UMNO Kedah tolak kenyataan adendum Najib hanya khabar angin
KUALA LUMPUR – UMNO Kedah tetap berpendirian titah adendum tahanan rumah untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah wujud dan bukan satu khabar angin seperti kenyataan Menteri Dalam Negeri.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya kecewa dengan kenyataan Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat semalam.
“Kami sangat kecewa dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, menyifatkan beliau tidak ikhlas, menjawab ibarat melepaskan batuk di tangga dan hanyalah bersifat politik semata-mata.
“UMNO Kedah mahu dan mendesak agar Menteri Dalam Negeri lebih telus dan jangan berdalih dalam isu ini. Kenyataan Menteri Dalam Negeri seolah-olah memberi isyarat bahawa afidavit kepada mahkamah oleh Presiden UMNO dan Menteri Besar Pahang tidak mempunyai sebarang kredibiliti,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Shaiful Hazizy, UMNO Kedah berpegang teguh dengan kenyataan Zahid Hamidi dan Wan Rosdy Wan Ismail bahawa sesungguhnya mereka sendiri telah menyaksikan surat titah daripada Yang Di-pertuan Agong pada waktu itu mengarahkan agar Najib diletakkan tahanan rumah.
“UMNO Kedah mohon agar Kerajaan Perpaduan tidak terus menerus menafikan hak bekas perdana menteri keenam untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan pada masa yang sama hak beliau menjalani tahanan rumah berasaskan adendum yang sedia ada,” katanya lagi.-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan