Tahun 1962 aku dalam Special Malay Class 2 di Sekolah Rendah Undang Jelebu. Ertinya dalam Darjah 5 di sekolah rendah bila Krisis Misile Cuba berlaku.
Satu habuk pun aku tidak tahu apa yang sedang berlaku ketika itu. Aku tidak tahu apa itu misile. Aku tidak tahu apa itu Cuba. Aku tidak mendengar satu apa pun.
Aku pernah mendengar nama Presiden John F Kennedy (1917-1963) dari Amerika. Nama ini selalu aku dengar dari warta berita jam 1.30 Radio Malaya. Begitu juga nama Nikita Khrushchev (1894-1971) pemimpin Parti Komunis dari Soviet Rusia.
Aku melihat dan mengenal wajah Kennedy dan Khrushchev dari akhbar Utusan Melayu.
Aku juga tahu Presiden Kennedy di tembak mati pada 23 November 1963. Ini aku ingat lagi pada pagi itu aku sedang duduk makan roti di waktu rehat jam 10 . Aku duduk di tuck shop apabila kawan aku Ghafar Bingkus memberi tahu : Presiden Amerika mati ditembak. Dia mendengar dari radio pagi.
Cik Gu Bahasa Inggeris Mister Manjit Singh membetulkan ayat kami : dari killed by gun man menjadi assassinated by gun man.
Pagi itu murid-murid dalam kelas SMC 2 berkenalan dengan perkataan assissinated.
Pada tahun 1985 aku menjadi warga Belgium. Aku tinggal di Wavre dan belajar Bahasa Perancis di Universiti Katolik Leuven. Kali ini kesedaran aku telah berubah.
Aku kini telah mengikuti perkembangan politik dunia. Serba sedikit aku memahami persaingan hebat antara dua negara besar - Amerika dan Soviet Union. Aku juga mula memahami apa itu Cold War atau Perang Dingin.
Aku ingat lagi hari itu. Dari kampus aku telah naik kereta api 20 kilometer pergi ke ibu kota Brussels. Aku turut bersama ribuan warga Belgium turun menunjuk perasaan menentang Pershing Cruise Missile.
Senjata peluru berpandu Pershing ini mahu di bawa masuk dari Amerika untuk di pasang di Belgium. Ini sebahagian dari sistem pertahanan Amerika melawan Soviet Rusia.
Aku mula memahami tentang NATO – North Amerika Treaty Organisation – perjanjian persenjataan Amerika dengan negara Eropah termasuk Belgium – negara yang memberi aku suaka politik.
Aku juga mula memahami bahawa Soviet Rusia juga ada perjanjian senjata yang dipanggil Warsaw Pact.
Amerika dan negara Eropah Barat ada NATO. Rusia dan negara Eropah Timur ada Warsaw Pact. Dua-dua organisasi ini adalah lembaga perjanjian pertahanan persenjataan. Jika mana-mana negara anggota diserang maka yang lain wajib datang membantu.
Perlumbaan persenjataan dua blok negara super-power ini sedang berjalan. Keadaan ini dipanggil Perang Dingin.
Apabila tembok Berlin runtuh pada November 1989 aku sedang belajar di Polytechnic Central London. Aku mengikuti berita perubahan politik dunia ini dengan hati terbuka.
Aku juga turut sama bergembira apabila Presiden Ronald Regan (1911- 2004 ) dan Mikhail Gorbachev (1931-2022) bertemu dan berjabat tangan. Aku ketika itu bermastautin di Eropah merasa lebih selamat tanpa ancaman senjata nuklear.
Sesudah Tembok Berlin runtuh warga Eropah tidak lagi merasa bahang dan bahaya dari Perang Dingin. Kami merasa perlumbaan persenjataan dan dua blok ini sudah tamat.
Seyogia diberi tahu perlumbaan senjata ini bukan tentang pistol degan kereta kebal. Bukan kapal terbang dengan peluru senapang.
Perlumbaan sejata moden ialah perlumbaan bom nuklear. Bom ini telah berjuta kali lebih bahaya dari Bom Atom yang meledak di Nagasaki dan Hiroshima pada Ogos 1945.
Aku berpegang pada pandangan : Perang adalah kebijaksanaan pencapaian pemikiran manusia yang paling tinggi untuk melakukan kejahatan yang paling besar. Hari ini dari tulisan sejarah yang aku baca baru aku faham apa itu Cuban Missile Crisis. Dari 16 Oktober 1962 hingga 20 November 1962 dunia paling hampir dengan ledakan bom nuklear.
Ketika aku dalam Darjah 5 aku tidak sedar perang dunia hampir berlaku dengan menggunakan bom nuklear.
Pada tahun 1947 para saintis dan pakar nuklear telah membuat apa yang dipanggil : Doomday Clock - Jam Kiamat.
Jam Kiamat ini bertujuan untuk mengira berapa lama atau berapa jauh lagi dunia dari berlakunya ledakan senjata nuklear.
Detik kiamat yang dipersetujui ialah jam 12 tengah malam. Bila jam ini sampai ke saat jam 12 tengah malam ini bermakna senjata nuklear telah meledak.
Ketika Krisis Misile Cuba berlaku Jam Kiamat ini hanya ada 7 minit lagi sebelum sampai ke tengah malam. Ertinya tujuh minit sebelum dunia kiamat dari ledakan bom nuklear.
Ertinya dunia ada masa 7 minit sebelum Amerika atau Rusia meletupkan senjata nuklear mereka.
Jarak 7 minit sebelum ledakan bom nuklear berlaku pada tahun 1962. Ini terjadi apabila Rusia memasang senjata nuklear di Cuba.
Dari 16 Oktober ke 20 November 1962 dunia menjadi tegang. Bila-bila masa sahaja punat bom nuklear boleh di tekan oleh Presiden Kennedy atau oleh Nikita Khrushchev .
Presiden Kennedy dan Khrushchev menjadi rasional. Mereka sedar tindakan mereka sedang membawa dunia ke arah kiamat. Justeru mereka berunding.
Ledakan bom nuklear tidak berlaku. Jam Kiamat terhenti tidak bergerak.
Semua ini sedang berubah. Bulan Januari 2022 -
Science and Security Board yang menjaga Jam Kiamat telah mengubah perjalanan jam ini.
Kali ini kita hanya ada 100 saat sebelum tengah malam. 100 saat bermakna 1 minit lebih sebelum bom nuklear meledak.
Bila aku terbaca fakta ini aku menjadi risau. Aku menjadi gerun. Kalau tahun 1962 dulu jaraknya 7 minit. Tahun 2022 jaraknya 100 saat.
Perubahan dari 7 minit ke 100 saat ini berlaku apabila Putin mula melancarkan Special Operation- Operasi istimewa terhadap Ukraine.
Perang Ukraine mengarah dunia ke dalam bahaya perang nuklear. Ini bermakna bom nuklear akan meledak bila-bila masa sahaja.
Senjata nuklear ini bukan di miliki oleh semua negara. Amerika, Rusia, Perancis, United Kingdom, India, China, Pakistan, Israel dan Korea Utara sahaja yang memiliki senjata ini.
Rusia pemilik bom nuklear terbanyak – 5977 buah. Amerika pemilik 5428 bom nuklear. Bom ini boleh dihantar untuk menyerang dengan pelbagai cara. Dengan roket, melalui kapal selam atau dengan kapal terbang seperti yang meledak di Jepun dulu.
Rusia dan Amerika dua negara ini masih lagi menjalankan ujian baru untuk menambah baik perjalanan senjata pemusnah ini.
Dari segi teori setiap negara ini klim dan mengakui hanya akan menggunakan bom ini sebagai senjata pertahanan. Jangan serang jika tidak mahu diserang. Jika diserang akan diserang balas.
Setiap negara berjanji ‘ tidak menjadi orang pertama’ yang akan menggunakan bom nuklear. Menjadi ‘ orang ke dua ‘ memicit punat bom ini jika diserang dengan bom nuklear.
Kenapa kali ini Jam Kiamat hanya tinggal 100 saat.
Perang Ukraine telah mengubah semuanya. Amerika sedang menggunakan Ukraine sebagai proksi dalam usaha untuk memusnahkan Rusia.
Betul dan tepat Amerika tidak berperang dengan Rusia. Tetapi Ukraine sedang di bantu dengan senjata, di beri dana, di beri maklumat risikan, diberi maklumat satelit oleh Amerika dan sekutunya dalam NATO.
Tanpa Amerika dan NATO yang menjadi batu api , Ukraine telah lama bersetuju untuk berunding damai.
Malah berita telah bocor bagaimana sebelum perang pecah pada 2014 – Amerika dan NATO telah melatih soldadu Ukraine. Amerika telah memasang niat untuk melemahkan Rusia. Ini strategi Amerika berjangka panjang.
Pada tahun 1962 Khrushchev telah memasang senjata nuklear di Cuba yang jauhnya 777 batu dari Amerika. Presiden Kennedy bertindak balas. Bersedia untuk menyerang Rusia dengan senjata nuklear.
Justeru 7 minit sebelum tengah malam di Jam Kiamat.
Hari ini Amerika mahu Ukraine menjadi anggota NATO. Ukraine betul-betul depan Rusia. Bila menjadi anggota NATO bermakna senjata nuklear NATO boleh dipasang di Ukraine.
Ini mengancam keselamatan Rusia. Sama seperti Amerika bertindak di Cuba Rusia juga bertindak di Ukraine.
Justeru untuk Rusia keadaan ini adalah keadaan hidup mati. Keadaan wujudlah d Rusia. Justeru Presiden Vladimir Putin memberi amaran.
Justeru 100 saat sebelum tengah malam di Jam Kiamat.
Aku perhatikan para politikus dalam dunia ini semuanya angkuh dan ego. Mereka berlabun untuk kesejahteraan ummah tapi ini hanya cakap. Perbuatan dan tindak tanduk politikus dunia hari ini semuanya membawa mudarat.
Di Eropah, di Amerika dan malah di Malaysia pun sama. Politikus menjadi pembawa porak peranda.
Amaran Putin memberi ingatan pada Amerika dan NATO – jika wujudlah Rusia diancam maka Putin akan ‘ menggunakan apa sahaja’. Menggunakan apa sahaja ini ditafsiri sebagai penggunaan senjata nuklear. Tidak cukup dengan ini Putin mengarahkan pasukan nuklear sentiasa siap seaga. Tidak cukup dengan langkah ini beberapa bom nuklear mula bergerak berubah tempat.
Dunia dalam bahaya.
Berita terkini yang aku baca ialah bagaimana Rusia telah menuduh Ukraine akan menjalan ‘operasi salah bendera’. Dalam operasi ini ‘ bom kotor’ akan meledak, Ukraine akan menuduh ini kerja Rusia.
Bom kotor ini adalah versi bom nuklear kecil. Berita ini menakutkan aku.
Presiden Zelensky menuduh bahawa kerja jahat meledakkan bom kotor ini hanya boleh di buat oleh Presiden Putin.
Ini lagi menakutkan aku. Detik 100 saat Jam Kiamat akan bergerak.
Dari apa yang aku baca pada saat ini masih belum ada kelihatan cahaya damai. Belum ada langkah yang membawa dua negara ini ke arah damai.
Ini menakutkan aku. Jam Kiamat masih bergerak. Apakah 100 saat akan menjadi 90 saat. Bilakah akan muncul Nikita Khrushchev dari Rusia. Apakah akan muncul John F Kennedy dari Amerika. Dunia sedang menunggu. Aku sedang berharap. Amin. (TT)
+
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/407853