Kumpulan sivil kesal menteri cuba diamkan mangsa dera seksual
GABUNGAN Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) mengecam tindakan Menteri Hal Ehwal Agama Idris Ahmad kerana meminta seorang mangsa penderaan seksual tidak berkongsi pengalamannya kepada orang ramai demi menjaga reputasi bapanya.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu menyifatkan maklum balas menteri itu sebagai tidak boleh diterima sambil menambah ia merupakan pelanggaran yang jelas di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kenyataan sebegitu memalukan mangsa keganasan berasaskan seksual dan jantina (SGBV) agar mendiamkan diri, menyebabkan ramai berasa mereka bersendirian dalam menghadapi isu itu,” kata mereka.
Menurut JAG kenyataan yang keluar daripada individu yang mempunyai kedudukan dan pengaruh amat mengecewakan bagi semua mangsa SGBV yang terselamat.
“Ia menyumbang kepada kurangnya laporan dan ketakutan untuk bersuara kerana sikap menghakimi dan tindakan balas,” kata mereka.
Idris dipetik Berita Harian sebagai berkata pelakon kanak-kanak berusia 15 tahun itu tidak sepatutnya mendedahkan pengalamannya kepada umum, sebaliknya melaporkan kejadian itu kepada polis dan membiarkan undang-undang menjalankan tugasnya.
Ahli Parlimen PAS itu menasihatkan insiden penderaan mesti dikendalikan secara tertutup dengan melaporkannya kepada polis, bagi mengelak memalukan keluarga atau merosakkan nama baik bapanya.
Dalam temu bual podcast, pelakon kanak-kanak itu mendakwa dicabul bapanya ketika masih kecil. Dilaporkan remaja itu sudah memutuskan hubungan dengan bapanya.
JAG kemudiannya menegaskan tindakan menasihati mangsa terselamat dan ahli keluarga agar mengelak daripada bercakap mengenai pengalaman penderaan untuk melindungi pelaku adalah percanggahan nyata terhadap nilai teras undang-undang Malaysia dan SOP kerajaan yang bertujuan menghapuskan keganasan seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan oleh orang dewasa, termasuk ahli keluarga.
“Keluarga dan rumah adalah ruang selamat untuk kanak-kanak, bukan persekitaran penderaan. Undang-undang adalah jelmaan hidup tugas Malaysia untuk melindungi kanak-kanak di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC), yang turut disertai Malaysia.”
JAG turut menggesa Idris menjelaskan pendirian Jabatan Perdana Menteri mengenai hak kanak-kanak untuk selamat daripada ancaman seksual. – 9 September, 2022.
Kan gwa udah bilang...lebai pas lain dgn ulama islam salafi kah³ tak gitu tt?
BalasPadam