. Dia hanya terus menggulung ganja. Aku sudah jeran dan tak berani lagi menghisap rokok yang dihulurkan oleh Killian. Perasaan paranoia ketika dibawah tanah tidak mahu aku ulangi.

Sebulan berlalu tidak ada berita Snow Leopard American Tour. 

Masa berjalan. Hari berganti. Aku tidak akan melupakan pada satu petang Sabtu. Saperti biasa aku datang untuk  buat kerja. Bila aku sampai ke flet Killian aku teperanjat. Flet ini telah  ditutup. Melintang kayu menutup pintu dan ditingkap. Ada notis dari Majlis Bandaran Camden.

Aku pergi ke kedai antik untuk berjumpa dengan Erik atau Tim.  Mereka belum sampai. Perniagaan belum bermula. Aku tercari-cari. 

Tetiba di atas  jambatan  Camden  Town aku terserempak seorang  Minah Melayu cun bergetah.  Anna  berkulit hitam manis dari Singapura. Anna  berdiri  ditepi jambatan. Betul betul menggangu pejalan yang melintas jambatan. Ditangannya bergantungan beg  tangan wanita. Anna sedang menjaja  barangan kulit di Camden Market.

Aku yang kelam kabut terus membuka kesah aku kepada Anna walau pun kami baru bertemu. Mungkin kerana kami dari rumpun yang sama dan kini merantau di tempat orang  maka kami cepat  mesra.

‘ You need a job... nak jadi waiter... pergi ke Desaru di Old Compton Street  Soho... jumpa Freedy... dia Pilipina... katakan Anna yang hantar.... tell Freedy you are  my friend....’  Minah dari Singapura ini menyelamatkan aku. 

Maka perjalanan aku beralih dari Camden Town ke Soho West End.

EPILOK

Flet Killian diambil oleh Majlis Bandaran. Killian pulang ke Amerika untuk menjadi peniaga jual beli rumah. Tim pulang ke Australia.  

Snow Leopard menjadi sejarah. Mick , Joe dan James aku tak tahu ke mana menghilang.  Vin entah dimana.

Anna mendapat gerai resmi dalam bangunan di sebelah panggung wayang Odeon Camden Town.

Yunus Ali ditahan  dua tahun dibawah ISA dalam Operasi Lalang 1988.  Din Wahab mengambil alih kedai jahit ayahandanya di Wisma Yakin. Farah dan Suhaimi berumah tangga kini telah ada dua cucu. Lee pernah aku temui sekali.

EPILOK 2

Pada tahun 2014 aku membawa teater Bilik Sulit ke United Kingdom. Di London aku menjadi pemandu pelancung dan membawa Adam Adly, Achong, dan Aniza   datang bertandang ke  Camden Market. Pasar Camden makin padat. Makin banyak gerai, Makin banyak kedai tangan kedua. Aku tunjukan pada mereka tempat aku menjual teh dan kopi. Dan rumah setinggan Killian.

Kedai antik bawah jambatan masih ada. Tapi Erik tidak kelihatan meniaga  di situ lagi.

Paling sedih kedai ikan tempat aku membeli kupang ditengah pekan Camden  telah menjadi kedai kasut Doc Marten. (TT)


TULISAN INI  JUGA TELAH
DISIARKAN DI PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/01/13/camden-town-london/


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

seronok membacanya bang. mahal sungguh pengalaman

Tanpa Nama berkata...

Kedai doc marten tu masa gua pergi sana tahun 2004 pun dah ada. Ingat nak masuk tapi lepas nampak dua ekor punkers doc marten 18 lubang dgn rambut spike warna purple depan kedai terus gua cuak. Maklum la budak baru habis spm. Lepas tu baru gua tau diorang tu cool je