Sabtu, 23 Mac 2024

ANAK YATIM - WARGA TANPA NEGARA



Apakah Malaysia menuju status pariah di kalangan dunia Islam?


Umat Islam sentiasa diajar tentang kewajipan melindungi dan menjaga anak yatim.

Al-Quran menyebut istilah "anak yatim" sebanyak 23 kali. Surah al-Ma'un, umpamanya, memuatkan amaran keras tentang kewajipan memelihara golongan ini, malah mengingatkan kita bahawa tidak guna mendirikan solat jika mengabaikan perintah khusus untuk melindungi anak yatim.

Al-Quran tidak pun memperincikan jenis anak yatim itu, sama ada kewarganegaraannya, atau bangsanya, atau sama ada dia anak luar nikah, pelarian, kanak-kanak bermata biru mahupun berwajah Afrika berambut kerinting. Ia hanya merujuk kepada manusia kecil yang malang di sekeliling kita.

Amaran Al-Quran ini diturunkan pada abad ke-6, dalam konteks masyarakat Arab pada masa itu menganggap nasab dan keturunan adalah segala-galanya, di mana darjat seseorang bergantung kepada suku kaum, dan di mana setiap individu perlu dibinkan, pada masa sama anak terbuang dan terbiar - iaitu anak yatim yang keturunannya tidak diketahui - dianggap hina dan rendah.

Seseorang anak yatim tidak ada pembela semula jadi: ibu dan bapa. Semasa lahir dan di zaman kanak-kanak, dia bergantung kepada ihsan masyarakat dan negara.

Kerajaan sesebuah negara boleh menjadikan kehidupan mereka sebagai neraka di dunia dengan menafikan mereka hak sama yang dinikmati kanak-kanak lain.

Atau, ia boleh melindungi mereka supaya mereka boleh melangkah ke alam dewasa yang normal, dengan peluang pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan dan benda-benda penting yang selalunya diambil mudah: akaun bank, pinjaman wang, hartanah, kereta, pasport, dan mendirikan rumah tangga.

Dalam realiti zaman moden ini, seseorang yang dinafikan status warganegara berdepan kehidupan yang sengsara. Maka orang yang ingin berhijrah atau meninggalkan negara mereka sangat berhati-hati sebelum membatalkan kewarganegaraan yang ada, dan terpaksa mendapatkan khidmat peguam hanya untuk memastikan mereka tidak merempat tanpa kerakyatan di negara yang menjadi pilihan mereka.

Mungkin ada di antara kita yang menganggap berbakti kepada anak yatim itu ialah dengan menziarahi pusat jagaan anak yatim, menceriakan mereka, membawa mereka ke taman tema, dan mengarak mereka di atas pentas untuk diberikan sumbangan angpow dan duit raya seperti mana dilakukan ramai ahli politik yang mementingkan diri sendiri.

Bagaimanakah sesebuah negara dan kerajaan, apatah lagi yang mengaku berpandukan nilai-nilai Islam, menunaikan kewajipan Al-Quran untuk membela anak yatim?

Dalam konteks negara bangsa moden, satu-satunya cara hak anak yatim dibela ialah melalui kewarganegaraan. Hak ini termaktub di setiap negara di dunia, sama ada pemerintahan kuku besi atau beraja, sama ada ia sebuah negara sekular yang mengiktiraf perkahwinan sejenis atau yang mengikut sistem perundangan Islam yang menyeluruh.

Begitu juga Malaysia, di mana Seksyen 19B perlembagaannya memperuntukkan bahawa seorang bayi terbiar, dengan kata lain anak yatim, mempunyai semua hak kewarganegaraan seperti yang disebut di atas, supaya mereka dapat menjalani kehidupan normal dan berdikari, bukan jatuh miskin dan merana mengemis.

Hak ini termaktub dalam perlembagaan supaya tidak ada kanak-kanak yang diabaikan sewaktu kelahirannya perlu hidup menderita sebagai anak yatim. Ia bukanlah kuasa yang dikurniakan kepada seorang menteri, jauh sekali seseorang yang mengharapkan undi untuk kelangsungannya, dan yang boleh menggunakan kuasa ini untuk tujuan politiknya sendiri setiap kali pilihan raya.

Semua ini bakal berubah melalui suatu tindakan yang amat tidak berakal oleh Pakatan Harapan, gabungan politik yang umum tahu merupakan paling lantang dan bising mengenai reformasi dan hak asasi.

Melalui pindaan perlembagaan, kerajaan mahu menghapuskan prinsip sejagat ini: hak kerakyatan automatik untuk bayi terbiar dan anak yatim.

Kerajaan memberi alasan bahawa peruntukan perlembagaan yang ada sekarang membuka ruang kepada pendatang tanpa izin dan pelarian untuk sengaja membuang bayi mereka. Hujah seperti ini tidak berbeza dengan orang yang menghalau anak yatim yang berkunjung ke rumah mereka merayu makanan, dengan alasan ia akan menggalakkan beribu-ribu anak yatim lain untuk turut datang mengemis di luar rumahnya.

Itulah fitrah manusia jahat, mereka cuba menepis kebaikan dengan mengada-adakan pelbagai kesan buruk daripada perbuatan murni. Dan itulah yang sebenarnya dilakukan oleh Saifuddin Nasution - menteri dalam negeri yang kalah pilihan raya, yang pernah dulu menyatakan kebanggaannya yang seorang berkuturunan Mandailing boleh diangkat menjadi menteri di Malaysia.

Amat membingungkan mengapa Anwar mahu meneruskan pindaan ini, terutama apabila kesemua negara Islam utama bukan sahaja mengekalkan hak kewarganegaraan bayi terbiar, malah ada negara yang sebelum ini tidak mempunyai peruntukan itu telah memperkenalkannya baru-baru ini.

UmrahHaji-MNow-180123-3Sebagai contoh, pada 2021, Arab Saudi, negara yang sering digambarkan sebagai melaksanakan undang-undang Islam yang "terlalu ketat", mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang ibu bapa mereka tidak dapat dikesan akan dianggap sebagai warganegara Saudi. Ia merupakan berita baik kepada lebih 12,000 keluarga Saudi yang menjadikan kumpulan kanak-kanak ini sebagai anak angkat.

Langkah ini tidak mencemaskan rakyat Saudi, walaupun hakikatnya terdapat berjuta-juta pendatang asing dan pendatang tanpa izin yang sukar dikesan di bandar raya  sesak seperti Makkah dan Madinah. Pengisytiharan itu menyaksikan peningkatan mereka yang ingin mengambil anak yatim sebagai anak angkat, dan seterusnya ia diharapkan akan membawa kepada penutupan pusat jagaan anak yatim supaya golongan ini membesar dalam suasana keluarga dan bukan dalam institusi yang memisahkan mereka daripada masyarakat.

Begitu juga halnya dengan negara Turkiye, walaupun dengan syarat-syarat kerakyatan yang ketat, dan sempadannya terdedah kepada berjuta-juta pelarian, ia tidak menjadi penghalang untuk negara itu mengiktiraf bayi terbiar sebagai warga negara, tidak kira sama ada keturunan dan nasab mereka diketahui atau tidak, selagi mana mereka dilahirkan di Turkiye.

Dari Tunisia ke Indonesia, negara-negara Islam menjamin hak kewarganegaraan untuk bayi terbiar dan anak yatim. Kumpulan ini selalunya dikecualikan daripada syarat kerakyatan yang sangat ketat dan sulit.

Maka timbul persoalan, di manakah pindaan ini menempatkan Malaysia dalam konteks dunia Islam? Jawapan ringkas: ia menjadi pariah antarabangsa yang terpisah daripada nilai sejagat dan dunia Islam yang lain.

Anwar dan rakan-rakannya perlu ambil serius amaran Al-Quran terhadap mereka yang merampas hak anak yatim, jika tidak bersedia menerima akibatnya.

Sementara Perikatan Nasional, yang mengaku sebagai pembela agama Islam, bukan sahaja mempunyai kewajipan untuk menjaga hak yang sedia wujud kepada anak yatim, tetapi juga tidak boleh membiarkan diri mereka ditipu oleh orang seperti Saifuddin.

"Sekali-kali tidak! Bahkan kamu tidak memuliakan anak yatim." (Surah al-Fajr, 89:17)

WOIT

DI SABAH ADA

LEBIH DARI 

SATU JUTA 

WARGA 

TANPA NEGARA

AMIN

APA GUNA SABAH

MASUK MALAYSIA

KALAU WARGA

DINAFIKAN NEGARA

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan