MEI DI KUALA LUMPUR
JUN DI PARIS
Pada bulan Mei 1969 saya berada di Kuala Kangsar. Pada bulan Mei 1969 Lim Kit Sing berada di Sabah. Pada 13 Mei 1969 saya masih berada di Kuala Kangsar. Pada 13 Mei 1969 Lim Kita Siang masih lagi berada di Sabah
Pada 13 Mei 1969 warga miskin kota mengamuk di Kuala Lumpur. Pada 28 Jun 2023 warga miskin kota mengamuk di Paris.
Pada 19 Julai 2023 Lim Kit Siang di laporkan berkata bahawa suasana negara seperti suasana sebelum Mei 13 1969.
Pada 19 Julai 2023 Hishamuddin Rais membaca berita tentang Lim Kit Siang yang merasa risau kerana hubungan harmoni kaum di Malaysia makin merosot. Malah Lim Kit Sing menggambarkan ambiance politik hari ini sama seperti pra Mei 13.
Justeru pada Khamis 20 Julai 2023 Hishamuddin Rais menyambung kembali tulisan mengenai Kesedaran Melayu.
Kita wajib tahu dimana kita berdiri dimana kita duduk. Dimana bumi di pijak di situ langit di junjung. Dari situlah lahirnya DNA sejarah diri kita.
Justeru saya tahu dimana saya berada pada pagi Rabu 4 April 1979.
Pada pagi Rabu itu saya berada di Empress Market - pasar besar kota Karachi Pakistan. Ketika itu saya menjadi pendatang haram di Pakistan. Saya tanpa pasport telah berjaya lari dari kezaliman kerajaan yang di kepalai oleh United Malays National Organisation.
Di pagi itu - saya ingat lagi di gerai mana saya berada dalam pasar ketika saya melihat pemilik gerai menghadiahkan gula-gula kepada pelanggan dengan penuh keriangan.
Pada pagi itu Zulfikar Ali Bhutto bekas Perdana Menteri Pakistan telah digantung mati di waktu subuh di Penjara Besar Rawalpindi Pakistan.
Sebelum digantung mati Bhutto telah di bicarakan. Saya mengikuti perbicaraan ini dengan membeli ‘rejoinder’ yang di foto kopi dan di jual di kedai buku oleh penyokong Bhutto.
Rejoinder adalah terma guaman yang memberi makna : jawapan orang di tuduh terhadap dakwaan yang di hadapkan.
Rejoinder Bhutto yang dicetak adalah hasil fikrah peguam lulusan University of Carlifornia Bekerley dan Oxford University.
Apa hubungan rejoinder Bhutto dengan Kesedaran Melayu.
Bhutto menulis rejoinder ketika dituduh di mahkamah. Hishamuddin Rais juga menulis rejoinder untuk menjawab surah Lim Kit Siang.
Rejoinder saya ini bukan kerana saya berhadapan dengan tali gantung. Malah lebih dari tali gantung. Rejoinder yang saya tulisan ini di garap kerana bani Melayu bukan saja berhadapan dengan tali gantung malah sedang di beri dedak.
Dedak yang ditabur sedang memandulkan fikrah Melayu. Dedak untuk memanaikan kecergasan fikrah Bani Melayu.
Rejoinder Hishamuddin Rais bukan melalui Harvard atau Oxford tapi melalui pengalaman dan pandangan empirikal yang kritikal tentang DNA politik Tanah Melayu.
Tahun 1980 George Lucas dari Hollywood menggarap The Empire Strikes Back. Tahun 2023 Hishamuddin Rais menggarap Malay Empire Strikes Back.
Apa yang saya garap ini bertujuan untuk meluruskan benang kusut milik anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Tanah Melayu. Saya ingin memberi pencerahan tentang apa yang telah berlaku satu ketika dulu. Membuka DNA sejarah Tanah Melayu hingga kita berhadapan dengan DNA politik yang kita hadapi sekarang.
Rejoinder saya ini adalah usaha untuk merungkai suasana kusut yang dikatakan oleh Lim Kit Siang – suasana pra Mei13.
Untuk membuka pencerahan ini saya bawa pembaca ke Paris.
Pada 28 Jun 2023 warga miskin kota mengamuk dalam kota Paris. Punca disebabkan seorang anak muda tidak berkulit putih telah di tembak mati oleh polis berkulit putih.
Pembunuhan oleh anggota polis di anggap rasis. Polis berkulit putih yang memiliki senjata membunuh anak muda yang tidak berkulit putih. Anak muda ini tidak bersenjata. Malah kesalahan hanya melanggar lampu trafik dan tidak memiliki lesen memandu.
Mengikut Mao Zedong – pemimpin Parti Komunis China - kuasa muncul dari laras senapang. Polis kulit putih ada pistol a.k.a kuasa. Manakala yang ditembak mati - Nahel Merzouk anak keturunan Arab Aljeria yang baru berumur 17 tahun tidak ada senjata.
Bukan sahaja Nahel tidak bersenjata. Nahel , kaum keluarga Nahel, suku sakat Nahel dan mereka yang sewaktu dengan Nahel tidak memiliki kuasa – zero , nil et rien. Mereka mewakili warga miskin kota Paris.
Si Nahel anak muda berketurunan Arab ini mewakili, simbol dan memanifestasikan semua pendatang yang tidak berkulit putih di Perancis.
Nahel tinggal di wilayah Nanterre. Warga di wilayah Nanterre ini rata-rata miskin. Justeru mereka tinggal di flet milik bandar raya di pinggir kota. Mereka bukan duduk di wilayah Nueilly atau Saint Maurice yang lumayan. Flet di Nanterre sempit, cekai lagi cokia. Rumah-rumah flet mereka kotor lagi bobrok.
Dalam masa yang sama diri merekalah penyumbang statistik penggangur yang tinggi. Mereka miskin merempat tanpa pekerjaan yang bergaji lumayan.
Kawasan perumahan Si Nahel ini menjadi wilayah dadah. Menjadi sarang samseng. Menjadi tempat jual beli barang curi. Malah rompak dan samun adalah babak harian mereka.
Heroin, ganja, hashih dan syabu menjadi budaya yang mengelilingi Nahel. Polis yang tidak berkulit hitam enggan masuk ke wilayah perkampungan Nahel.
Justeru telah ada keterpendaman lama yang menunggu masa untuk meledak. Anak Karakatoa telah lama terpendam. Gunung Agong telah lama memendam rasa. Suasana telah lama menghangat dan bila-bila masa sahaja akan memuntahkan lava yang panas membakar.
Ada apa dengan Paris. Apa sangkut paut Paris dengan DNA politik Tanah Melayu yang kita hadapi sekarang.
Warga Perancis mengamuk di beberapa wilayah di Paris. Kedai di bakar – barang dalam kedai di curi. Kereta milik polis di bakar, bas awam di bakar, bangunan kerajaan di bakar – ini gambaran amukkan keganasan yang mula berlaku di Paris pada 28 Jun 2023. Hampir satu minggu suasana tegang di seluruh Perancis.
Pada 13 Mei 1969 – ketika saya di Kuala Kangsar – ada kereta di bakar, ada rumah di bakar, ada orang mati dibunuh di Kuala Lumpur. Apa yang berlaku di Paris tidak ada bezanya dari 13Mei seperti yang disurahkan oleh Lim Kit Siang.
Di Paris yang mengamuk warga miskin kota. Di Kuala Lumpur yang mengamuk juga adalah warga miskin kota.
Di Paris yang keluar membakar kereta adalah anak-anak muda yang tidak berkulit putih. Di Kuala Lumpur yang membakar kereta adalah mereka yang datang dari pinggir kota - dari kampung setinggan Selayang, Kampung Kerinchi atau Kampung Baru.
Justeru Hishamuddin Rais bertanya : Kenapa yang bangun melawan di Parsi tidak dituduh rasis.
Kenapa yang bangun melawan di Kuala Lumpur di tuduh rasis. Walhal dua-dua di Paris dan di Kuala Lumpur adalah perlawanan dan pemberontakan warga miskin kota.
Justeru saya mentakrifkan ambiance dan suasana Mei13 yang di ceritakan oleh Lim Kita Siang tidak lengkap.
Sebelum Paris meledak terbakar pada 28 Jun telah wujud kemarahan warga yang tidak berkulit putih. Mereka merasa diri mereka ditinggalkan dan di ketepikan dari punca ekonomi.
Sebelum Kuala Lumpur meledak terbakar pada Mei13 telah wujud kemarahan Bani Melayu. Mereka merasa di Red Indiankan di tanah air mereka sendiri. Mereka merasa harta kekayaan bumi Tanah Melayu tidak lagi milik mereka. Mereka melihat pendatang asing yang membolot harta kekayaan di bumi datuk nenek moyang mereka.
Kelas yang kaya di Perancis adalah kelas yang berkulit putih. Kelas yang miskin tertindas di Perancis adalah yang tidak berkulit putih.
Kelas yang kaya di Tanah Melayu adalah pendatang China. Kelas miskin tertindas adalah Bani Melayu.
Justeru Jun28 di Paris adalah pemberontakan kelas tertindas.
Justeru Mei13 di Kuala Lumpur adalah pemberontakan kelas tertindas.
Jika di Parsi Jun28 ditakrif sebagai kemarahan kaum miskin maka saya Hishamuddin Rais mahu mengubah naratif Me13 di Kuala Lumpur dari pergaduhan kaum ke pergaduhan kelas.
Pertentangan kelas ini adalah kontradiksi utama. Kelas ada manifestasi dari ekonomi. Saya sedar bahawa amat mudah untuk mentakrif Mei13 sebagai pergaduhan kaum.
Singkap kain kaum itu dan lihat ada apa didalamnya. Pasti akan tertonjol kelas. Umat manusia sama ada di Perancis atau di Tanah Melayu semuanya memiliki latar belakang kelas. Sama ada mereka berkulit putih, berkulit hitam, berkulit kuning, berkulit sawo matang semuanya akan terikat dengan kelas.
Surah Lim Kita Siang tentang 13Mei jika tidak memasukan unsur kelas sebagai unsur induk maka ianya pasti akan tempang.
Malah jika DNA politik hari ini di campur gaulkan dengan ABR – agama, bangsa dan raja – maka ianya pasti tunggang terbalik.
Malah pada hemat saya DNA politik yang berlaku sekarang akan mengulangi sejarah pembelotan United Malays National Organisation dengan kuasa kolonial Inggeris.
Ulangi pembelotan seperti apa ? Sila tunggu minggu hadapan untuk pencerahan. Amin. (TT)
TULISN INI DISIARKAN
JUGA DI PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/07/21/naratif-13-mei-lim-kit-siang-tempang
DAN
THE MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/453288
Tiada ulasan:
Catat Ulasan