Sabtu, 10 Ogos 2024

TERUSKAN PERANG


Israel lancar operasi tentera, penduduk Gaza terpaksa lari lagi

KHAN YOUNIS: Penduduk Gaza terpaksa lari lagi dari Khan Younis selepas perintah pemindahan tentera Israel pada Jumaat, yang mahu lancarkan operasi ketenteraan baharu di kawasan utama di selatan Gaza itu.

Tentera Israel sering kembali ke Gaza, termasuk kawasan yang sudah diserang sebelum ini jika terdapat maklumat risikan mengatakan pejuang Palestin tetap terus muncul atau mengenai lokasi tebusan Israel yang diculik 7 Oktober lalu.

"Mereka membuang risalah kepada kami, mengarahkan kami berpindah," kata penduduk, Reem Abu Hayya kepada AFP, merujuk kepada risalah diedarkan tentera Israel mengarahkan pemindahan dari kawasan itu sebelum pengeboman bermula.

Kawasan Khan Younis sebelum ini sudah pun menerima arahan pemindahan pada akhir Julai, dan pertempuran hebat yang memusnahkan kawasan terbabit awal tahun ini, malah wilayah itu kini kosong dengan hanya bangunan yang musnah dibom.

Tinjauan wartawan AFP mendapati semua premis di kawasan itu musnah teruk dan tidak boleh lagi dihuni manusia kerana dipenuhi timbunan konkrit dan sisa bangunan lain.

Di wilayah terkepung yang dibom secara bertubi-tubi sejak 10 bulan lalu, di mana bekalan bantuan amat sukar dibawa, orang ramai membawa semua yang mereka mampu angkut ketika mula melarikan diri sejak Khamis.

Akibat kekurangan petrol, hanya mereka yang bernasib baik memperoleh bekalan dapat menggunakan kenderaan, selalunya dengan tilam bertimbun tinggi diikat di atas bumbung kereta.

Namun, sebahagian besar hanya berjalan kaki dengan membawa barang-barang mereka dalam beg plastik menaiki pedati ditarik keldai, basikal, kereta sorong atau kerusi roda.

Menjelang senja, jalan-jalan di Khan Younis benar-benar lengang dan sunyi, lapor wartawan AFP. Hanya runtuhan bangunan yang rosak dalam serangan terdahulu masih berdiri.

Risalah yang digugurkan pada Khamis mengarahkan penduduk meninggalkan bandar timur wilayah Khan Younis termasuk Al-Salqa, Al-Qarara, Bani Suheila, dan kawasan kejiranan di bandar Khan Younis.

"Hamas dan pertubuhan pejuang terus melancarkan roket dari kawasan anda, baca risalah yang mengulangi arahan lalu dan amaran bahawa tentera Israel akan bertindak tegas terhadap unsur-unsur ini."

Menjelang Jumaat, agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menganggarkan sekurang-kurangnya 60,000 rakyat Palestin mungkin telah bergerak ke arah barat Khan Younis dalam tempoh 72 jam yang lalu", kata jurucakap PBB Florencia Soto Nino.

Lewat bulan lalu Philippe Lazzarini, yang mengetuai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin, UNRWA, berkata di laman media sosial X bahawa hanya '14 peratus kawasan di Gaza' tidak tertakluk kepada arahan pemindahan. - AFP

TERUSKAN

PERANG

AMIN

ALANG ALANG

PERANG BIAR

SAMPAI MENANG

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan