ASAL USUL
NAMA DAN JATIDIRI
Saya bukan ilmuwan atau pakar sejarah. Tapi saya meminati sejarah – perkara lampau - yang menarik perhatian saya. Dari zaman sekolah di Jelebu hingga ke hari ini saya masih lagi berminat untuk membaca, mendengar dan menuntun babak-babak segala macam sejarah.
Saya ingin tahu kenapa itu jadi itu tidak jadi ini. Kenapa disana tidak sama macam disini. Semua ini untuk saya amat menarik. Saya tidak dapat membayangkan hidup saya tanpa meminati sejarah dan persejarahan.
Pada hemat saya jika kita tidak mengenal sejarah – kita tidak tahu siapa kita. Dari mana kita datang. Kenapa kita jadi macam ini dan tidak macam itu. Jika kita tak tahu dari mana kita datang maka pastilah susah untuk kita tahu ke mana hendak dituju.
Saya tahu saya dari suku Biduanda – suku Orang Asli di Negeri Sembilan. Saya tahu asal usul datuk nenek moyang saya yang satu ketika dahulu adalah Sakai.
Saya mengenal dan tahu asal usul Jelebu daerah saya dibesarkan. Ini menurut cerita orang-orang tua yang diceritakan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi. Ini sejarah mulut.
Surah daerah ini bermula dalam masyarakat Jakun. Kisah mengenai seorang Tok Batin Asli yang telah membuka sebuah ladang. Dalam ladang ini ada tanaman labu yang cukup subur.
Akar labunya menjalar jauh. Kerana kesuburan labu-labu Tok Batin itu, maka ramai orang datang ke ladang labu Tok Batin tersebut. Mereka menamakan tempat itu sebagai ‘Jalar Labu' sehingga lama-kelamaan bertukar menjadi Jelebu.
Sejarah mulut cerita rakyat asal usul Jelebu ini untuk saya masuk akal dan meyakinkan.
Kemudian tahun 80’an bila Perang Dingin makin reda Presiden Ronald Reagan membebaskan Internet dari monopoli tentera Amerika. Internet berkembang meluas merebak ke seluruh dunia untuk kegunaan awam.
Pada 14 Februari 2005 muncul YouTube dalam Internet. Ini mengubah dunia sama seperti The Beatles mengubah muzik. Media cetak merosot. Media resmi stesen TV merosot sama. Di negara yang berkuku besi terhadap media seperti Malaysia Internet membawa udara pencerahan segar.
Tiga tahun kemudian pada 1 Januari 2008 saya menerbitkan buku Keganasan, Penipuan dan Internet : Hegemoni Daulah Pecah. Antara isi buku ini ialah saya merayakan Internet yang membawa kepelbagaian sudut pandangan.
RTM , TV3 , Utusan atau Berita Harian telah hilang monopoli. Internet menjadi media pilihan rakyat. Rakyat bergembira.
Ramalan tulisan saya itu ada yang benar dan ada yang salah. Malah banyak perkara baru yang muncul di luar pemerhatian saya.
Saya begitu gembira merayakan pemandulan RTM dan Utusan dan media milik United Malays National Organisation hingga saya gagal untuk sedar bahawa banyak sampah saraf jenis baru juga terhambur keluar dari Internet.
Paling terbaik sebagai contoh saya bawa pembaca kembali ke sejarah Jelebu.
Baru-baru ini saya telah menuntun satu klip YouTube berkenaan asal usul Jelebu. Klip panjang 3 minit 19 saat ini telah di muat turun ke YouTube 3 tahun dahulu. Video ini bertajuk : Asal Usul Jelebu.
Seorang Ustad dari Indonesia telah berceramah tentang asal usul Jelebu. Ustad ini meminta Raja, Sultan dan Rakyat Malaysia menghayati apa yang terhambur dari mulutnya.
Awalnya saya hendak ketawa kerana kawan-kawan saya selalu memanggil Ustad YouTube ini sebagai Retard atau terencat akal.
Memang betul Retard ini... oops .. Ustad ini telah membuat saya ketawa. Mengapa tidak kerana menurut Retard ini... opps... maaf menurut Ustad ini Jelebu telah di teroka oleh seorang Tok Arab bernama Al-Syumaisi pada tahun 628 Masihi.
Untuk mengAji No Motokan labunnya Ustad ini telah menerangkan bahawa Al- Syumaisi ini adalah sahabat Nabi Muhamad. Malah si Syumaisi ini memainkan peranan penting dalam perjanjian Hudaibiyah.
Aji No Moto lagi di tambah dengan cakap-cakap Arab dan ayat-ayat Arab. Maka umum diberitahu bahawa Jelebu ini berasal dari kalimah Arab Jalbu kemudian menjadi Jelebu.
Maka saya Hishamuddin Rais Sakai dari Jelebu menjawab semua ini dengan ayat Sakai : minkum bil karutun tak maluun - ini bahasa Arab yang saya Aji No Moto kan.
Apa yang saya tulis Ini bukan fitnah dan bukan auta. Klip ini masih ada dalam YouTube untuk dijadikan rujukan.
Ceramah-ceramah karut seperti ini yang bertopeng agama bertimbun-timbun dalam YouTube. Pelbagai rupa Ustad mengeluar labun dongeng Tok Arab mereka. Biasanya akan juga di tayangkan nombor bank akaun mungkin untuk meminta dana.
Apa yang ingin saya sampaikan disini ialah sejarah dan persejarahan. Ini berkait rapat dengan jati diri. Saya mengambil klip asal usul Jelebu kerana Jelebu adalah daerah datuk nenek moyang saya.
Faktanya ialah Jelebu tidak ada sangkut paut dengan mana-mana nama Tok Arab – sahabat Nabi atau pun musuh Nabi.
Ada apa pada nama ?
Ayat ini berasal dari bangsawan Romeo dan Juliet karya Shakespeare: 'Apa ada pada nama? Yang kita panggil mawar dengan nama lain akan berbau harum.’
Untuk saya nama ini bukan sahaja harum atau busuk. Ada perkara yang lebih penting di belakang nama-nama ini.
Justeru ada pencerahan yang mahu saya sampaikan disini ialah tentang nama. Bagaimana nama ini berkait dengan sejarah. Nama termasuk nama individu dan nama tempat. Nama ini adalah kad pengenalan identiti diri.
Harimau mati meninggalkan belang.
Manusia mati meninggalkan nama.
Jati diri harimau lahir dari belangnya.
Jati diri kita muncul dari nama.
Mari kita lihat perkembangan terakhir tentang nama. Awal tahun 2023 - tidak lama dulu Turkey menukar nama negara dari Turkey ke Turkiye Cumhuriyeti. Nama baru diwujudkan untuk memperkukuh jati diri sebuah republik.
Nama baru ini mengetepikan nama asal yang memiliki sejarah turun temurun. Kuasa kolonial sengaja mengubah suai mengikut suara hati dan pengucapan mereka.
Justeru Inggeris memanggil Canton walhal nama asal ialah Kwangchow. Memanggil Hong Kong walhal nama asal ialah Xiangggang. Menamakan tanah jajahan sebagai yang ditemui oleh Cecil Rhodes (1853-1902) sebagai Rhodesia walhal nama asal ialah Zimbabwe.
Penjajah dengan kuasa dolar dan kuasa senjata memastikan nama-nama ini terus diguna pakai. Buku-buku ilmu alam karangan Jabatan Pelajaran yang didirikan oleh penjajah telah memastikan nama-nama yang direka oleh penjajah ini terus diguna pakai di seluruh dunia.
Apabila negara-negara yang di jajah ini merdeka maka nama asal kembali digunakan. Bombay menjadi Mumbai. Rhodesia menjadi Zimbabwe. Batavia menjadi Jakarta
Penjenamaan semula juga memberikan permulaan yang bersih selepas kemerdekaan. Sikap nyah penjajah di Afrika membawa banyak perubahan nama negara.
Bechuanaland menjadi Botswana, Nyasaland dinamakan semula sebagai Malawi, Gold Coast ditukar kepada Ghana dan negara yang secara rasmi dikenali sebagai Upper Volta muncul sebagai Burkina Faso.
Nama-nama negara ini memberi definisi jati diri dan siapa pemilik asal bumi tersebut.
Justeru masyarakat dunia mengenal Ireland. Land bermakna tanah. Maka Ireland adalah tanah Irish. Finland bererti tanah milik orang Fin. Scotland bermakna tanah milik orang Scott. England bermakna tanah milik orang English.
Kita lihat tetangga kita menamakan negara mereka dari Siam ke Thailand. Tai ini adalah warga asal negara yang kita panggil Siam. Tai juga membawa makna bebas maka nama Thailand ini membawa maknya bumi Tai yang bebas.
Semua negara-negara ini bangga dengan nama dan jati diri mereka. Nama-nama pemberian kuasa kolonial dibenamkan. Nama asal usul di munculkan.
Dari sini saya menimbulkan soalan. Ada apa dengan nama Malaysia?
Ramai tidak tahu atau ramai telah lupa nama asal Semenanjung Malaysia ialah Tanah Melayu – Malayland. Ini sama taraf dengan Thailand, Finland atau Ireland – maknanya tanah dan bumi itu berasal usul dan milik Bani Melayu.
Apa telah terjadi ? Kenapa jadi Malaysia. Kenapa kita tidak terus menamakan diri kita Tanah Melayu ? Tidak terus menjadi Malayland kalau di Inggeriskan. Walhal Tanah Melayu ini adalah asal usul persejarahan tanah air kita.
Saya masih ingat lagi zaman tanah air kita ini pernah di panggil Persekutuan Tanah Melayu. Saya ingat lagi menerima surat yang menggunakan alamat PTM – Persekutuan Tanah Melayu.
Apa terjadi ? Kenapa Bani Melayu bersedia meninggalkan nama asal usul bumi milik mereka ? Walhal negara -negara lain satelah penjajah berundur mereka dengan bangga menggunakan nama jati diri mereka.
Kita di Tanah Melayu membuat perkara songsang.
Pada hemat saya ini adalah salah satu jenayah besar yang telah diakukan oleh United Malays National Organisation. Parti ini adalah parti tajaan penjajah Inggeris telaah menukar nama Tanah Melayu ini.
Ada apa pada nama? Apakah menukar nama satu jenayah ? Tunggu pencerahan minggu hadapan. Amin. (TT)
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
THEMALAYSIAINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/446592
DAN
DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/06/08/asal-usul-nama-dan-jati-diri
Ngapa tak guna Malayland .. pelik ya .. pado den tak do apo yang polik .. takdo 7X. Lu tingok orang Melayu ari ni somuo nak jadi Arab walau pun pipit panjang tigo inchi jo .. Lu tingok Rajo2 Molayu hampir somuo carik Minah Salih .. UK, Sweden, Russia .. Siam pon ado .. Kenya belom laey.
BalasPadam