Isnin, 27 November 2023

AKTA ANTI ROKOK ?



Mengurangkan mudarat dengan Akta Kawalan Produk Merokok

SEBAIK sahaja cadangan kawalan produk merokok menjadi akta, semua produk vape dan cecair nikotin menjadi produk haram melainkan didaftarkan di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kita difahamkan, aspek jualan, pengiklanan, pelabelan, dan akses kepada golongan muda akan dapat dikawal melalui Akta Kawalan Produk Merokok apabila diluluskan Parlimen.

Sebagai contoh, peranti vape dalam bentuk seperti mainan yang menarik bagi kanak-kanak tidak lagi dapat dijual.

Promosi dengan menggunakan wanita berpakaian provokatif yang berlegar di kedai makan untuk memujuk orang ramai mencuba vape tidak lagi dapat diteruskan.


Segala bentuk iklan vape juga akan dapat dikawal di media. Semua sebatian kimia, perisa, pengawet dan spesifikasi perantinya dapat direkod apabila didaftarkan.

Rantaian pengeluarannya bermula dari hulu hingga ke pembekal dan jaringan jualan akan diketahui apabila pendaftarannya dibuat di Bahagian Kawalan Penyakit.

Tujuannya untuk mengekang kemudaratan besar kepada kesihatan awam ekoran kelompongan undang-undang dalam mengawal produk merokok baharu ini.

Baharu pun tidaklah baharu juga. Para pengusaha dalam industri ini pasti sudah mengaut untung besar dengan menjual produk ini sejak bertahun-tahun tanpa kawalan.

Para pelobi dan penggeraknya berbangga bahawa industri vape atau rokok elektronik ini mencapai nilai RM2.27 bilion dalam tempoh 10 tahun sahaja sejak dipasarkan di Malaysia pada 2010.

Sejak itu, jumlah penggunanya mendadak naik. Angka dipegang Kementerian Kesihatan menunjukkan peningkatan itu berkadar songsang dengan jumlah perokok konvensional.

Maksudnya, jumlah perokok konvensional semakin kurang manakala perokok yang menggunakan vape dan cecair nikotin semakin ramai – dan semakin muda.

Serentak dengan itu juga, jumlah individu yang mengalami kecederaan paru-paru akibat penggunaan vape (EVALI) meningkat, terutama di kalangan warga muda.

Sebab itulah cadangan undang-undang ini pada awalnya memperuntukkan usaha mewujudkan generasi penamat – warga yang lahir bermula 2007 tidak lagi dapat merokok dan menghisap vape.

Namun peruntukan inilah yang menyebabkannya terpaksa ditangguhkan di saat akhir sebelum dapat dibentangkan semula bulan lalu.

Ini kerana Peguam Negara berpendapat, prinsip undang-undang dalam peruntukan ini berisiko dicabar di mahkamah kerana menyediakan diskriminasi terhadap golongan muda.

Lalu, kita difahamkan peruntukan generasi penamat ini akan digantikan dengan sekatan jualan dan promosi ke atas golongan muda bawah 18 tahun – sama seperti sekatan jualan rokok konvensional.

Setidak-tidaknya ia dapat memberi sedikit kuasa kawal selia. Bagi warga petugas kesihatan ini, amalan mereka berpandu pada prinsip asas mengurangkan mudarat terlebih dahulu.

Pada masa sama, akta ini menjadi penimbal bagi usaha kerajaan memperkenal duti eksais terhadap cecair atau gel mengandungi nikotin untuk rokok elektronik dan vape mulai tahun ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 bulan lalu berkata, vape dan cecair nikotin dijual secara berleluasa dengan nilai RM2 bilion.

Katanya, sebanyak 50% peratus daripada duti yang dikutip ke atas produk ini akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan bagi kempen antirokok dan antiarak.

Kawal selia dan cukai itu satu langkah untuk tidak menggalakkan penggunaan vape. Kita juga mendengar jaminan, jumlah kutipan itu akan didahulukan untuk rawatan.

Dalam usaha menghalalkan vape dan cecair nikotin ini, bahan tersebut dikecualikan daripada jadual Akta Racun, walaupun semua maklum ia memudaratkan kesihatan.

Kita mendengar kritikan ke atas langkah ini seperti disuarakan Persatuan Farmasi Malaysia dalam kenyataan mereka pada awal bulan.

Mereka berpendapat, langkah pengecualian bahan toksik dalam bentuk gel dan cecair nikotin dari jadual Akta Racun sebagai satu keputusan yang berpandangan singkat.

Kementerian sendiri akur bahan tersebut tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam badan manusia.

Namun kita difahamkan, kementerian mengambil langkah itu supaya vape dan cecair nikotin dapat dikawal secara lebih holistik melalui Akta Kawalan Produk Merokok.

Tinggal lagi, berapa jumlah sebenar yang akan dapat dikutip kerajaan daripada jutawan vape dan cecair nikotin ini kelak.

Adakah ia dapat menampung kos birokrasi, penguatkuasaan dan juga beban yang ditanggung hospital untuk merawat penyakit berkaitan rokok dan vape?

Ada pakar yang menyebut, rawatan ke atas satu kes EVALI akan memerlukan kos sehingga RM150,000.

Kita juga bimbang dengan mutu perbahasan dan daya intelek para ahli Parlimen dalam meneliti rang undang-undang ini apabila dibentangkan semula esok.

Sebabnya, ada kalangan menteri Madani pun nampaknya tidak faham dan masih mempersoalkan kaitan di antara merokok dan kanser. – 27 November, 2023.

INI LANGKAH

BAIK UNTUK JAGA

KESEHATAN RAKYAT

AMIN

JANGAN HANYA

TUMPU PADA ROKOK

AMIN

BUAT AKTA KFC

AKTA MEK DONAL

AKTA KOKA KOLA

SEMUA BAHAN INI

BAWA MUDARAT

PADA RAKYAT

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan