Khamis, 20 Oktober 2022

SABTU 8 FEBUARI 1970

 



SABTU  8 FEBUARI 1970


Kadang kala dalam perjalanan hidup kita ini ada babak-babak yang tidak dapat kita  lupakan. Babak-babak ini terus menjadi ingatan kita. 

Kenapa babak-babak ini terus terikat dalam ingatan – satu soalan yang aku tidak memiliki jawapan yang ilmiah. Apa yang aku faham babak ini terus  menjadi  ‘spesial’ lagi istimewa dan tak hilang dari ingatan. 

Justeru ianya terus jadi ingatan sampai ke akhir zaman. Tidak terpadam-padam. Mungkin kabur tapi jika  terusik  di kilap maka ianya akan muncul segar bersinar.

Tapi ada juga babak hidup aku yang luncur  hilang. Tertiba seorang  kawan berkata ‘ ....kau dah lupa ke.. petang tu... kita jumpa dia kat Old Town Brickfeild.....’  

Dalam satu babak yang sama ada ramai  yang  terlibat bermain termasuk aku sendiri. Mungkin babak ini akan  terus menjadi ingatan atau mungkin  akan terlupa.

Pada hemat aku ada babak   meluncur hilang kerana aku tidak anggap  ianya penting. Justeru ingatan itu tidak tersimpan. Walhal babak yang sama menjadi  ingatan kepada kawan-kawan yang ada bersama ketika babak ini berlaku. 

Dalam perjalanan hidup  yang terpencar-pencar ada  yang berlaku pada diri kita tak jadi  ingatan. Walhal perkara yang sama berlaku pada Si Polan yang lain  akan menjadi  ingatan untuk mereka.

Kita juga ada menyimpan ingatan yang  memang  sengaja kita simpan. Babak yang  tak mungkin ‘terdelete’ dari ingatan.

Pasti kita  ingat kali pertama kita bertemu Si Minah  Cun itu.  Tangan dipegang kata di lafaz. Berjanji seia sekata untuk sehidup semati. Atau kali pertama terlihat muka   Si Mamat yang kacak itu. 

Mustahil aku akan melupakan kali  pertama aku jatuh cinta. Kali pertama  aku ditinggal kekasih. Kali pertama menerima surat ‘ Selamat tinggal Joe....’

Aku ingat lagi linangan air  jatuh berderai seolah-olah  dunia ini telah  runtuh. 

Ingatan genre ini hanya ada dalam pita rakaman peribadi dan tidak dikongsi justeru tidak menjadi tajuk perbualan atau bahan gelak ketawa.

Pada Khamis 6 Februari 1970 aku berada di MCKK.  Ketika itu aku tinggal  di Pavilion dalam dormitori  yang aku namakan Dorm Kapal Haji.  Nama ini muncul kerana beg pakaian yang kami bawa dari kampung tidak kami simpan ke dalam stor. Beg-beg ini masih tersusun dalam dorm sama seperti dalam kapal  membawa bakal haji ke Mekah.

Hari Khamis itu ialah   hari Tahun Baru China. Tidak ada apa yang istimewa berlaku pada hari itu.  Sekolah bercuti.   Esoknya Jumaat seperti biasa  sesudah loceng tengah hari berbunyi kami satu sekolah ke Masjid untuk sembahyang Jumaat.

Sabtu pagi 8  Februari  di Dorm Kapal Haji ‘inspection’ berjalan. Rambut dipastikan pendek. Kelengkapan mandi terurus baik. Lokar kain baju  dan  buku teratur  dan tersusun. Kasut kulit  hitam telah di kiwi licin.  Selesai inspection pagi Sabtu aku ingin keluar ke pekan Kuala. 

Di Kuala Kangsar ada tiga buah panggung – Rex, Cathay dan Capitol. Hujung minggu pasti ada filem Inggeris yang disediakan untuk Budak Koleq. 

‘ Herman.... kau nak ke town nak nengok filem apa...’  Anwar Rahim a.k.a Wabbit  warga Kapal Haji dari aliran Sains. Katil Anwar di hadapan katil aku.

‘ Tak pasti... tengok apa yang ada....’  Aku menjawab.

‘ Chinese New Year ni... takda apa spesial....’ Anwar bertanya.

‘ Ooo.... betul juga entah... mungkin filem  kung fu Bruce Lee....’ Aku melawak.

‘ Ah laaaa kat Koleq ni... Chinese New Year takda apa-apa...masa aku sekolah di Kuantan ramai class-mate China... leh gi beraya....’ Anwar teringat zaman sebelum masuk MCKK.

Anwar  Wabbit ini  sama macam aku masuk ke MCKK dari Tingkatan Enam.

Anwar  mengingatkan aku tentang Tahun Baru China yang di Jelebu.  Di Kuala Klawang ketika Tahun Baru China aku akan pergi bertandang makan kuih bulan, minum air botol dan makan kacang di rumah kawan aku Lee Keong.

‘ Di Kuala ni kita tak  ada kawan China....’ Anwar bersurah

‘ Ah Seng tukang dobi adalaaah...’ Aku menjawab.

Tertiba muncul Ibrahim Salleh a.k.a. Yok  yang katilnya di sebelah katil aku.

‘ Yuk Keong ada..  tukang jahit MCKK... baju semua tempah pada dia.. boleh raya rumah dia....’ Yok memberi ingatan.

‘ Rumah dia kat mana ....’ Aku bertanya. 

Kedai  jahit Yuk Keong ini antara beberapa  kedai tukang jahit dalam Bazar Kuala Kangsar. Tukang jahit ini  popular dan dilanggan oleh Budak Koleq. Aku juga pernah menempah uniform sekolah dengan seluar putih bell-bottom yang menjadi  fesyen ikutan  ketika itu.

Yok, Wabbit dan aku mula merancang. Tanpa di sengaja kami kini memasang niat  untuk pergi berhari raya ke rumah tukang jahit  Yuk Keong.

Lepas makan tengah hari  dua lagi warga Dorm Kapal Haji – Hatta Shahrom dan Mahmud Awang Kecik -  ingin bersama ke rumah Yuk Keong. 

Kami menapak ke arah Panggung Kapitol kemudian menyimpang ke kawasan perumahan China di tepi pekan Kuala.

Rumah papan atas tanah di keliling banyak pokok-pokok buah.  Mungkin tanah setinggan.

‘  Well come... masuk masuk... ‘ Tuan rumah menyambut kami masuk.

‘ Happy New Year.... Kong Hee Kong Hee...’ Yok bersuara.

Kami masuk dan duduk di kerusi ruang tamu.  Di atas meja satu bungkus  Kacang Mengelembu sudah terbuka. Sepinggan kuih pau bersama kuih bulan terhidang.

 Ini pasti kuih pau dari Restoran Yut Loy yang memang popular  di kalangan Budak Koleq.


Di meja kecil ada berapa minuman ringan dalam tin. Juga beberapa botol  air soya dan sebaris botol Tiger beer.

‘ Please... help your self.... any drink... ada air kacang... coke ada... beer ada....’ Tuan rumah menjemput.

Bila mendengar beer  - kami berpandangan sesama sendiri. Tanpa  perlu dipelawa  sekali lagi Tuan Rumah membuka beer dan menuang  ke dalam lima gelas.

Wabbit mengambil rokok Benson dari atas meja dan terus menghisap rokok. Melihat Wabbit merokok yang lain pun ikut sama.

Kami semua bukan perokok. Tapi petang itu kami nak merayakan rokok tukang jahit kami.

Kami tahu apa yang kami buat. Aku tahu apa yang aku minum. Aku tahu apa yang aku hisap.

Rokok di bibir , tangan kiri  aku mencapai kacang. Sambil merokok. sambil minum Tiger beer sambil kami makan kacang,  kuih pau, kuih   kapit  dan kuih bulan.

Kami betul-betul merayakan Tahun Baru China 1970.

Untuk aku ini bukan kali pertama aku  minum beer. Kawan-kawan yang lain aku tak tahu. Apakah  ini kali pertama mereka minum beer. 

Di Jelebu lagi aku telah beberapa kali minum beer.  Cuba-cuba minum  bila di beri secawan beer ketika kami berkelah di Bukit Tangga. Siapa membawa beer aku tidak tahu. Yang aku ingat itu kali pertama aku minum Tiger beer. 

Begitu juga rokok. Menghisap rokok bukan satu yang asing dalam budaya Melayu  kampung. Jika ada kenduri kendara akan keluar bujam dengan rokok , sirih, pinang dan tembakau. Ini adat budaya budi bahasa Melayu Kampung.

Wan Rahmah aku sentiasa ada  tembakau dan daun pucuk tersimpan dalam  bujam. Bila tamu datang ke rumah  bujam dan tepak sirih akan sampai dulu untuk menyambut tamu sebelum teh atau kopi   dan biskut kering menyusul.

Aku rasa Mahmud Awang Kecik  anak sempadan Siam dari Rantau Panjang pasti lebih berpengalaman dari aku.

Aku membuat andaian  ini kerana Mahmud pernah menunjukkan pada aku  majalah porno xxx yang dibelinya di Golok. Tidak cukup dengan majalah porno – Mahmud juga  membeli panties  seluar dalam perempuan untuk dijadikan seluar dalam dirinya. 

Aku terperanjat besar melihat  dia memakai panties sebagai seluar dalam. Tapi tak siapa yang tahu kerana  seluar dalam ini tersorok dalam seluar.

Sedang kami seronok  bersembang merokok dan berTiger  tertiba  kedengaran bunyi basikal  sampai. 

Kami berpandangan. Apakah ada lagi  tamu sampai walau pun hari dah  petang.

Aduh !  Ini basikal prefect.

Belum sempat kami lakukan apa-apa dua prefect – Jamil dan Abu Bakar Che Man  - telah muncul di muka pintu. Beer kami masih berbuih dalam gelas dan asap rokok masih berkepul-kepul memenuhi ruang  tamu.

Merokok dan minum beer satu kesalahan di MCKK.

Lima kepala berpandangan sesama sendiri. Debaran hati hanya diri kami sahaja yang tahu. Bahan bukti dilihat jelas di atas meja.

Wabbit mengenyit mata aku. Aku mencuit Hatta. Yok melihat apa yang berlaku. Mahmud faham duduk keadaan

‘ Yuk Keong.... Happy New Year.... we go first...’ Yok meminta diri.

‘ Kong Hee Kong Hee...’  Aku menyampuk.

Dua prefect mengambil tempat kami. Kami bangun dan berundur keluar.

Kami menapak  pulang ke asrama.

‘ Kau ingat  dua ekor tu lapor kita pada HM  taak .... ‘ Aku bertanya dalam keadaan risau.

‘ Dia orang lepas kita belah..... akan minum sama...’ Yok menyedapkan hati dengan pandangan positif.

‘ Apa akan jadi pada kita....kena expell ke ...’ Hatta Shahrom bertanya. Kerisauan amat jelas.

Kami semua tahu apa yang telah kami lakukan. Apa yang merisaukan kami ialah kami tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

Jamil dan Abu Bakar ini semuanya dari aliran Sains. Untuk aku mereka ini aku  anggap ‘ square’ kerana itu mereka  diangkat  menjadi prefect.

Mengikut kata Ghani kawan baik aku  Abu Bakar ini muka ‘ belia’. Ini konsep anak muda Johor.  Awalnya aku tak faham apa yang dimaksudkan oleh Ghani sebagai muka belia. 

‘ Herman.... belia ni.... tak cool..macam hippi yang rambut panjang...’ Ghani menerangkan.

Kami sampai ke asrama.  Kami berlagak seperti tidak ada apa-apa berlaku.   Petang sampai kami menukar pakaian.  Sabtu malam ada tayangan filem di Dewan Hargreaves. Relax menuntun filem.

‘Jangan buka cerita pada sapa-sapa... nanti heboh...’ Yok a. k. a  Ibrahim Saleh anak Seberang Takir memberi arahan.

Selesai malam Sabtu. Masuk Ahad. MCKK masih lagi bercuti.  Senin satu Koleq akan berhimpun di Dewan Hargreaves. Apakah nama kami akan naik. Apakah laporan dah sampai ke meja Guru Besar. 

Apakah kami akan kena rotan – public canning -  di hadapan semua pelajar.  Soalan- soalan tanpa jawapan. 

Hati berdebar menunggu pagi Senin hari Perhimpunan Resmi sekolah.  Apakah nama kami akan dipanggil. (TT) 
( akan di sambung)


TULISAN INI JUGA
DISIRKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/10/20/8-februari-1970


Tiada ulasan:

Catat Ulasan