AKHIRNYA DUNIA
HANYA ADA
EMPAT RAJA
Pada 23 Julai 1952 – Gerakan Pegawai Tentera Bebas - Free Officers Movement telah melancarkan apa yang dirakam oleh sejarah sebagai Revolusi 23 Julai. Rampasan kuasa di Mesir ini dipimpin oleh Mohamad Naguib dan Gamal Abdel Naseer.
Revolusi 23 Julai ini menghumbankan Raja Farouk dan mendirikan Mesir sebagai sebuah kerajaan Republik. Raja Farouk dan kaum keluarga sempat melarikan diri ke Itali.
Pada 30 Julai 1952 di Pulau Capri Itali Raja Farouk menghadapi media telah mengeluarkan kata-kata : The whole world is in revolt. Soon there will be only five Kings left- the King of England, the King of Spades, The King of Clubs, the King of Hearts, and the King of Diamonds.
‘ Seluruh dunia sedang memberontak. Tidak lama lagi hanya tinggal lima Raja--Raja England, Raja Sepit, Raja Kelawar, Raja Lekuk dan Raja Deman ‘ Ini petikan dari kata-kata Raja Farouk yang hingga ke hari ini masih diguna pakai.
Petikan kata-kata Raja Farouk in masih terbukti benar dengan pertabalan Putera Charles dinobatkan untuk menjadi Raja Charles ke Tiga England pada Sabtu 6 Mei yang lalu.
Saya tidak mengikuti secara terperinci pesta dan upacara pertabalan Raja Charles ini. Saya membaca mana yang sempat. Saya seorang Republikan justeru berita-berita, gosip atau klip video feudal ini tidak saya beri perhatian.
Sosok ini buat apa yang patut untuk mencari makan. Kalau perlu memandu Food Panda – silakan. Kalau perlu jual nasi lemak – silakan. Saya tidak akan menafikan status Raja sosok-sosok ini walau pun mereka memandu teksi untuk mencari rezeki.
Saya seorang republikan yang demokratik.
Sikap demokratik ini lahir kerana dari kecil lagi kehidupan saya di kelilingi oleh ramai Raja. Ketika saya membesar di Kampung Batu Serambai Ulu Klawang berek cik gu rumah keluarga kami di kelilingi oleh rumah-rumah dan keluarga Raja-Raja.
Ada Raja Husin yang cari makan dengan bermain silap mata dan menjual minyak kambing gurun. Ada Raja Agong yang menjual kuih untuk murid sekolah. Ada Raja Deraman yang bekerja sebagai penoreh getah.
Malah Tok Penghulu mukim Ulu Klawang ialah Tengku Razak. Tengku Alawiyah anakanda Tengku Razak belajar satu kelas darjah tiga dengan Hishamuddin Rais.
Justeru Raja- Raja ini bukan satu yang luar biasa untuk diri saya.
Apa yang menarik di pertabalan Raja Charles ini ialah keterlibatan kawan saya. Kawan saya ini Dr Muang Zarni anak kelahiran Burma. Zarni ini adalah bekas pensyarah Ilmu politik antarabangsa di Universiti Berunai dan juga di Universiti Malaya.
Profesor Zarni ini seorang intelektual rakyat. Bukan hanya seorang ahli akademik malah dia juga seorang aktivis hak asasi. Penyokong tegar warga Rohingya walau pun dirinya seorang Buddhist. Zarni penentang rejim kerajaan tentera di Myanmar.
Tulisan , suara dan pandangan Zarni muncul di merata pelusuk – dari BBC ke Al-Jazeera ke Democracy Now ke Washington Post ke The Guardian .
Kami berkenalan kerana kami sama bergerak aktif di Eropah dan di Asia Tenggara. Kami pemula Ngo FORSEA - Forces of Renewal of South East Asia yang ditubuhkan pada 2018 di Perancis dan di rasmikan di Kuala Lumpur pada 2019.
Tiga hari sebelum pertabalan Raja Charles saya berjumpa Zarni di Kuala Lumpur. Dia dalam perjalanan pulang ke London dari Indonesia.
Dengan panjang lebar Zarni telah menyatakan bagaimana kaum feudal Inggeris telah bertanggung jawab merompak dan melanun dunia. Penjarahan kuasa kolonial Inggeris ini berlaku di Burma dan juga di Tanah Melayu.
Dari kajian akademik Zarni telah menerangkan bagaimana jentera kolonial Inggeris telah bersubahat dengan kaum feudal Inggeris untuk menjajah dunia.
‘ They are criminals... involved in genocide....’ Zarni menuduh kaum feudal sebagai penyamun dan terlibat jenayah pembunuhan beramai-ramai.
Pada Ahad sehari selepas Putera Charles ditabalkan saya menerima berita bagaimana Zarni secara terbuka melalui media sosial telah menimbulkan isu loceng milik Burma yang di curi kolonial Inggeris pada tahun 1885 dari Mandalay. Loceng bersejarah ini kini berada dalam taman Istana Windsor milik Raja Charles.
Pada sebelah petang Ahad saya menerima satu lagi berita yang memeranjatkan. Akaun Tweeter Dr Muang Zarni telah di padamkan dari laman Tweeter.
Berita pemadaman Tweeter Zarni ini menjadi heboh.
Saya difahamkan bahawa syarikat Tweeter telah mengambil tindakan kerana Zarni telah membandingkan upacara pertabalan Raja Charles ini sama seperti propaganda Hitler di zaman Nazi. Walhal kaum feudal Inggeris ini memainkan peranan penting dan terlibat dalam melakukan jenayah genocide.
Loceng yang dicuri di Mandalay yang ditimbulkan oleh Dr Muang Zarni ini mengingatkan saya kembali ketika saya belajar di Sekalah Menengah. Dalam kelas sejarah saya telah mempertikaikan tentang Stamford Raffles yang di katakan menemui Singapura pada 8 Januari 1819.
“ Bagaimana dengan para nelayan yang ada menangkap ikan di sana..... mereka lebih awal datang ke Singapura dari Raffles...’ Ini soalan saya yang tidak dijawab Cik Gu Sejarah.
Pertabalan Putera Charles telah menimbulkan pelbagai perkara tentang monarki secara am dan monarki Inggeris secara khusus.
Kini telah dipersoalkan kembali tentang peranan monarki Inggeris dalam perniagaan hamba abdi. Di laporkan bagaimana suku sakat kaum kerabat monarki Inggeris telah juga mendapat untung dan membuat harta kekayaan dalam perniagaan hamba abdi.
Para monarki dari England, Portugal, Sepanyol dan Perancis telah menangkap hampir 13 juta Negro dari Afrika dan dihantar dengan kapal laut ke Dunia Baru - Amerika. Dikatakan lebih dari 2 juta warga Afrika ini telah mati dalam perjalanan.
Kini warga British yang berkulit hitam mahu Raja Charles mengakui keterlibatan monarki dalam jenayah jual beli hamba ini. Warga kulit hitam juga mahu Raja Charles minta maaf dan membayar ganti rugi.
Penjarahan dan rompakan yang dilakukan oleh datuk nenek moyang kaum kerabat Charles kini heboh di bincangkan di United Kingdom ketika persediaan pertabalan di rancang.
Warga di negara-negara bekas tanah jajahan Inggeris hari ini sedang membincangkan kembali peranan monarki dan kolonialisma.
Monarki dan kuasa kolonial Inggeris terbukti banyak melakukan jenayah rompakan dan melanun. Ada dua rompakan yang melibatkan kolonial Inggeris yang selalu menjadi berita.
Pertama: Elgin Marbles – batu marmar ukiran zaman kuno Greek. Batu marmar ini di curi pada tahun 1801 oleh ajen monarki Inggeris Lord Elgin. Kini artifak bersejarah ini disimpan di Muzium British.
Kerajaan Greek telah berulang kali menuntut agar batu ini dipulangkan ke tanah asal usulnya.
Ke dua : Khoo-i-Noor – permata berlian terbesar dalam dunia. Permata berlian tersohor ini telah di curi oleh Theo Matcalfe pegawai Inggeris pada tahun 1849 sesudah Inggeris menawan Punjab. Berlian ini asalnya milik Nader Shah Raja India dari Dinasti Merak.
Berlian ini dibawa balik ke England dan dijadikan sebahagian dari batu permata Mahkota Monarki England.
Ketika Raja Charles di tabal mahkota yang ada permata Khoo-i-Noor ini telah tidak diguna pakai walau pun Raja-Raja terdahulu telah memakai mahkota ini di hari pertabalan.
Raja Charles merasa segan untuk memakai mahkota curi di hari pertabalan. Amin.
Seperti kes Elgin Marbles permata Khoo-i-Noor ini juga sedang dituntut kembali oleh India dan rakyat Punjab.
Dari fakta sejarah terlalu banyak jenayah dan rompakan yang telah dilakukan oleh monarki dan kuasa kolonial Inggeris.
Di Tanah Melayu sendiri kita tahu ada banyak manuskrip lama dan kitab Melayu kuno yang telah di bawa pulang oleh penjajah Inggeris ke London. Kini artifak sejarah negara bangsa ada tersimpan dalam muzium dan gedung arkib mereka.
Kita juga seperti rakyat Greek dan warga Punjab wajib menuntut kembali segala artifak sejarah milik kita yang telah di lanun oleh kuasa kolonial Inggeris.
Hari ini – abad ini – kita anak bangsa wajib diberi pencerahan tentang satu jenayah besar monarki dan kolonial Inggeris. Bukan intan di curi, bukan batu marmar yang mereka rompak tapi lebih jahat dari itu.
Jenayah paling besar yang dilakukan oleh monarki dan kolonial Inggeris ialah membawa pendatang dari India dan China masuk ke Tanah Melayu. Kemasukan pendatang dari India dan China ini telah mengubah demografi dan politik Tanah Melayu.
Jenayah Inggeris ini juga telah memisahkan pulau Singapura dari Bonda Kandung Semenanjung Tanah Melayu. Hingga ke hari ini Orang Melayu masih lagi membayar harga yang amat mahal terhadap jenayah monarki Inggeris ini.
Ada satu yang amat menarik ketika Raja Charles ditabal. Dunia telah diberitahu bahawa sokongan rakyat biasa terhadap sistem monarki di United Kingdom makin merosot. Penghormatan rakyat Britain terhadap Raja Charles tidak sama seperti sikap mereka terhadap Baginda Ratu Elizebeth.
Pada 30 November 2021 Barbados bekas tanah jajahan Inggeris yang masih mengakui Monarki England sebagai Ketua Negara telah menjadi Republik Barbados. Rakyat Barbados menolak Ratu Elizebeth dan melantik Presiden baru.
Langkah Barbados ini telah mempengaruhi Belize, Grenada, Jamaica, Saints Kits, Saint Lucia, Saint Vincent dan Grenadines - semua negara-negara kecil ini masih bernaung di bawah Monarki England. Kini negara-negara ini mahu menjadi republik.
Gerakan anti monarki dan semangat republikan juga semakin merebak di Australia, di Canada dan di New Zealand.
Sejarah telah merakamkan di hari dan saat Raja Charles ditabalkan Gerakan Republik telah muncul bersama orang ramai yang berarak ke arah Istana Buckingham. Anak-anak muda yang anti monarki telah keluar berdemo membawa sepanduk dan melaungkan : This is not my king – ini bukan raja kami.
Puluhan anggota Republikan anti Monarki di United Kingdom telah di tangkap. Jelas apa yang berlaku di hari pertabalan Raja Charles menunjukkan bahawa sistem monarki ini hanya menunggu masa untuk di kuburkan.
Geo-politik, perkembangan teknologi dan budaya akan mengubah kata-kata Raja Farouk - dunia akhirnya akan hanya melihat lima Raja .
Mengikut firasat Hishamuddin Rais dunia akhirnya akan ada hanya empat raja – Raja Lekuk, Raja Kelawar, Raja Sepit dan Raja Deman. Amin. (TT)
TULISAN INI
JUGA DISIARAKN DALAM
PORTAL MALAYSIANOW .COM
DAN JUGA DALAM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/442145
‘
Tiada ulasan:
Catat Ulasan