Jumaat, 12 Mei 2023

AKHIRNYA DUNIA HANYA ADA EMPAT RAJA


AKHIRNYA DUNIA 

 HANYA ADA 

EMPAT RAJA


Pada 23 Julai 1952 – Gerakan Pegawai Tentera Bebas -  Free Officers Movement  telah melancarkan apa yang dirakam oleh sejarah  sebagai  Revolusi 23  Julai. Rampasan kuasa di Mesir ini dipimpin oleh Mohamad Naguib dan Gamal Abdel Naseer. 

Revolusi 23 Julai ini menghumbankan   Raja Farouk   dan mendirikan  Mesir sebagai sebuah kerajaan Republik. Raja Farouk dan kaum keluarga sempat  melarikan diri ke Itali.

Pada 30 Julai 1952 di Pulau Capri Itali Raja Farouk  menghadapi  media telah mengeluarkan kata-kata  : The whole world is in revolt. Soon there will be only five Kings left- the King of England, the King of Spades, The King of Clubs, the King of Hearts, and the King of Diamonds. 

‘ Seluruh dunia sedang memberontak. Tidak lama lagi hanya tinggal lima Raja--Raja England, Raja Sepit, Raja Kelawar, Raja  Lekuk  dan Raja Deman ‘  Ini petikan dari kata-kata Raja Farouk yang hingga ke hari ini masih diguna pakai.

Petikan kata-kata Raja Farouk in masih terbukti benar dengan pertabalan  Putera Charles   dinobatkan untuk menjadi Raja Charles ke Tiga  England pada Sabtu 6 Mei yang lalu.

Saya tidak mengikuti secara terperinci pesta dan upacara  pertabalan Raja Charles ini. Saya membaca  mana yang sempat.  Saya seorang Republikan justeru berita-berita, gosip atau klip video feudal ini tidak saya beri perhatian. 

Dalam masa yang sama saya tidak ada masalah dengan  Raja-Raja. Untuk saya sesiapa sahaja boleh menjadi Raja dan memanggil diri mereka Raja asalkan sosok ini bekerja untuk menampung kehidupan sendiri.

Sosok ini buat apa yang patut untuk mencari makan. Kalau perlu memandu Food Panda – silakan. Kalau perlu jual nasi lemak – silakan.  Saya tidak akan menafikan  status Raja sosok-sosok ini walau pun mereka  memandu teksi untuk mencari rezeki.

Saya seorang republikan yang demokratik. 

Sikap demokratik ini lahir  kerana dari kecil lagi  kehidupan saya  di kelilingi oleh ramai Raja. Ketika saya membesar di Kampung Batu Serambai  Ulu Klawang berek cik gu rumah keluarga kami di kelilingi oleh rumah-rumah dan keluarga Raja-Raja.

Ada Raja Husin  yang cari makan dengan  bermain silap mata dan menjual  minyak kambing gurun. Ada  Raja Agong yang menjual kuih untuk murid sekolah.  Ada Raja Deraman yang bekerja sebagai penoreh getah.

Malah Tok Penghulu mukim  Ulu Klawang ialah  Tengku  Razak.  Tengku Alawiyah anakanda Tengku Razak  belajar satu  kelas darjah tiga dengan Hishamuddin Rais.

Justeru Raja- Raja ini bukan satu yang luar biasa untuk diri  saya.

Apa  yang menarik di pertabalan Raja Charles ini ialah keterlibatan kawan saya.  Kawan saya ini Dr Muang Zarni anak kelahiran Burma.  Zarni ini adalah  bekas pensyarah Ilmu politik antarabangsa di Universiti Berunai dan juga di Universiti Malaya.

Profesor Zarni ini seorang intelektual rakyat. Bukan hanya  seorang ahli akademik  malah dia juga seorang aktivis hak asasi. Penyokong tegar warga Rohingya walau pun dirinya seorang Buddhist.  Zarni penentang rejim kerajaan tentera di Myanmar. 

 Tulisan , suara dan pandangan Zarni muncul di merata pelusuk – dari BBC ke Al-Jazeera ke Democracy Now  ke Washington Post  ke The Guardian . 

Kami berkenalan kerana kami sama bergerak aktif di Eropah dan di Asia Tenggara. Kami pemula Ngo FORSEA  -  Forces of Renewal of South East Asia yang ditubuhkan pada 2018  di Perancis dan di rasmikan di Kuala Lumpur pada 2019.

Tiga hari sebelum pertabalan Raja Charles  saya  berjumpa Zarni di Kuala Lumpur.  Dia dalam perjalanan pulang  ke London dari  Indonesia. 

Dengan panjang lebar Zarni  telah menyatakan bagaimana kaum feudal Inggeris telah bertanggung jawab merompak  dan melanun dunia. Penjarahan kuasa kolonial  Inggeris ini  berlaku di Burma dan juga di Tanah Melayu.

Dari kajian  akademik Zarni telah menerangkan  bagaimana jentera   kolonial Inggeris telah bersubahat dengan kaum feudal Inggeris untuk menjajah dunia.

‘ They are criminals... involved in genocide....’  Zarni menuduh kaum feudal sebagai penyamun dan terlibat  jenayah  pembunuhan beramai-ramai.

Pada Ahad sehari selepas  Putera Charles ditabalkan saya menerima berita  bagaimana Zarni secara terbuka melalui  media sosial telah  menimbulkan  isu loceng milik Burma  yang di curi kolonial Inggeris pada tahun 1885 dari Mandalay. Loceng bersejarah ini kini berada  dalam taman Istana Windsor milik Raja Charles.

Pada sebelah petang Ahad saya menerima satu lagi berita yang memeranjatkan.  Akaun Tweeter  Dr Muang Zarni telah di padamkan  dari laman Tweeter.

Berita pemadaman  Tweeter  Zarni ini menjadi heboh. 

Saya difahamkan bahawa syarikat Tweeter telah mengambil tindakan kerana Zarni telah  membandingkan upacara  pertabalan Raja Charles ini sama seperti propaganda  Hitler di zaman Nazi. Walhal kaum feudal Inggeris ini memainkan peranan penting  dan  terlibat dalam melakukan jenayah genocide.

Loceng yang dicuri di Mandalay  yang ditimbulkan oleh Dr Muang Zarni ini mengingatkan saya   kembali ketika saya belajar di Sekalah Menengah. Dalam kelas sejarah  saya telah mempertikaikan tentang Stamford Raffles yang di katakan menemui Singapura pada  8 Januari  1819. 

“ Bagaimana dengan para nelayan yang ada menangkap ikan di sana..... mereka lebih awal datang ke Singapura dari Raffles...’ Ini soalan  saya yang tidak dijawab  Cik  Gu Sejarah.

Pertabalan Putera Charles telah menimbulkan pelbagai perkara tentang monarki  secara am dan monarki Inggeris secara khusus.

Kini telah dipersoalkan kembali tentang  peranan monarki Inggeris dalam perniagaan hamba abdi.  Di laporkan bagaimana  suku sakat kaum kerabat monarki  Inggeris telah juga mendapat untung dan membuat harta kekayaan dalam perniagaan hamba abdi.

Para monarki dari England, Portugal, Sepanyol dan Perancis  telah menangkap hampir 13 juta Negro dari Afrika dan dihantar dengan kapal laut ke Dunia Baru -  Amerika.  Dikatakan lebih dari 2 juta warga Afrika ini telah mati dalam perjalanan.

Kini warga  British yang berkulit hitam mahu  Raja Charles mengakui  keterlibatan monarki dalam jenayah jual beli hamba  ini.  Warga kulit hitam juga mahu Raja Charles minta maaf dan membayar ganti rugi.

Penjarahan dan rompakan yang dilakukan  oleh datuk nenek moyang kaum kerabat  Charles kini  heboh di bincangkan di United Kingdom ketika persediaan pertabalan di rancang.  

Warga di negara-negara bekas  tanah jajahan Inggeris hari ini sedang membincangkan kembali peranan monarki dan kolonialisma.

Monarki dan kuasa kolonial Inggeris terbukti banyak melakukan jenayah rompakan  dan melanun. Ada dua rompakan yang melibatkan kolonial  Inggeris yang selalu menjadi berita.

Pertama: Elgin Marbles – batu marmar ukiran  zaman kuno Greek. Batu marmar ini di curi pada tahun 1801  oleh ajen monarki Inggeris Lord Elgin. Kini artifak  bersejarah ini disimpan di Muzium British.

Kerajaan Greek telah berulang kali menuntut agar batu ini dipulangkan ke  tanah asal usulnya.

Ke dua :  Khoo-i-Noor – permata berlian  terbesar dalam dunia. Permata berlian tersohor ini  telah di curi oleh Theo Matcalfe pegawai Inggeris pada tahun 1849 sesudah Inggeris menawan Punjab.  Berlian ini asalnya milik Nader Shah Raja India dari Dinasti Merak.

Berlian ini dibawa balik ke  England dan dijadikan sebahagian dari batu permata Mahkota Monarki England.

Ketika  Raja Charles di tabal mahkota yang ada permata Khoo-i-Noor ini telah tidak diguna pakai walau pun  Raja-Raja terdahulu telah memakai mahkota ini di hari pertabalan.  

Raja Charles merasa segan untuk memakai mahkota curi di hari pertabalan. Amin.

Seperti  kes Elgin Marbles  permata Khoo-i-Noor ini juga sedang  dituntut kembali  oleh India dan rakyat Punjab.

Dari fakta sejarah terlalu banyak jenayah dan rompakan yang telah dilakukan oleh monarki dan  kuasa kolonial Inggeris.

Di Tanah Melayu sendiri kita tahu ada banyak  manuskrip lama dan kitab Melayu kuno yang telah di bawa pulang oleh penjajah  Inggeris ke London. Kini  artifak sejarah negara bangsa ada tersimpan dalam muzium dan gedung arkib mereka. 

Kita juga seperti rakyat Greek dan warga Punjab wajib menuntut kembali segala artifak sejarah milik  kita yang telah di lanun oleh kuasa kolonial Inggeris.

Hari ini – abad ini – kita  anak bangsa wajib diberi pencerahan tentang satu  jenayah besar monarki dan kolonial Inggeris. Bukan intan di curi, bukan batu marmar yang mereka rompak tapi lebih jahat dari itu.

Jenayah paling besar  yang dilakukan oleh monarki dan kolonial Inggeris ialah membawa pendatang dari India dan China masuk ke Tanah Melayu. Kemasukan pendatang dari India dan China ini telah mengubah demografi dan politik Tanah Melayu.

Jenayah Inggeris ini juga telah memisahkan pulau Singapura dari Bonda Kandung  Semenanjung Tanah Melayu. Hingga ke  hari ini Orang Melayu  masih lagi  membayar harga yang amat mahal terhadap jenayah   monarki Inggeris ini.

Ada satu yang amat menarik ketika Raja Charles ditabal. Dunia telah diberitahu bahawa sokongan rakyat biasa terhadap sistem monarki di United  Kingdom makin  merosot.  Penghormatan rakyat Britain terhadap Raja Charles tidak sama seperti sikap mereka terhadap Baginda Ratu Elizebeth.

Pada 30 November 2021 Barbados bekas tanah jajahan Inggeris yang masih mengakui Monarki England sebagai Ketua Negara telah menjadi Republik Barbados. Rakyat Barbados menolak Ratu Elizebeth  dan melantik Presiden baru.

Langkah Barbados ini telah mempengaruhi Belize, Grenada,  Jamaica, Saints Kits, Saint Lucia, Saint Vincent dan Grenadines  - semua negara-negara kecil  ini masih bernaung di bawah Monarki England. Kini negara-negara ini mahu menjadi republik. 

Gerakan anti monarki dan semangat republikan juga semakin  merebak di Australia, di Canada dan di New Zealand.

Sejarah telah merakamkan di hari dan saat Raja Charles  ditabalkan  Gerakan Republik telah muncul bersama orang ramai yang berarak ke arah  Istana Buckingham.  Anak-anak muda yang anti monarki telah keluar  berdemo membawa sepanduk  dan melaungkan  : This is not my king – ini bukan raja kami.

Puluhan anggota  Republikan anti Monarki di United Kingdom telah di tangkap.  Jelas  apa yang berlaku di hari pertabalan Raja Charles  menunjukkan bahawa sistem monarki ini hanya menunggu masa untuk di kuburkan.

Geo-politik, perkembangan teknologi dan budaya  akan mengubah  kata-kata Raja Farouk - dunia akhirnya akan hanya melihat lima  Raja .

Mengikut firasat Hishamuddin Rais  dunia akhirnya akan ada hanya empat raja – Raja Lekuk, Raja Kelawar, Raja Sepit dan Raja Deman. Amin. (TT)


TULISAN INI
 JUGA DISIARAKN DALAM
PORTAL MALAYSIANOW .COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/05/12/akhirnya-dunia-hanya-tinggal-4-raja
DAN JUGA DALAM PORTAL 
THE MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/442145

















 
 




Tiada ulasan: