Rabu, 20 Julai 2022

DARI KUALA KLAWANG KE KUALA KANGSAR


DARI 

KUALA KLAWANG 

KE 

KUALA KANGSAR


Pada bulan Mac 1969 ketika aku dapat tawaran untuk masuk ke MCKK. Aku tidak tahu apa-apa pun tentang MCKK atau Kolej Melayu  Kuala Kangsar.  Hanya, aku pernah terbaca Kuala Kangsar ini sama seperti Sri Menanti – pekan DiRaja untuk Perak. Selain dari itu sejarah MCKK aku tidak tahu.


Tidak ramai murid sekolah  dari Jelebu yang tahu selepas Tingkatan Lima  rupa-rupanya ada   Tingkatan Enam.  Ketika mengambil peperiksaan SC/MCE tidak terlintas dalam kepala aku untuk menyambung ke Tingkatan Enam.

Aku tahu wujudnya universiti. Aku ada  terbaca juga berita tentang Universiti Malaya  di Pantai Valley dan Universiti Singapura. Aku pernah dengar juga nama Ungku Aziz.  Malah  nama-nama pelajar yang dapat ijazah dari Universiti Malaya pernah aku nampak disiarkan dalam Utusan Melayu.

Emak aku beri tahu  sepupu sebelah Tok Wan aku  Bang Embong Zainal kini  belajar di universiti di London. Tetapi aku tidak tahu cara nak masuk ke universiti ini wajib lulus Tingkatan Enam. Tingkatan Enam ini perkara amat baru untuk aku. 

Pada hemat aku sesudah tingkatan lima maka tamatlah zaman persekolahan. Pengetahuan budak kampung pada tahun 1969 kalau hendak sambung belajar boleh masuk ITM, masuk Kolej Serdang,  masuk Maktab Perguruan, jadi polis atau  jadi askar – ini sahaja yang aku  tahu.


Bila aku dijemput untuk mendaftar menyambung belajar  ke Tingkatan Enam aku sendiri terperanjat.  Sesudah surat jemputan ke MCKK aku  terima baru aku sedar bahawa di Negeri Sembilan hanya ada satu sekolah yang ada Tingkatan Enam – King George Ke Lima (KGV) di Seremban. Dari apa yang aku difahamkan Tingkatan Enam di KGV pun tidak ramai pelajar.

‘ Hisham.. you are going to MCKK... Kuala Kangsar  is my town...’  Mister Gamma Khan guru pengakap aku bersuara satu petang ketika kami berjumpa.

‘ There is a long pavement with tile roof ... in your school...’ Mister Gamma bercerita  tentang apa dia tahu  tentang MCKK.

‘ Kuala Kangsar is small town but bigger than Kuala Klawang.. you would like it there...’ Mister Gamma memberi aku semangat.

Aku memberi tahu Lee Keong yang aku akan ke Kuala Kangsar. Lee Keong gembira kerana aku dapat menyambung belajar.  Lee sendiri yang lulus SC/MCE mendapat grade dua tidak tahu apa nak buat.

Bila aku beri tahu tentang Kuala Kangsar dia teringat  yang kami pernah lalu di simpang  jalan  ke Kuala Kangsar ketika kami hitch hike ke Taiping untuk singgah di rumah Mister Tay. 

 Satu petang aku berbasikal ke Kuala Klawang aku terserempak dengan Razak Nordin – rakan sekelas. Dia juga lulus SC/MCE tapi tidak cemerlang. Si Razak ini  budak pekan. Ayahnya pegawai di pejabat Tuan Pegawai Daerah. Justeru dia  lebih arif dalam banyak perkara berbanding dari  aku budak kampung.

‘ Wow.... Hisham.... kau jadi budak MCKK...’  Kenyataan dari Razak yang tidak faham maknanya.

Aku pergi ke Sin Chong  Tukang Jahit  untuk  menempah dua pasang uniform sekolah dan juga sepasang  baju Melayu putih.  Aku mengikut arahan apa  yang wajib aku bawa dari rumah  kelambu, kain cadar, sarung bantal termasuk satu kaki payung kertas.

Tentang hidup di asrama aku tidak risau. Kehidupan di asrama bukan satu perkara yang baru untuk aku.  Kini aku hanya beralih asrama dari SMUJ ke MCKK. Dari Kuala Klawang ke Kuala Kangsar.

Ketika aku sibuk bersedia untuk ke Kuala Kangsar  kempen  politik semakin hangat.  Dari apa  yang aku difahamkan pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi. Tarikh belum di umum tapi kempen telah bermula.  Aku tidak lagi menyertai sepupu dan keluarga aku  untuk membantu Aminuddin Manaf – bapak saudara aku - untuk bertanding sekali lagi.

Hari Khamis  –  aku, Emak  dan Abah turun ke pekan Kuala Klawang. Lee Keong dan Verapan -  anak muda India kenalan aku  yang bekerja sebagai Tambi di Sekolah Yuk Hua Kuala Klawang  ada menunggu aku di stesen bas Lim.   

Aku masih ingat lagi petang itu  Lee dan Verapan mengucapkan selamat jalan kepada aku. Aku meninggalkan Kuala Klawang ke Kuala Kangsar.

Kami naik teksi menuju ke Seremban dan kemudian ke Kuala Lumpur.  Di Kuala Lumpur kami singgah bermalam di rumah Kakak aku di Sungai Besi. Suami Kakak aku bertugas  sebagai pegawai TUDM.  

Esoknya Pak Cik Jalal – pemilik Restoran Amajal -   adik Abah aku  membawa kami  ke Ipoh. Di Tambun Ipoh  kami bermalam di rumah Kakak Ngah  - kakak sulung aku  yang tinggal di  Kem Askar Melayu Tambun. Suami Kakak aku Pegawai Pasukan Renjer.

Ahad -  dari Ipoh kami menuju ke Kuala Kangsar. Mengikut sama ialah dua anak buah aku Norita dan Hazlan.  

Kami menyeberang  Sungai Perak sebelum masuk ke  Kuala Kangsar. Tidak susuh untuk menemui bangunan Kolej Melayu. Kami melintas  di hadapan sekolah dan terus  masuk ke pekan. Kami mencari kedai makan untuk makan tengah hari.

Aku ingat lagi kami sekeluarga   makan di warung Melayu di hadapan Sungai Perak.

Mata aku melayari pekan ini yang akan menjadi pekan aku tidak lama lagi.

Sesudah makan tengah hari  kami mengarah ke sekolah. Pak Cik Jalal memberhentikan kereta betul-betul di hadapan jam  besar sekolah.  Dari jauh mata aku melintasi padang yang luas  aku ternampak bangan klasik lama.

Lalu aku ternampak – long pavement with tile roof – jalan menapak beratap genting yang dikesahkan oleh Mister Gamma Khan. Oh ! Ini rupanya MCKK.

Beg aku diturunkan. Emak aku memasukan duit ke dalam poket baju aku.   Kami bersalaman.  Aku memeluk anak buah aku. Kau mengucap  selamat jalan. Mereka mengucap salam tinggal.

‘ Belajar baik baik...’  Dari Pak Cik Jalal.

‘ Rajin membaca.....’ Cik Gu Zaleha beri nasihat.

Abah aku seperti bisa kita banyak  cakap.  Kereta  berwarna hijau Pak Cik Jalal meluncur pulang ke Ipoh. Aku tercegat sendirian  tidak tahu apa yang harus aku lakukan.

Aku heret beg aku ke arah bangunan. Dari tingkap kaca aku tahu  bangunan yang aku tuju ialah bilik darjah.

Aku memandang ke arah padang yang maha luas. Aku perhatian bangunan klasik yang belum pernah aku lihat. Bangunan yang tidak wujud di Kuala Klawang mahu pun di Seremban. Aku kagum melihat sekolah baru aku.

Sedang aku  ngelamun  tertiba seorang akan muda  datang. Rupa bentuknya  Melayu tapi kulitnya  agak  hitam. Dia   memerhati ke arah  beg aku.

‘ New student... baru sampai...’  Dia membuka suara.

‘ Ya... Isham ...’ Aku menghulur tangan. Kami berjabat salam.

‘ Nana kawan  Ghani... dari Batu Pahat...’ Dia memperkenalkan diri.

‘ Dari Jelebu .. Negeri Sembilan... Form Six apa .. Arts ke Science... ‘  Aku bertanya.

‘ Kawan  Arts..’ Ghani menjelaskan.

‘ Kita satu kelas...’ Aku tersenyum gembira. Ghani Osman ialah kawan pertama aku kenali  di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Kami sesama bersalaman di bawah jam besar.

‘ Apa nak buat...register pukul berapa ...’  Ghani bertanya.

‘ Tak pasti... tapi aku nampak dah ada student.... depan tu hostel ke..’ Aku bertanya.

‘ Kawan belum makan lagi.. kawan sampai dengan bas  dari Ipoh tadi...kawan dari rumah Pak Saudara kawan...’  Ghani bercerita. 

‘ Mari gi town... aku dah makan.... aku tahu kedai makan......beg kita letak mana... ‘ Aku merela diri untuk menjadi pemandu.

‘ Aku rasa letakan kat rumah sana tu.... aku nampak banyak beg.....’ Aku menjawab soalan aku sendiri.

Kami membawa masuk beg kami dan meletakan di bangunan jalan beratap genting.  Aku rasa selamat kerana awalnya aku ternampak beg terletak di sana.

Kemudian kami keluar dari pintu sekolah dan  menapak ke pekan Kuala  Kangar. Kami berselisih dengan dua  tiga kumpulan anak muda yang aku lihat  ceria. Aku rasa mereka pastilah murid MCKK yang pulang dari bercuti panjang.

 Kami lalu depan Masjid yang aku lihat indah  terbuka.  Kami menapak menurun bukit lalu depan Tugu simpang tiga dan masuk ke dalam pekan.

Di hadapan kami bazar.  Kami menapak terus  mengarah ke  kedai-kedai makan depan yang tadinya aku telah sampai.

Sambil berjalan kami bersembang. Aku merasa agak pelik kerana Si Ghani ini membahasa kan dirinya  ‘ kawan bukan aku atau saya’. Aku dari Jelebu belum pernah mendengar  perkataan kawan sebagai ganti kepada aku atau saya.

Di Negeri Sembilan ada perkataan  den  dan doyan untuk  aku atau saya. Ini lorat Nogori yang amat  pekat. Di Jelebu ada yang menggunakan  tapi  tidak meluas seperti di Kuala Pilah atau Rembau.

Ghani makan aku hanya minum teh. 

Perkenalan pertama  biasanya agak susah juga. Tidak tahu apa yang nak dibualkan. Tidak tahu babak apa yang menarik. Tidak tahu yang mana wajib  diceritakan dan yang mana wajib terus disimpan.  

Aku juga tidak tahu apa yang perlu aku tanya. Di saat ini aku bergantung pada rasa hati. Rasa hati aku menyatakan  bahawa sosok bernama Ghani Osman yang sedang makan  di depan aku ini sosok baik.
Jatuh menjadi sosok baik kerana sosok yang pertama menyapa aku di wilayah yang begitu  asing untuk aku. Di wilayah yang aku kenal sesiapa pun.

‘ Seringgit tujuh kupang... semua... ‘ Tuan empunya kedai mengira..

‘ Berapa... berapa harga...’ Ghani menyoal kembali.

‘ Seringgit tujuh kupang...’ Tuan Kedai mengulang.

‘ Seringgit tujuh puluh sen.... ‘ Aku menerangkan kepada  Ghani.

‘ Sini tak pakai sen... pakai kupang...’ Aku berlagak seperti pemandu pelancong yang bijak. Perkataan kupang ini pun telah aku dengar ketika kali pertama hitch hiking   dengan Lee Keong ke Taiping.

Sesudah makan kami merayau ke dalam pekan. Kemudian Ghani ingin menggunakan  tandas. 

Ha! Satu masalah dalam pekan yang kami baru sampai kami tidak tahu hulu hilir. Akhirnya kami bertanya . 

‘ Kome  masuk sane ... nanti kome nampak...’ Abang Kuala Kangsar dengan pekat lorat Perak. 

Kami terjumpa tandas awam tidak jauh dari tempat makan.

Kemudian kami menapak pulang ke sekolah. Ketika ini semakin ramai pelajar membawa  beg menuju ke bilik masing-masing. Pulang dari bercuti atau mungkin seperti kami  pelajar baru masuk.

Kami hanya mengekor. Kami tak tahu arah mana.

Sampai ke dormitori kami tercegat berdiri.

‘  Woit... budak baru .. new student ... hang naaik atas... Suara dari seorang yang kami tidak kenali tapi arahan yang membantu.

Kami naik tangga dengan beg. Kami ikut pelajar yang bersuara masuk ke dorm. Aku lihat ramai pelajar – pasti yang senior – ada yang duduk di atas katil bersembang  ada    yang terbaring.

Aku nampak mereka  ceria gembira  penuh confidence  tidak  cuak dan takut seperti aku. Takut kerana tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

‘ Hang pa budak baru  masuk dorm twenty .. down under....’ Suara kuat terdengar. Aku tidak tahu suara sapa. 

Ghani dan  aku ikut arahan dan  masuk ke dorm di bawah. Dalam dorm ini telah ramai pelajar.  

Tertiba  Ghani ketawa dia terjumpa kawan   sekelas  dari sekolah yang sama -  High  School Batu Pahat.

‘ Hisham... ini Rashid... ‘ kami bersalaman. 

‘ Ambil katil....pasang kelambu... sebelah sini semua  yang baru masuk....’  Rashid yang dah sampai lebih awal sudah tahu apa yang perlu di buat.

Aku mengambil katil tepi tingkap.   Jarak satu  dari bilik kecil. Ghani di katil hadapan aku di sebelah katil  Rashid.

Aku menyediakan tempat tidur - bantal dan tilam ada disediakan. Kain cadar sarung bantal dan kelambu aku bawa dari rumah. 

Malam ini untuk pertama kalinya aku akan tidur dalam Dorm Twenty dengan kawan-kawan yang belum pernah aku kenali. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/07/20/dari-kuala-klawang-ke-kuala-kangsar



2 ulasan:

  1. Pelik bin Ajaib juga. TT ni budak kolet. Abam Nuar pun budak kolet. Kita tahu bahawa esperit d cock oppss eperit d corp budak-budak MCKK ni sangat utuh. Macam mana dua sosok ni boleh jadi musuh ketat. Apa yang telah dilakukan oleh abam sehingga TT amat memusuhi dan membencinya....jangan-jangan....tapi tak mungkin sbb Abam lebih senior rasanya....masa TT masuk asrama mungkin abang dah keluar....Ini persoalan abad ini yang memerlukan pencerahan....kah kah kahhh

    BalasPadam
  2. TT dulu lopeh McE kau elok masok askar ..siang2 dah dapek paku ..tontu sekarang kau dah Field Marshall ..baju rebeh (sarat) dongan paku ninja ..ado pistol ..jago tender moli sonjato ..jam rayo bawak balik C4, bakar mlm rayo ..kahkahkah

    BalasPadam