Jumaat, 24 November 2023

PERANG GAZA SEDANG MEREBAK



PERANG GAZA

 SEDANG  

MEREBAK


Perang Gaza  bermula 8 Oktober 2023 sudah masuk ke hari 48. Hakikatnya Hamas telah menang. Bukan menang tempur tapi menang perang maklumat. 

Hamas telah berjaya membuka kembali agenda Palestin yang dibenamkan selama ini. Seluruh dunia kini menjadikan Palestin isu perbualan. Untuk pertama kalinya dunia kini melihat apa itu Zionis dan apa itu Israel.

Naratif  Israel sebagai  penjajah dan Palestin sedang dijajah sudah diterima oleh masyarakat dunia.  Generasi muda yang dulunya  tidak begitu sedar tentang perjuangan rakyat Palestin kini telah menerima kuliah Hamas melalui  media sosial.

Paling ampuh ialah sokongan  kumpulan Yahudi tua dan  muda. Yahudi  Agamawan, sekular , liberal dan kiri kini menyokong perjuangan Palestin. Kumpulan Yahudi ini  secara terbuka menentang Zionis. Mereka tidak mahu  identiti  Yahudi mereka digunakan oleh kaum Zionis untuk menjajah Palestin.

Paling menonjol ialah penerimaan masyarakat dunia bahawa Israel sedang menjalan dasar genocide terhadap Arab Palestin. Zionis Israel kini dituduh sedang menjalankan dasar pembunuhan beramai-ramai dan berusaha membantai bersih Arab Palestin.

Banyak negara yang dahulunya tidak ambil pot terhadap Palestin kini terbuka mata. Ada negara membuat dasar baru terhadap Israel kerana ombak rakyat mereka yang keluar ke jalan raya menyokong Palestin. Amin.

Justeru Bolivia dan Belize memutus hubungan diplomatik. Manakala Bahrain, Chad , Chile, Colombia, Honduras, Jordan Turki dan Afrika Selatan memanggil duta pulang.

Memanggil duta pulang dalam bahasa tidak diplomatik sama seperti berkata : pergi lancau lah lu. 

Ini belum pernah terjadi dalam diplomasi   geo-politik antarabangsa.

Ketika  tulisan ini di garap kabinet Netanyahu baru sahaja bersetuju untuk membuat gencatan senjata.

Al- Jazeera melaporkan  - selama 6 jam kabinet Netanyahu  berbincang akhirnya bersetuju untuk berhenti menyerang Gaza selama 4 hari. Dalam masa 4 hari ini bantuan  untuk warga akan  di benarkan masuk ke Gaza.

Gencatan senjata  4 hari ini  bermula pada Khamis 23 November 2023 waktu tempatan.

Netanyahu tidak mengeluarkan perincian tentang apa yang telah dipersetujui. Dia hanya menyatakan satelah 4 hari serangan terhadap Hamas akan diteruskan.

Dunia hanya mengetahui dari kenyataan Hamas di Qatar.

Perundingan sulit telah berjalan lama. Qatar menjadi orang tengah. Presiden Biden juga telah memainkan peranan.

Hamas telah mengumumkan perkara yang telah dipersetujui :
1 – Empat hari gencatan senjata
2 – Pengeboman di hentikan
3 – Hamas membebaskan 50 tawanan
      terdiri dari kanak-kanak dan wanita
4 –  Israel membebaskan 150 wanita dan 
       Kanak-kanak dari penjara Israel               
5 -  Bantuan kemanusiaan di benar masuk
6 -  Gerila Hamas  tidak akan diserang
       ketika membantu
7 -Bantuan kemanusiaan di benar masuk  

Stesen Al-Jazeera telah melaporkan bagaimana Presiden Biden telah menalipon Emir Qatar dan juga Netanyahu. Presiden Biden mahu gencatan senjata ini berlaku. Ini untuk memperbaiki imej Biden yang memasang niat untuk bertanding sekali lagi tahun hadapan.

Ombak pro-Palestin di Amerika dan di kalangan Yahudi Amerika sedang  mengampuh. Ini bahaya untuk Biden.  Palestin ini boleh menjadi agenda  kempen pengundian presiden 2024. 

Dalam masa yang sama ketika perundingan ini sedang berjalan askar  Yaman telah membajak Galaxy Leader  sebuah kapal pengangkutan di Laut Merah. Kapal   dengan 25 orang anak kapal dalam perjalanan dari Turki ke India.

Kapal milik bilionair Israel ini di kendalikan oleh syarikat  NYK Jepun.  Tidak ada warga Israel menjadi anak kapal.

Pembajakan kapal ini bukan satu yang baru yang dilakukan oleh Yaman. Gerila Houthi dari Yaman telah menghantar drone ke Israel. Yaman telah menghantar drone ke kapal Amerika yang berlabuh di Laut Tengah.

Apa yang jelas sekarang ialah perang Gaza ini sedang merebak dan meluas. Satu demi satu pentas perang di buka.

Politik dan  fahaman ideologi Zionis ini berasakan  Eretz Israel atau Israel Raya. Konsep Eretz Israel ini lahir dari Kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud. Israel Raya ini mencakupi semua  bumi Palestin  termasuk Lebanon, Syria hingga ke Iraq. Justeru hari ini kita lihat perlawanan menentang Zionis ini datang dari Lebanon, dari Syria, dari Iraq dan juga  dari Iran.

Selepas 7 Oktober di Iraq kumpulan yang dikenali sebagai Kata’ib Hezbolah telah berkali-kali menyerang dan meroket khemah dan pangkalan soldadu Amerika di Iraq.

Setiausaha Agung Kata'ib Hezbolah Abu Husen al-Hamidawi telah  menghantar pasukan gerilanya ke sempadan Jordan. Abu Hussein al-Hamidawi, berkata, "Kami berada di sini untuk mempertahankan rakyat kami di Gaza, wilayah yang diduduki dan mereka yang terdedah. Peluru berpandu, drone dan pasukan khas kami berada di tempat yang tinggi. berjaga-jaga...”. ( Petikan dari portal The New Arab   11 Oktober 2023 ).

Manakala di Lebanon pasukan Hezbolah yang paling tersusun dan paling lengkap dengan senjata moden  telah siap seaga menunggu arahan untuk masuk ke Utara Israel.

Dalam ucapan pada  Oktober 2021, pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah mendakwa organisasinya mempunyai 100,000 pejuang terlatih, 25,000 pejuang sepenuh masa dan kira-kira 20,000–30,000 pasukan simpanan.

Al-Jazeera telah melaporkan pada 3 November 2023 kenyataan Nasrallah yang berkata  bahawa Hizbullah memasuki "perang" sehari selepas serangan Hamas 7 Oktober berlaku.

“Ada yang mendakwa kami akan terlibat dalam peperangan. Saya memberitahu anda, kami telah terlibat dalam pertempuran ini sejak 8 Oktober,” kata Nasrallah.

“Penentangan Islam di Lebanon mula beroperasi keesokan harinya.”

Dalam masa yang sama  kerajaan Iran secara terbuka adalah penyokong kuat Hamas. Iran mempersenjatai Hamas, memberi dana dan membantu sokongan logistik kepada Hamas.

Israel memusuhi Iran  semenjak jatuhnya kerajaan Shah Reza Pahlavi pada tahun 1979. Kerajaan Shah Reza adalah kawan baik Zionis Israel. Babak ini telah menjadi sejarah.

 Setia kawan dan sokongan Iran ini diikat pula dengan ajaran Islam. Parti Hamas dari mazhab Sunni kini dibantu oleh kerajaan  Iran dari mazhab Syiah.

Perang Gaza ini memperlihatkan Solidariti dan ikatan yang amat kuat antara Sunni dan Syiah. Islam dilihat bersatu menentang Zionis.

Laporan juga menyatakan bahawa hampir 8,000 anggota  Pasukan Pengawal Revolusi Iran telah di hantar ke Lebanon. Ini adalah pasukan soldadu elit Iran.

Jelas Zionis Israel kini di asak dari tiga penjuru. Dari dalam Gaza gerila Hamas menyerang. Di Utara Israel gerila Hezbolah menyerang. Dari selatan soldadu dari Yaman pula menyerang. 

Keadaan militer seperti ini menakutkan Amerika. Biden tidak mahu perang Gaza ini melimpah hingga menjadi Perang Timur Tengah.  Justeru Amerika telah menghantar dua buah kapal perang ke Laut Tengah  berhadapan dengan Gaza dan Lebanon. 

Dari segi ajaran kitab klasik perang  gerila dua kapal perang  Amerika ini hanya harimau kertas. Kapal ini dibawa untuk menakutkan Hezbolah, untuk menakutkan Yaman agar jangan buat ‘ lebih-lebih’.

Manakala negara Arab seperti Jordan dan Saudi Arabia telah masuk ke dalam poket Amerika. Begitu juga Mesir di bawah al-Sisi tidak berani bangun berdiri sebagai Arab dan mempertahankan Palestin.

Geo-politik ini tidak menggerunkan Hamas.

Lihat apa yang terus berlaku di Gaza sekarang. Tanpa Mesir, tanpa Jordan dan tanpa Saudi  gerila Palestin di Gaza dan Tebing Barat terus melawan.

Dari segi taktik perang  gerila soldadu Israel sedang  menjadi sasaran gurban – gerila bandar. Ratusan kereta kebal dan kereta perisai Zionis Israel menjadi mangsa RPG Al-Qassam. Di beritakan juga  ratusan soldadu Zionis telah tewas. Dilaporkan lebih dari 11 ribu soldadu Zionis cedera.

Dalam perang angka tewas dan angka cedera di simpan sebagai rahsia. Dalam perang yang pertama mati kena bunuh ialah kebenaran. 

Justeru hingga ke hari ini kita tidak tahu  dengan sahih jumlah soldadu dan gerila yang tewas.

Tapi apa yang jelas apabila Netanyahu bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata bermakna Zionis Israel telah ‘ letih’.
Awalnya Netanyahu dengan angkuh berkata bahawa Hamas akan di tumpaskan secepat mungkin. Kini Hamas masih lagi bergerila  cergas.

Tarikh 7 Oktober 2023 adalah tarikh keramat. Tarikh ini telah mengubah geo-politik dunia. 

Sebelum 7 Oktober muka depan akhbar dan media  ialah Ukraine dan Zelensky. Kini Ukraine dan Zelensky telah menjadi mangsa Hamas. Perang Ukraine yang menjadi hati jantung Amerika, NATO dan Eropah kini terbarai.

Ukraine dan Zelensky telah di tinggalkan. Amin.

Projek melemahkan  Rusia dan menjatuhkan Putin telah gagal meleset. Rusia tidak berganjak dari dasar menolak Ukraine dari menjadi ahli NATO.  Ekonomi Rusia masih kukuh. Nilai Rubel masih tinggi walaupun ada sekatan ekonomi.

Berbilion bantuan senjata  dan dana dari Amerika dan Eropah kini hangus.  Hakikatnya Ukraine telah kalah. Rusia sedang  menang.

Kini Amerika, NATO dan Eropah beralih dari Ukraine  ke Israel. Perang di Gaza ini  jika berpanjangan  pasti akan mengubah lanskap geo-politik dunia. Amerika, NATO dan Eropah yang parah dalam Perang Ukraine akan di bantai sekali lagi oleh Hamas, Hezbolah dan Iran.

Hegemoni  kuasa imperialis Amerika akan runtuh. Kuasa dolar Amerika akan terbarai.  Sistem ekonomi kapitalis akan jadi huru hara.

Apakah elit politik di Amerika dan di Eropah tidak sedar tentang perkara ini. Apakah mereka terlalu bebal politik hingga gagal melihat realiti yang sedang berlaku.  

Pelik tetapi benar – dalam keadaan geo-politik sekarang – kenapa elit politik dan elit ekonomi Amerika dan Eropah terus membantu Zionis Israel? Untuk jawapan tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT. COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/473204



Tiada ulasan:

Catat Ulasan