Korea Utara berdiri teguh bersama Russia hingga capai 'kemenangan' di Ukraine
MOSCOW: Korea Utara akan berdiri bersama Russia sehingga mencapai kemenangan ke atas Ukraine, kata Menteri Luar Korea Utara, Choe Son Hui.
Son Hui berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Russia, Sergei Lavrov, di Moscow.
Beliau berada di Moscow ketika negara Barat mendakwa ribuan tentera Korea Utara kini berada di Russia dan mungkin akan membantu negara itu berperang di Ukraine.
"Kami ulangi bahawa kami akan sentiasa berdiri teguh bersama rakan seperjuangan Russia sehingga hari kemenangan.
"Kami tidak ragu-ragu bahawa di bawah kepimpinan Presiden Russia, Vladimir Putin, tentera dan rakyat Russia pasti akan mencapai kemenangan besar dalam perjuangan mereka untuk mempertahankan hak kedaulatan dan keselamatan negara mereka," katanya.
Sementara itu, Lavrov memuji hubungan erat antara angkatan tentera dan perkhidmatan khas antara kedua-dua negara berkenaan.
Beliau berkata, Russia menandatangani perjanjian pertahanan bersama dengan Korea Utara pada musim panas yang lalu.
"Hubungan sangat rapat terjalin antara tentera dan perkhidmatan khas kedua-dua negara ini.
"Ia juga akan membolehkan kami mencapai matlamat keselamatan penting untuk seluruh rakyat kami," katanya.
Lavrov berkata, Russia amat berterima kasih kepada Korea Utara atas pendirian berprinsip mereka mengenai peristiwa yang berlaku di Ukraine.
Kedua-dua Menteri Luar itu sebelum ini merasmikan majlis peringatan untuk menghormati lawatan pemimpin Korea Utara, Kim Il-Sung, ke Russia pada tahun 1949.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) menyatakan seramai 8,000 tentera Korea Utara sedang menjalani latihan di Russia dan mungkin akan dikerahkan untuk berperang di Ukraine.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan