Jumaat, 21 Julai 2023

MEI DI KUALA LUMPUR JUN DI PARIS



MEI DI KUALA LUMPUR

JUN DI PARIS


Pada bulan Mei 1969 saya berada di Kuala Kangsar. Pada bulan Mei 1969 Lim Kit Sing berada di Sabah. Pada 13 Mei 1969 saya masih berada di Kuala Kangsar. Pada 13 Mei 1969 Lim Kita Siang masih lagi berada di Sabah

Pada 13 Mei 1969 warga miskin kota  mengamuk di Kuala Lumpur. Pada 28  Jun  2023 warga miskin kota mengamuk di Paris.

Pada 19 Julai 2023 Lim Kit Siang di laporkan berkata  bahawa suasana negara seperti suasana sebelum Mei 13 1969.  

Pada 19 Julai 2023 Hishamuddin Rais  membaca berita tentang Lim Kit Siang yang merasa risau kerana hubungan harmoni kaum di Malaysia makin merosot. Malah Lim Kit Sing menggambarkan  ambiance politik hari ini sama seperti  pra Mei 13. 

Justeru pada Khamis 20 Julai 2023  Hishamuddin Rais menyambung kembali tulisan mengenai Kesedaran Melayu.

Kita wajib tahu dimana kita berdiri dimana kita duduk. Dimana bumi  di pijak di situ langit di junjung. Dari situlah lahirnya DNA sejarah diri kita.

Justeru saya tahu dimana saya berada pada pagi Rabu 4 April 1979.

Pada pagi Rabu itu saya berada di Empress Market -  pasar besar kota Karachi Pakistan. Ketika itu saya menjadi pendatang haram di Pakistan. Saya tanpa pasport  telah berjaya lari dari kezaliman kerajaan yang di kepalai oleh United Malays National Organisation.

Di pagi itu - saya ingat lagi di gerai mana saya berada dalam pasar ketika saya melihat pemilik gerai menghadiahkan gula-gula kepada pelanggan dengan penuh keriangan.

Pada pagi itu Zulfikar Ali Bhutto bekas Perdana Menteri Pakistan telah digantung mati di waktu subuh di Penjara Besar Rawalpindi Pakistan.

Berita tersebar ke Karachi hampir jam 10 pagi.

Sebelum digantung mati  Bhutto telah di bicarakan. Saya mengikuti perbicaraan ini dengan membeli  ‘rejoinder’ yang di foto kopi dan di jual di kedai buku oleh penyokong Bhutto.

Rejoinder adalah terma guaman  yang memberi makna :  jawapan orang  di tuduh terhadap dakwaan yang di hadapkan.

Rejoinder Bhutto yang dicetak adalah hasil fikrah peguam  lulusan  University of Carlifornia Bekerley dan Oxford University. 

Apa hubungan rejoinder Bhutto dengan  Kesedaran Melayu. 

Bhutto menulis rejoinder ketika dituduh di mahkamah. Hishamuddin Rais juga menulis rejoinder untuk menjawab surah Lim Kit Siang.

Rejoinder saya ini bukan kerana saya  berhadapan dengan tali gantung.  Malah lebih dari tali gantung.  Rejoinder yang saya  tulisan ini di garap  kerana bani Melayu bukan saja berhadapan dengan tali gantung malah sedang di beri dedak.

Dedak yang ditabur  sedang memandulkan fikrah Melayu.  Dedak untuk memanaikan  kecergasan fikrah Bani Melayu.  

Rejoinder Hishamuddin Rais  bukan melalui Harvard atau Oxford  tapi melalui pengalaman dan  pandangan empirikal yang kritikal tentang DNA politik Tanah Melayu.

Tahun 1980  George Lucas dari Hollywood menggarap  The Empire Strikes Back.  Tahun 2023 Hishamuddin Rais menggarap Malay Empire Strikes Back.

Apa yang saya garap ini bertujuan untuk meluruskan benang kusut milik anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Tanah Melayu. Saya ingin memberi  pencerahan tentang apa yang telah berlaku satu ketika dulu. Membuka DNA sejarah Tanah Melayu  hingga kita berhadapan dengan DNA politik yang kita hadapi sekarang.

Rejoinder  saya ini  adalah usaha  untuk merungkai suasana kusut yang dikatakan oleh Lim Kit Siang – suasana pra Mei13.

Untuk membuka pencerahan ini saya bawa pembaca ke Paris.

Pada 28 Jun 2023 warga miskin kota mengamuk dalam kota Paris. Punca disebabkan seorang  anak muda tidak  berkulit putih  telah di tembak mati oleh polis berkulit putih. 

Pembunuhan oleh anggota polis di anggap rasis. Polis berkulit  putih yang memiliki senjata membunuh anak muda yang tidak berkulit putih. Anak muda ini tidak bersenjata. Malah kesalahan hanya melanggar lampu trafik dan tidak memiliki lesen memandu.

Mengikut  Mao Zedong – pemimpin Parti Komunis China -  kuasa muncul dari laras senapang. Polis kulit putih ada pistol a.k.a kuasa. Manakala yang ditembak mati - Nahel Merzouk anak keturunan Arab Aljeria yang baru berumur 17 tahun tidak ada senjata.

Bukan sahaja Nahel tidak bersenjata.  Nahel ,  kaum keluarga Nahel, suku sakat Nahel  dan mereka yang sewaktu dengan Nahel  tidak memiliki kuasa – zero , nil   et rien. Mereka mewakili  warga miskin kota Paris. 

 Si Nahel anak muda berketurunan Arab ini  mewakili, simbol  dan memanifestasikan semua pendatang  yang tidak berkulit putih di Perancis.

Nahel tinggal di wilayah Nanterre.  Warga di wilayah Nanterre ini rata-rata  miskin. Justeru mereka tinggal di flet milik  bandar raya di pinggir kota.  Mereka bukan duduk  di  wilayah Nueilly  atau Saint Maurice yang lumayan.  Flet di Nanterre   sempit, cekai lagi cokia.  Rumah-rumah flet mereka kotor lagi bobrok.

Dalam masa yang sama diri merekalah  penyumbang statistik penggangur yang tinggi.  Mereka miskin merempat tanpa pekerjaan yang bergaji lumayan. 

Kawasan perumahan Si Nahel ini menjadi wilayah dadah. Menjadi sarang samseng. Menjadi tempat jual beli barang curi. Malah rompak dan samun  adalah babak harian mereka. 

Heroin, ganja, hashih dan syabu menjadi budaya  yang mengelilingi Nahel. Polis yang tidak berkulit hitam enggan masuk ke  wilayah perkampungan Nahel.

Justeru telah ada keterpendaman lama yang menunggu masa untuk meledak. Anak Karakatoa  telah lama terpendam. Gunung Agong telah lama memendam rasa. Suasana  telah lama menghangat  dan bila-bila masa sahaja akan memuntahkan lava yang panas membakar.

Ada apa dengan Paris. Apa sangkut paut Paris dengan  DNA politik Tanah Melayu  yang kita hadapi sekarang.

Warga Perancis  mengamuk di beberapa wilayah di Paris. Kedai di bakar – barang dalam kedai di  curi. Kereta milik polis di bakar,  bas awam di bakar, bangunan kerajaan di bakar – ini gambaran amukkan keganasan  yang mula berlaku di Paris pada 28 Jun 2023. Hampir satu minggu  suasana tegang di seluruh  Perancis.

Pada 13 Mei 1969 – ketika saya di Kuala Kangsar – ada kereta di bakar, ada rumah di bakar, ada orang mati  dibunuh di Kuala Lumpur. Apa yang berlaku di Paris tidak ada bezanya dari 13Mei  seperti yang disurahkan  oleh Lim Kit Siang.

Di Paris yang mengamuk warga miskin kota. Di Kuala Lumpur yang mengamuk juga adalah warga miskin kota.

Di Paris yang keluar membakar kereta adalah anak-anak muda yang tidak berkulit putih. Di Kuala Lumpur yang membakar kereta adalah mereka yang datang dari  pinggir kota -  dari kampung setinggan Selayang, Kampung Kerinchi atau Kampung Baru.

Justeru Hishamuddin Rais bertanya : Kenapa yang bangun melawan di Parsi tidak dituduh rasis.

Kenapa yang bangun melawan di Kuala Lumpur di tuduh rasis. Walhal dua-dua di Paris dan di Kuala Lumpur  adalah perlawanan dan pemberontakan warga miskin kota.

Justeru saya mentakrifkan ambiance  dan suasana Mei13 yang di ceritakan oleh Lim Kita Siang  tidak lengkap. 

Sebelum Paris meledak terbakar pada 28 Jun   telah wujud kemarahan warga yang tidak berkulit putih. Mereka  merasa diri  mereka ditinggalkan dan di ketepikan dari punca ekonomi.

Sebelum Kuala Lumpur meledak terbakar pada Mei13  telah wujud kemarahan Bani Melayu. Mereka merasa di Red Indiankan di tanah air mereka sendiri.  Mereka merasa harta kekayaan  bumi Tanah Melayu tidak lagi milik mereka. Mereka melihat pendatang asing yang membolot harta kekayaan di bumi datuk nenek moyang mereka.

Kelas yang kaya di Perancis adalah kelas  yang berkulit putih. Kelas yang miskin tertindas di Perancis adalah yang tidak berkulit putih.

Kelas yang kaya di Tanah Melayu  adalah pendatang China. Kelas miskin tertindas adalah Bani Melayu.

Justeru Jun28  di Paris adalah pemberontakan kelas tertindas.

Justeru Mei13 di Kuala Lumpur adalah pemberontakan  kelas tertindas.

Jika di Parsi Jun28 ditakrif  sebagai kemarahan kaum miskin maka saya Hishamuddin Rais  mahu mengubah naratif  Me13 di Kuala Lumpur dari pergaduhan kaum ke pergaduhan kelas.

Pertentangan kelas ini adalah kontradiksi utama. Kelas ada manifestasi dari ekonomi. Saya sedar  bahawa amat  mudah untuk mentakrif Mei13 sebagai  pergaduhan kaum. 

Singkap kain kaum itu dan lihat ada apa didalamnya. Pasti akan tertonjol kelas. Umat manusia sama ada di Perancis  atau di Tanah Melayu semuanya memiliki latar belakang kelas. Sama ada mereka berkulit putih, berkulit hitam, berkulit kuning, berkulit sawo matang semuanya akan terikat dengan kelas.

Surah Lim Kita Siang tentang 13Mei  jika tidak memasukan unsur kelas  sebagai unsur induk maka ianya pasti akan tempang.

Malah jika  DNA politik hari ini di campur gaulkan dengan ABR – agama, bangsa dan raja – maka ianya pasti tunggang terbalik. 

Malah pada hemat saya DNA politik yang berlaku sekarang  akan mengulangi sejarah pembelotan  United Malays National Organisation  dengan kuasa kolonial  Inggeris.  

Ulangi pembelotan seperti apa ? Sila tunggu minggu hadapan untuk pencerahan. Amin. (TT)


TULISN INI DISIARKAN
JUGA DI PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/07/21/naratif-13-mei-lim-kit-siang-tempang
DAN
THE MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/453288




Tiada ulasan:

Catat Ulasan