Khamis, 1 Disember 2022

ASAM PEDAS DAN BANJIR



ASAM PEDAS

 DAN BANJIR


Bulan  puasa November tahun 1970 aku selesai belajar  di MCKK.  Kini Menunggu  keputusan Higher School Certificate (HSC ) untuk melamar masuk ke universiti.  Proses menunggu yang agak lama.

Ini kerana semua kertas  jawapan peperiksaan (HSC)  kecuali Bahasa Melayu di periksa di luar negara – United Kingdom. Justeru wajib menunggu beberapa bulan.

Tahun-tahun 60’an – 70’an keputusan HSC untuk pelajar yang lulus akan diumumkan dalam akhbar seperti Utusan, Berita Harian dan juga Straits Times. Malah nama pelajar yang menerima ijazah dari Universiti Malaya juga akan di siarkan oleh Utusan Melayu.

Menunggu ini menjadikan aku resah dan gelisah di kampung.  Tertiba aku dapat surat dari Ghani kawan baik Budak Koleq. Dia berasal dari Batu Pahat.

Ghani ajak berjumpa  di Kuala Lumpur. Dia ada dua tiket untuk menuntun pertandingan akhir Juara Kugiran yang akan diadakan di Stadium Negara. Aku tidak tahu dari mana Ghani dapat tiket.

Kami buat temu janji. Aku hitch  hike dari Seremban. Ghani hitch hike dari Batu Pahat.

Tahun 70’an hitch hike ini menjadi satu yang biasa untuk anak muda berjalan berjimat modal terutama  musim cuti sekolah.

‘ Aku dapat surat temu duga di Pejabat Pelajaran Ipoh untuk jadi guru...lepas tengok Juara Kugiran kita celah ke Ipoh...’  Ghani bercerita  bila kami berjumpa di Bas Stesen Foch Avenue.

‘ Aku  tak konfiden... akan lulus HSC... lebih baik aku bersedia.... maths aku ok... yang lain aku tak sure....’ Ghani.

Kami menumpang di rumah kakak aku di Lapangan Terbang lama di Sungai Besi. 

Lewat petang kami sampai ke  Stadium Merdeka  yang penuh dengan anak muda peminat Pop Yeah Yeah. Ini kali pertama aku masuk ke Stadium Merdeka. Hairan juga aku   kerana dari tempat letak tangan di kerusi  ada udara dingin keluar.

‘ Herman... ada kugiran dari Batu Pahat.... aku kenal  Band Titiwangsa ini ... Tengku Idham kepala dia...Mike Ibrahim penyanyi.. hot hot...’ Ghani beri aku kuliah muzik sebelum pertandingan bermula.

Betul jangkaan Ghani. Band Titiwangsa dengan lagu Chok Chok  Kendung menjadi Juara Kugiran 1970. Aku merasa bangga kerana berada bersama merayakan budaya Pop Yeah Yeah  di malam itu.

Esoknya kami hitch hike ke Ipoh dan menumpang di rumah kakak aku di Tambun.

Aku teman kan  Ghani ke Pejabat Pelajaran Ipoh.  Dia kelihatan ceria apabila keluar dari temu duga.

‘ Herman... aku rasa aku akan jadi guru...masuk Kolej Guru di Pulau Pinang...’ Ghani menerangkan.

Selesai temu duga kami hitch hike pulang. Kami berpisah di Seremban. Aku pulang ke Jelebu. Ghani pulang ke Batu Pahat.

‘ Nanti aku datang ke Batu Pahat...’  Aku berjanji  dengan Ghani.

Kini kawan-kawan aku ada di merata pelusuk Semenanjung bukan hanya di Jelebu. Di Batu  Pahat ada Kamat, ada Rashid Harun , di JB ada Hatta Shahrom, di Kota Tingggi ada Hamid Samad. Semua masuk ke MCKK dalam tahun yang sama dengan aku.

 Untuk menepati janji  dengan Ghani  aku bergerak ke Batu Pakat. Aku hitch hike sendirian dari Seremban ke Tampin.

Hitch hike seorang  diri ada baik ada dan ada buruk. Buruknya : kalau tak ada kereta berhenti akan bosan menunggu  di jalan seorang  diri. Baiknya: motosikal pun boleh ditumpang.

Nasib aku baik dari Tampin aku dapat menumang motosikal Abang Melayu yang nak pergi ke Melaka.

‘ Pernah rasa gulai Asam Pedas Melaka....’  Abang Melayu bertanya.

‘ Tak pernah....’  aku jawab.

Aku jangka  Abang Melayu ini  hendak  belanja makan gulai Asam Pedas Melaka  tapi harapan aku kecewa. Abang ini hanya memperkenalkan nama masakan yang mengancam lapar aku.

Sampai ke Batu Pahat aku cari No 43 Jalan Fatimah. Ini alamat surat menyurat aku dengan Ghani. 

Bila aku temui alamat ini aku terperanjat. Ini bangunan  Syarikat Teksi. Lalu aku bertanyakan Ghani Osman pelajar dari Kolej Melayu.

‘ Ooo..... mari  kawan tunjukkan rumah Ghani.. tak jauh dari ini... kawan ini Pak Sedara Ghani.... “ Abang Teksi  membantu.

Abang Teksi ini menggunakan perkataan kawan. Lalu aku teringat kembali perkataan  ‘kawan’ yang digunakan oleh Ghani pada hari  pertama kami bertemu di hadapan jam besar MCKK  

Ghani gembira menyambut aku. Dia   di rumah bersama Emak dan dua adik lelaki. Ayah Ghani  seorang pelaut tidak ada di rumah.

Kami bersembang tentang  itu dan ini. Aku bercerita tentang aku dapat menumpang Abang  motosikal dari Tampin ke Melaka.

‘ Apa spesial gulai  Asam Pedas Melaka.... ‘ Aku bertanya.

‘ Tak pernah rasa ke.. asam pedas ini masakan Orang Johor...’ Ghani menerangkan.

Tanpa kami sedari perbualan kami didengar oleh Emak Ghani.

‘ Negeri Sembilan masak pakai santan kelapa ... Orang Johor  masak asam pedas ... tak pakai  kelapa.... malam ni boleh rasa....’ Emak Ghani menyampuk.

Emak Ghani menepati janji. Malam itu untuk pertama kalinya aku makan gulai asam pedas ikan kembung.  Cukup enak. Berpeluh juga dahi aku.

Di Batu Pahat aku bertemu dengan Kamat dan Rashid. Mereka juga tidak buat apa-apa. Kami semua sedang  menunggu.

Hujan mula turun. Musim hujan akhir tahun sampai. Aku nak meneruskan perjalanan ke Johor Bahru. Tak mungkin aku boleh hitch hike kerana hujan. Aku tunggu cuaca panas.

Emak Ghani yang baik hati telah membasuh seluar jean biru aku. Kerana musim hujan maka seluar aku tidak kering. Aku wajib menunggu sehari lagi  hingga seluar kering.

Tertiba berita buruk sampai – banjir melanda  jalan ke Johor Baru. Jalan melalui Simpang Renggam dan jalan  melalui Benut juga ditutup.

Aku tersangkut di Batu Pahat. Setiap malam Emak Ghani memasak gulai ikan asam pedas.

Tiap hari adik Ghani akan pergi ke stesen bas untuk bertanya apakah bas akan berjalan. Hari ketiga  adik si Ghani ini berkejar pulang.

‘ Lagi satu jam ada bas... jalan  Air Hitam dibuka...’ Anak berumur 12 tahun ini membawa berita gembira. Aku bergegas bersiap untuk   mengambil bas menuju Johor Baru.

Di JB aku singgah di rumah Hatta di Kempas.  Wilayah JB  tidak hujan.  Dari TV  aku melihat berita banjir besar melanggar Kuala Lumpur. Jalan Tuanku Abdul Rahman dinaiki air.

Dari JB aku berjalan ke Kota Tinggi. Ini kali pertama aku sampai ke wilayah ini. 

Malam pertama aku di Kota Tinggi Emak Hamid telah menghidangkan gulai ikan  parang  asam pedas. Aku kini sedar bahawa aku bukan lagi di wilayah gulai lomak belado  Negori Sembilan. Johor negeri  asam pedas. 

Hamid Samad membawa aku melawat makam Sultan Mahmud Mangkat Di Julang di tepi Sungai Kota Tinggi. 

Rumah Hamid yang tidak jauh dari sungai kini dalam persediaan. Semua perabot telah di ikat dan di kumpul ke bumbung. Dalam rumah dilihat kosong.  Aku budak Jelebu yang tidak pernah mengalami banjir melihat dan merakam.

Hari ke dua Hamid membawa aku ke Air Terjun Kota Tinggi.  Ini menarik perhatian aku  kerana ianya jauh lebih tinggi dari Jeram Toi di Bukit Tangga Jelebu. 

Kami merayau dalam  pekan Kota Tinggi. Kemudian Hamid membawa aku ke kedai gambar.

‘ Cuba teka itu gambar sapa....’ Hamid minta aku meneka.

Gambar tiga orang gadis Melayu berdiri berkebaya berselendang dan berkain batik. Gambar ingatan untuk Hari Raya. Gambar besar hitam putih dalam bingkai ini diambil dalam studio.

Aku merapati gambar dalam  almari kaca itu.

‘ Tak kenal....’ Aku gagal.

‘ Ni gambar  Rafeah Buang... neneknya  dari Kota Tinggi....’ Hamid menerangkan.

Aku rapati kembali gambar in sekali lagi. Ini gambar Rafaeh Buang ketika gadis sunti  belasan tahun. Kalau gambar terkini mustahil aku tidak mengenal wajah Rafaeh Buang  penyanyi Pop Yeah Yeah yang sedang mencipta nama.

Rafeah Bung juga pernah  menyanyi dengan The Swallows – kugiran yang aku minat dari Singapura.

Cuaca baik di Kota Tinggi beralih. Hujan renyai mula sampai. Mustahil aku boleh hitch hike pulang ke Jelebu.  

Pulang ke JB kawan aku Hatta memberi cadangan kerana hujan agar aku naik kereta api ke Seremban. 

Malam terakhir aku di JB  sekali aku merasa masakan sama pedas. Kali ini agak spesial. Asam pedas ikan sembilang laut.

Dalam perjalanan kereta api dari JB ke  Seremban ada beberapa tempat hujan lebat.   Di Gemas hujan rintik-rintik.  

Hakikatnya hujan akhir tahun  1970  amat lebat. Banjir  disana sini.

Hujan lebat  telah meruntuhkan beberapa lereng di  Bukit Tangga. Jalan tertimbus.  Bas Lim beri khidmat dari Seremban  sekerat jalan ke Kuala Klawang. 

Di tengah hutan Bukit Tangga penumpang wajib jalan kaki kerana tanah runtuh. Selepas melintas kawasan tanah runtuh ada sebuah bas menunggu untuk menyambung perjalanan ke Kuala Klawang.

Aku tidak ada pilihan. Aku nak pulang ke kampung. Petang itu hanya ada beberapa orang penumpang bersama aku. 

Kami sempat melihat bangkai sebuah bas milik Syarikat Lim telah jatuh ke  dalam gaung. Nasib baik tidak ada kematian.

Aku sampai ke Kampung Chenor. Jambatan ke kampung aku telah  runtuh dibawa air.  Jabatan Kerja Raya membuat jambatan sementara. Agaknya bising bunyinya bila dilalui oleh kereta.

Pak Angah aku YB wakil rakyat  Kawasan Pertang sibuk memberi bantuan kepada mangsa banjir. Sawah rosak. Ayam itik lembu dan kambing banyak di hanyut air. 

Dari rakaman  sejarah inilah banjir paling besar yang meruntuhkan berpuluh puluh jambatan kayu kecil dan besar di Jelebu.

Jelebu kawasan kering. Tahun 1970 untuk pertama kalinya  dilanda banjir.  Aku hanya mendengar cerita. Bila aku sampai ke kampung banjir sudah surut.

Aku gembira selamat pulang bukan kerana selamat dari banjir. Selamat  menukar selera dari  gulai asam pedas kembali menikmati gulai lomak belado ikan sawah. (TT)

TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/12/01/asam-pedas-dan-banjir





2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Jauh berjalan luas pandangan, luas pemikiran anda, tapi yang di ulu ulu kampung kampung masih anggap gerombolon sebagai penyelamat bangsa agama negara, disokong dengan sedikit wang syukur alhamdulliah lah sampai sekarang hidup hidup hidup amin, pergi berjalan ke luar negara dan tengok, kemajuan orang, kekurangan ora g Dan negara mereka kah kah kah

Tanpa Nama berkata...

ekao herman samo macam ayoh metuo den di port deksen.
bila mak metuo den masak asam podeh melako maka merungutlah ayoh metuo den.
ayoh metuo den hanya suka masak lomak cili api yooo masak lain taknak nyo

susah gwa nak tune selero ayah metuo den mai makan nasi kandaq penang kahkahkah