ASAM PEDAS
DAN BANJIR
Bulan puasa November tahun 1970 aku selesai belajar di MCKK. Kini Menunggu keputusan Higher School Certificate (HSC ) untuk melamar masuk ke universiti. Proses menunggu yang agak lama.
Ini kerana semua kertas jawapan peperiksaan (HSC) kecuali Bahasa Melayu di periksa di luar negara – United Kingdom. Justeru wajib menunggu beberapa bulan.
Tahun-tahun 60’an – 70’an keputusan HSC untuk pelajar yang lulus akan diumumkan dalam akhbar seperti Utusan, Berita Harian dan juga Straits Times. Malah nama pelajar yang menerima ijazah dari Universiti Malaya juga akan di siarkan oleh Utusan Melayu.
Menunggu ini menjadikan aku resah dan gelisah di kampung. Tertiba aku dapat surat dari Ghani kawan baik Budak Koleq. Dia berasal dari Batu Pahat.
Ghani ajak berjumpa di Kuala Lumpur. Dia ada dua tiket untuk menuntun pertandingan akhir Juara Kugiran yang akan diadakan di Stadium Negara. Aku tidak tahu dari mana Ghani dapat tiket.
Kami buat temu janji. Aku hitch hike dari Seremban. Ghani hitch hike dari Batu Pahat.
Tahun 70’an hitch hike ini menjadi satu yang biasa untuk anak muda berjalan berjimat modal terutama musim cuti sekolah.
‘ Aku dapat surat temu duga di Pejabat Pelajaran Ipoh untuk jadi guru...lepas tengok Juara Kugiran kita celah ke Ipoh...’ Ghani bercerita bila kami berjumpa di Bas Stesen Foch Avenue.
‘ Aku tak konfiden... akan lulus HSC... lebih baik aku bersedia.... maths aku ok... yang lain aku tak sure....’ Ghani.
Kami menumpang di rumah kakak aku di Lapangan Terbang lama di Sungai Besi.
Lewat petang kami sampai ke Stadium Merdeka yang penuh dengan anak muda peminat Pop Yeah Yeah. Ini kali pertama aku masuk ke Stadium Merdeka. Hairan juga aku kerana dari tempat letak tangan di kerusi ada udara dingin keluar.
‘ Herman... ada kugiran dari Batu Pahat.... aku kenal Band Titiwangsa ini ... Tengku Idham kepala dia...Mike Ibrahim penyanyi.. hot hot...’ Ghani beri aku kuliah muzik sebelum pertandingan bermula.
Betul jangkaan Ghani. Band Titiwangsa dengan lagu Chok Chok Kendung menjadi Juara Kugiran 1970. Aku merasa bangga kerana berada bersama merayakan budaya Pop Yeah Yeah di malam itu.
Esoknya kami hitch hike ke Ipoh dan menumpang di rumah kakak aku di Tambun.
Aku teman kan Ghani ke Pejabat Pelajaran Ipoh. Dia kelihatan ceria apabila keluar dari temu duga.
‘ Herman... aku rasa aku akan jadi guru...masuk Kolej Guru di Pulau Pinang...’ Ghani menerangkan.
Selesai temu duga kami hitch hike pulang. Kami berpisah di Seremban. Aku pulang ke Jelebu. Ghani pulang ke Batu Pahat.
‘ Nanti aku datang ke Batu Pahat...’ Aku berjanji dengan Ghani.
Kini kawan-kawan aku ada di merata pelusuk Semenanjung bukan hanya di Jelebu. Di Batu Pahat ada Kamat, ada Rashid Harun , di JB ada Hatta Shahrom, di Kota Tingggi ada Hamid Samad. Semua masuk ke MCKK dalam tahun yang sama dengan aku.
Untuk menepati janji dengan Ghani aku bergerak ke Batu Pakat. Aku hitch hike sendirian dari Seremban ke Tampin.
Hitch hike seorang diri ada baik ada dan ada buruk. Buruknya : kalau tak ada kereta berhenti akan bosan menunggu di jalan seorang diri. Baiknya: motosikal pun boleh ditumpang.
Nasib aku baik dari Tampin aku dapat menumang motosikal Abang Melayu yang nak pergi ke Melaka.
‘ Pernah rasa gulai Asam Pedas Melaka....’ Abang Melayu bertanya.
Aku jangka Abang Melayu ini hendak belanja makan gulai Asam Pedas Melaka tapi harapan aku kecewa. Abang ini hanya memperkenalkan nama masakan yang mengancam lapar aku.
Sampai ke Batu Pahat aku cari No 43 Jalan Fatimah. Ini alamat surat menyurat aku dengan Ghani.
Bila aku temui alamat ini aku terperanjat. Ini bangunan Syarikat Teksi. Lalu aku bertanyakan Ghani Osman pelajar dari Kolej Melayu.
‘ Ooo..... mari kawan tunjukkan rumah Ghani.. tak jauh dari ini... kawan ini Pak Sedara Ghani.... “ Abang Teksi membantu.
Abang Teksi ini menggunakan perkataan kawan. Lalu aku teringat kembali perkataan ‘kawan’ yang digunakan oleh Ghani pada hari pertama kami bertemu di hadapan jam besar MCKK
Ghani gembira menyambut aku. Dia di rumah bersama Emak dan dua adik lelaki. Ayah Ghani seorang pelaut tidak ada di rumah.
Kami bersembang tentang itu dan ini. Aku bercerita tentang aku dapat menumpang Abang motosikal dari Tampin ke Melaka.
‘ Apa spesial gulai Asam Pedas Melaka.... ‘ Aku bertanya.
‘ Tak pernah rasa ke.. asam pedas ini masakan Orang Johor...’ Ghani menerangkan.
Tanpa kami sedari perbualan kami didengar oleh Emak Ghani.
‘ Negeri Sembilan masak pakai santan kelapa ... Orang Johor masak asam pedas ... tak pakai kelapa.... malam ni boleh rasa....’ Emak Ghani menyampuk.
Emak Ghani menepati janji. Malam itu untuk pertama kalinya aku makan gulai asam pedas ikan kembung. Cukup enak. Berpeluh juga dahi aku.
Di Batu Pahat aku bertemu dengan Kamat dan Rashid. Mereka juga tidak buat apa-apa. Kami semua sedang menunggu.
Hujan mula turun. Musim hujan akhir tahun sampai. Aku nak meneruskan perjalanan ke Johor Bahru. Tak mungkin aku boleh hitch hike kerana hujan. Aku tunggu cuaca panas.
Emak Ghani yang baik hati telah membasuh seluar jean biru aku. Kerana musim hujan maka seluar aku tidak kering. Aku wajib menunggu sehari lagi hingga seluar kering.
Tertiba berita buruk sampai – banjir melanda jalan ke Johor Baru. Jalan melalui Simpang Renggam dan jalan melalui Benut juga ditutup.
Aku tersangkut di Batu Pahat. Setiap malam Emak Ghani memasak gulai ikan asam pedas.
Tiap hari adik Ghani akan pergi ke stesen bas untuk bertanya apakah bas akan berjalan. Hari ketiga adik si Ghani ini berkejar pulang.
‘ Lagi satu jam ada bas... jalan Air Hitam dibuka...’ Anak berumur 12 tahun ini membawa berita gembira. Aku bergegas bersiap untuk mengambil bas menuju Johor Baru.
Di JB aku singgah di rumah Hatta di Kempas. Wilayah JB tidak hujan. Dari TV aku melihat berita banjir besar melanggar Kuala Lumpur. Jalan Tuanku Abdul Rahman dinaiki air.
Dari JB aku berjalan ke Kota Tinggi. Ini kali pertama aku sampai ke wilayah ini.
Malam pertama aku di Kota Tinggi Emak Hamid telah menghidangkan gulai ikan parang asam pedas. Aku kini sedar bahawa aku bukan lagi di wilayah gulai lomak belado Negori Sembilan. Johor negeri asam pedas.
Hamid Samad membawa aku melawat makam Sultan Mahmud Mangkat Di Julang di tepi Sungai Kota Tinggi.
Rumah Hamid yang tidak jauh dari sungai kini dalam persediaan. Semua perabot telah di ikat dan di kumpul ke bumbung. Dalam rumah dilihat kosong. Aku budak Jelebu yang tidak pernah mengalami banjir melihat dan merakam.
Hari ke dua Hamid membawa aku ke Air Terjun Kota Tinggi. Ini menarik perhatian aku kerana ianya jauh lebih tinggi dari Jeram Toi di Bukit Tangga Jelebu.
Kami merayau dalam pekan Kota Tinggi. Kemudian Hamid membawa aku ke kedai gambar.
‘ Cuba teka itu gambar sapa....’ Hamid minta aku meneka.
Gambar tiga orang gadis Melayu berdiri berkebaya berselendang dan berkain batik. Gambar ingatan untuk Hari Raya. Gambar besar hitam putih dalam bingkai ini diambil dalam studio.
Aku merapati gambar dalam almari kaca itu.
‘ Tak kenal....’ Aku gagal.
‘ Ni gambar Rafeah Buang... neneknya dari Kota Tinggi....’ Hamid menerangkan.
Aku rapati kembali gambar in sekali lagi. Ini gambar Rafaeh Buang ketika gadis sunti belasan tahun. Kalau gambar terkini mustahil aku tidak mengenal wajah Rafaeh Buang penyanyi Pop Yeah Yeah yang sedang mencipta nama.
Rafeah Bung juga pernah menyanyi dengan The Swallows – kugiran yang aku minat dari Singapura.
Cuaca baik di Kota Tinggi beralih. Hujan renyai mula sampai. Mustahil aku boleh hitch hike pulang ke Jelebu.
Pulang ke JB kawan aku Hatta memberi cadangan kerana hujan agar aku naik kereta api ke Seremban.
Malam terakhir aku di JB sekali aku merasa masakan sama pedas. Kali ini agak spesial. Asam pedas ikan sembilang laut.
Dalam perjalanan kereta api dari JB ke Seremban ada beberapa tempat hujan lebat. Di Gemas hujan rintik-rintik.
Hakikatnya hujan akhir tahun 1970 amat lebat. Banjir disana sini.
Hujan lebat telah meruntuhkan beberapa lereng di Bukit Tangga. Jalan tertimbus. Bas Lim beri khidmat dari Seremban sekerat jalan ke Kuala Klawang.
Di tengah hutan Bukit Tangga penumpang wajib jalan kaki kerana tanah runtuh. Selepas melintas kawasan tanah runtuh ada sebuah bas menunggu untuk menyambung perjalanan ke Kuala Klawang.
Aku tidak ada pilihan. Aku nak pulang ke kampung. Petang itu hanya ada beberapa orang penumpang bersama aku.
Kami sempat melihat bangkai sebuah bas milik Syarikat Lim telah jatuh ke dalam gaung. Nasib baik tidak ada kematian.
Aku sampai ke Kampung Chenor. Jambatan ke kampung aku telah runtuh dibawa air. Jabatan Kerja Raya membuat jambatan sementara. Agaknya bising bunyinya bila dilalui oleh kereta.
Pak Angah aku YB wakil rakyat Kawasan Pertang sibuk memberi bantuan kepada mangsa banjir. Sawah rosak. Ayam itik lembu dan kambing banyak di hanyut air.
Dari rakaman sejarah inilah banjir paling besar yang meruntuhkan berpuluh puluh jambatan kayu kecil dan besar di Jelebu.
Jelebu kawasan kering. Tahun 1970 untuk pertama kalinya dilanda banjir. Aku hanya mendengar cerita. Bila aku sampai ke kampung banjir sudah surut.
Aku gembira selamat pulang bukan kerana selamat dari banjir. Selamat menukar selera dari gulai asam pedas kembali menikmati gulai lomak belado ikan sawah. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/12/01/asam-pedas-dan-banjir
Jauh berjalan luas pandangan, luas pemikiran anda, tapi yang di ulu ulu kampung kampung masih anggap gerombolon sebagai penyelamat bangsa agama negara, disokong dengan sedikit wang syukur alhamdulliah lah sampai sekarang hidup hidup hidup amin, pergi berjalan ke luar negara dan tengok, kemajuan orang, kekurangan ora g Dan negara mereka kah kah kah
BalasPadamekao herman samo macam ayoh metuo den di port deksen.
BalasPadambila mak metuo den masak asam podeh melako maka merungutlah ayoh metuo den.
ayoh metuo den hanya suka masak lomak cili api yooo masak lain taknak nyo
susah gwa nak tune selero ayah metuo den mai makan nasi kandaq penang kahkahkah