Parti gabungan enggan turun kempen jangan cuba sabotaj – Syahredzan
HULU SELANGOR – Parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan yang enggan turun padang bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu diminta agar tidak cuba melakukan sabotaj.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, pihaknya mengalu-alukan sekiranya parti-parti gabungan dalam kerajaan Madani dapat turut serta membantu Pang Sock Tao yang mewakili parti DAP berkempen untuk tempoh 13 hari.
“Saya rasa yang penting kita jalan kempen kita…macam Setiausaha Agung parti DAP (Anthony Loke Siew Fook) kata, PRK ini adalah untuk memujuk pengundi bukannya memujuk parti politik.
“Kalau yang nak tolong kempen, kita alu-alukan, yang tak nak turun tak apalah itu pendirian mereka.
“…cuma kita berharap janganlah pula sampai berkempen untuk pihak lawan atau sabotaj atau cuba menegangkan dalam Kerajaan Perpaduan…itu kita tak nak.
“Kalau tak nak kempen tak apa kita hormat, tapi, janganlah sampai buat provokasi dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menemani Pang melakukan walkabout bertemu pengundi di Pasar Karat Batang Kali, di sini, hari ini.
Turut serta pada sesi walkabout itu Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Syahredzan berkata demikian ketika diminta mengulas sikap MCA yang masih lagi membisu selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi semalam menyatakan harapan agar parti itu dapat turut sama membantu kempen calon PH di sini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berharap MCA dapat membantu jentera Kerajaan Perpaduan berkempen pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu.
Beliau bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tempoh khusus bagi tujuan itu namun, yakin suasana akan berubah apabila ‘kedukaan’ MCA kembali reda.
Ahmad Zahid turut melahirkan keyakinan jalinan persahabatan erat dengan MCA sejak 1955, mampu meredakan pergeseran yang berlaku antara parti itu dan DAP.
Sementara itu, Young Syefura berkata, setiap kempen yang dilakukan bagi membantu calon PH berbeza caranya dan bergantung kepada situasi lokasi kempen dilakukan.
Katanya, sesi ceramah itu perlu ada sebagai tambahan dan yang pasti adalah bertemu dengan seramai pengundi yang boleh.
“Bagi saya berkempen cara yang baik adalah berjumpa dengan seramai mungkin pengundi sama ada dengan melakukan walkabout di rumah, pasar, kedai makan di mana pengundi asal itu berada,” ujarnya. –T
Wooit united front yg baru Dan titah yg baru baguih baguih rakyat dh pandai bertitah buktikan
BalasPadam