SABTU 8 FEBUARI 1970
Kadang kala dalam perjalanan hidup kita ini ada babak-babak yang tidak dapat kita lupakan. Babak-babak ini terus menjadi ingatan kita.
Kenapa babak-babak ini terus terikat dalam ingatan – satu soalan yang aku tidak memiliki jawapan yang ilmiah. Apa yang aku faham babak ini terus menjadi ‘spesial’ lagi istimewa dan tak hilang dari ingatan.
Justeru ianya terus jadi ingatan sampai ke akhir zaman. Tidak terpadam-padam. Mungkin kabur tapi jika terusik di kilap maka ianya akan muncul segar bersinar.
Tapi ada juga babak hidup aku yang luncur hilang. Tertiba seorang kawan berkata ‘ ....kau dah lupa ke.. petang tu... kita jumpa dia kat Old Town Brickfeild.....’
Dalam satu babak yang sama ada ramai yang terlibat bermain termasuk aku sendiri. Mungkin babak ini akan terus menjadi ingatan atau mungkin akan terlupa.
Pada hemat aku ada babak meluncur hilang kerana aku tidak anggap ianya penting. Justeru ingatan itu tidak tersimpan. Walhal babak yang sama menjadi ingatan kepada kawan-kawan yang ada bersama ketika babak ini berlaku.
Dalam perjalanan hidup yang terpencar-pencar ada yang berlaku pada diri kita tak jadi ingatan. Walhal perkara yang sama berlaku pada Si Polan yang lain akan menjadi ingatan untuk mereka.
Kita juga ada menyimpan ingatan yang memang sengaja kita simpan. Babak yang tak mungkin ‘terdelete’ dari ingatan.
Pasti kita ingat kali pertama kita bertemu Si Minah Cun itu. Tangan dipegang kata di lafaz. Berjanji seia sekata untuk sehidup semati. Atau kali pertama terlihat muka Si Mamat yang kacak itu.
Mustahil aku akan melupakan kali pertama aku jatuh cinta. Kali pertama aku ditinggal kekasih. Kali pertama menerima surat ‘ Selamat tinggal Joe....’
Ingatan genre ini hanya ada dalam pita rakaman peribadi dan tidak dikongsi justeru tidak menjadi tajuk perbualan atau bahan gelak ketawa.
Pada Khamis 6 Februari 1970 aku berada di MCKK. Ketika itu aku tinggal di Pavilion dalam dormitori yang aku namakan Dorm Kapal Haji. Nama ini muncul kerana beg pakaian yang kami bawa dari kampung tidak kami simpan ke dalam stor. Beg-beg ini masih tersusun dalam dorm sama seperti dalam kapal membawa bakal haji ke Mekah.
Hari Khamis itu ialah hari Tahun Baru China. Tidak ada apa yang istimewa berlaku pada hari itu. Sekolah bercuti. Esoknya Jumaat seperti biasa sesudah loceng tengah hari berbunyi kami satu sekolah ke Masjid untuk sembahyang Jumaat.
Sabtu pagi 8 Februari di Dorm Kapal Haji ‘inspection’ berjalan. Rambut dipastikan pendek. Kelengkapan mandi terurus baik. Lokar kain baju dan buku teratur dan tersusun. Kasut kulit hitam telah di kiwi licin. Selesai inspection pagi Sabtu aku ingin keluar ke pekan Kuala.
Di Kuala Kangsar ada tiga buah panggung – Rex, Cathay dan Capitol. Hujung minggu pasti ada filem Inggeris yang disediakan untuk Budak Koleq.
‘ Herman.... kau nak ke town nak nengok filem apa...’ Anwar Rahim a.k.a Wabbit warga Kapal Haji dari aliran Sains. Katil Anwar di hadapan katil aku.
‘ Tak pasti... tengok apa yang ada....’ Aku menjawab.
‘ Chinese New Year ni... takda apa spesial....’ Anwar bertanya.
‘ Ooo.... betul juga entah... mungkin filem kung fu Bruce Lee....’ Aku melawak.
‘ Ah laaaa kat Koleq ni... Chinese New Year takda apa-apa...masa aku sekolah di Kuantan ramai class-mate China... leh gi beraya....’ Anwar teringat zaman sebelum masuk MCKK.
Anwar Wabbit ini sama macam aku masuk ke MCKK dari Tingkatan Enam.
Anwar mengingatkan aku tentang Tahun Baru China yang di Jelebu. Di Kuala Klawang ketika Tahun Baru China aku akan pergi bertandang makan kuih bulan, minum air botol dan makan kacang di rumah kawan aku Lee Keong.
‘ Di Kuala ni kita tak ada kawan China....’ Anwar bersurah
‘ Ah Seng tukang dobi adalaaah...’ Aku menjawab.
Tertiba muncul Ibrahim Salleh a.k.a. Yok yang katilnya di sebelah katil aku.
‘ Yuk Keong ada.. tukang jahit MCKK... baju semua tempah pada dia.. boleh raya rumah dia....’ Yok memberi ingatan.
‘ Rumah dia kat mana ....’ Aku bertanya.
Kedai jahit Yuk Keong ini antara beberapa kedai tukang jahit dalam Bazar Kuala Kangsar. Tukang jahit ini popular dan dilanggan oleh Budak Koleq. Aku juga pernah menempah uniform sekolah dengan seluar putih bell-bottom yang menjadi fesyen ikutan ketika itu.
Yok, Wabbit dan aku mula merancang. Tanpa di sengaja kami kini memasang niat untuk pergi berhari raya ke rumah tukang jahit Yuk Keong.
Lepas makan tengah hari dua lagi warga Dorm Kapal Haji – Hatta Shahrom dan Mahmud Awang Kecik - ingin bersama ke rumah Yuk Keong.
Kami menapak ke arah Panggung Kapitol kemudian menyimpang ke kawasan perumahan China di tepi pekan Kuala.
Rumah papan atas tanah di keliling banyak pokok-pokok buah. Mungkin tanah setinggan.
‘ Happy New Year.... Kong Hee Kong Hee...’ Yok bersuara.
Ini pasti kuih pau dari Restoran Yut Loy yang memang popular di kalangan Budak Koleq.
Di meja kecil ada berapa minuman ringan dalam tin. Juga beberapa botol air soya dan sebaris botol Tiger beer.
‘ Please... help your self.... any drink... ada air kacang... coke ada... beer ada....’ Tuan rumah menjemput.
Bila mendengar beer - kami berpandangan sesama sendiri. Tanpa perlu dipelawa sekali lagi Tuan Rumah membuka beer dan menuang ke dalam lima gelas.
Wabbit mengambil rokok Benson dari atas meja dan terus menghisap rokok. Melihat Wabbit merokok yang lain pun ikut sama.
Kami semua bukan perokok. Tapi petang itu kami nak merayakan rokok tukang jahit kami.
Kami tahu apa yang kami buat. Aku tahu apa yang aku minum. Aku tahu apa yang aku hisap.
Rokok di bibir , tangan kiri aku mencapai kacang. Sambil merokok. sambil minum Tiger beer sambil kami makan kacang, kuih pau, kuih kapit dan kuih bulan.
Kami betul-betul merayakan Tahun Baru China 1970.
Untuk aku ini bukan kali pertama aku minum beer. Kawan-kawan yang lain aku tak tahu. Apakah ini kali pertama mereka minum beer.
Di Jelebu lagi aku telah beberapa kali minum beer. Cuba-cuba minum bila di beri secawan beer ketika kami berkelah di Bukit Tangga. Siapa membawa beer aku tidak tahu. Yang aku ingat itu kali pertama aku minum Tiger beer.
Begitu juga rokok. Menghisap rokok bukan satu yang asing dalam budaya Melayu kampung. Jika ada kenduri kendara akan keluar bujam dengan rokok , sirih, pinang dan tembakau. Ini adat budaya budi bahasa Melayu Kampung.
Wan Rahmah aku sentiasa ada tembakau dan daun pucuk tersimpan dalam bujam. Bila tamu datang ke rumah bujam dan tepak sirih akan sampai dulu untuk menyambut tamu sebelum teh atau kopi dan biskut kering menyusul.
Aku rasa Mahmud Awang Kecik anak sempadan Siam dari Rantau Panjang pasti lebih berpengalaman dari aku.
Aku membuat andaian ini kerana Mahmud pernah menunjukkan pada aku majalah porno xxx yang dibelinya di Golok. Tidak cukup dengan majalah porno – Mahmud juga membeli panties seluar dalam perempuan untuk dijadikan seluar dalam dirinya.
Aku terperanjat besar melihat dia memakai panties sebagai seluar dalam. Tapi tak siapa yang tahu kerana seluar dalam ini tersorok dalam seluar.
Sedang kami seronok bersembang merokok dan berTiger tertiba kedengaran bunyi basikal sampai.
Kami berpandangan. Apakah ada lagi tamu sampai walau pun hari dah petang.
Aduh ! Ini basikal prefect.
Belum sempat kami lakukan apa-apa dua prefect – Jamil dan Abu Bakar Che Man - telah muncul di muka pintu. Beer kami masih berbuih dalam gelas dan asap rokok masih berkepul-kepul memenuhi ruang tamu.
Merokok dan minum beer satu kesalahan di MCKK.
Lima kepala berpandangan sesama sendiri. Debaran hati hanya diri kami sahaja yang tahu. Bahan bukti dilihat jelas di atas meja.
Wabbit mengenyit mata aku. Aku mencuit Hatta. Yok melihat apa yang berlaku. Mahmud faham duduk keadaan
‘ Yuk Keong.... Happy New Year.... we go first...’ Yok meminta diri.
‘ Kong Hee Kong Hee...’ Aku menyampuk.
Dua prefect mengambil tempat kami. Kami bangun dan berundur keluar.
Kami menapak pulang ke asrama.
‘ Kau ingat dua ekor tu lapor kita pada HM taak .... ‘ Aku bertanya dalam keadaan risau.
‘ Dia orang lepas kita belah..... akan minum sama...’ Yok menyedapkan hati dengan pandangan positif.
Kami semua tahu apa yang telah kami lakukan. Apa yang merisaukan kami ialah kami tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.
Jamil dan Abu Bakar ini semuanya dari aliran Sains. Untuk aku mereka ini aku anggap ‘ square’ kerana itu mereka diangkat menjadi prefect.
Mengikut kata Ghani kawan baik aku Abu Bakar ini muka ‘ belia’. Ini konsep anak muda Johor. Awalnya aku tak faham apa yang dimaksudkan oleh Ghani sebagai muka belia.
‘ Herman.... belia ni.... tak cool..macam hippi yang rambut panjang...’ Ghani menerangkan.
Kami sampai ke asrama. Kami berlagak seperti tidak ada apa-apa berlaku. Petang sampai kami menukar pakaian. Sabtu malam ada tayangan filem di Dewan Hargreaves. Relax menuntun filem.
‘Jangan buka cerita pada sapa-sapa... nanti heboh...’ Yok a. k. a Ibrahim Saleh anak Seberang Takir memberi arahan.
Selesai malam Sabtu. Masuk Ahad. MCKK masih lagi bercuti. Senin satu Koleq akan berhimpun di Dewan Hargreaves. Apakah nama kami akan naik. Apakah laporan dah sampai ke meja Guru Besar.
Apakah kami akan kena rotan – public canning - di hadapan semua pelajar. Soalan- soalan tanpa jawapan.
Hati berdebar menunggu pagi Senin hari Perhimpunan Resmi sekolah. Apakah nama kami akan dipanggil. (TT)
( akan di sambung)
TULISAN INI JUGA
DISIRKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan