Semakin ramai remaja minat aktiviti samseng jalanan – Zamzuri
KUALA LUMPUR – Kini semakin ramai remaja cenderung untuk keluar rumah dan melepak bersama rakan-rakan serta menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap aktiviti samseng jalanan.
Itu tegas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa.
Beliau membuat rumusan itu berdasarkan hasil operasi dijalankan pihaknya.
Sehingga hari kelima pelaksanaan Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina 2025, katanya, statistik menunjukkan penurunan jumlah kemalangan berbanding operasi yang sama tahun lepas.
Namun berdasarkan data daripada Op Selamat sebelum ini, trend kemalangan jalan raya menunjukkan variasi, kata Mohd Zamsuri.
Menurutnya, untuk Op Selamat kali ini terdapat penurunan kes kemalangan jalan raya dan jumlah kemalangan kali ini 639 kes berbanding 681 tahun lalu.
Jumlah saman 13,107 kali ini berbanding 14,230 tahun lepas.
“JSPT KL tetap memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan risiko kemalangan dengan memastikan pemandu mematuhi peraturan lalu lintas, meningkatkan kesedaran serta disiplin pemandu dan menggalakkan sikap pemanduan berhemah serta bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Operasi Motosikal dan Operasi Samseng Jalanan hari ini menumpukan kepada penunggang motosikal agar lebih mematuhi peraturan jalan raya, memakai topi keledar dengan betul serta tidak melakukan aksi berbahaya yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Dalam operasi yang dilaksanakan, seramai 75 anggota terdiri daripada 13 Pegawai Kanan Polis dan 62 Pegawai Rendah Polis dari JSPT KL telah membuat sekatan jalan raya di beberapa lokasi iaitu Jalan Loke Yew, Jalan Kuching, dan Jalan Tun Razak.
Pemeriksaan telah dijalankan terhadap kira-kira 1,500 kenderaan.
Hasil operasi, sebanyak 72 motosikal telah disita atas kesalahan pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi.
Selain itu, pihak JSPT KL telah mengeluarkan sebanyak 789 saman, manakala pihak JPJ telah mengeluarkan 250 saman.
Dalam operasi tersebut, lima individu telah ditangkap atas pelbagai kesalahan iaitu tiga kes bagi Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil / Seksyen 108 APJ.
“Satu kes bagi Seksyen 30(3) Akta Racun dan satu kes Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Kesemua tangkapan melibatkan individu berusia antara 15 hingga 25 tahun.
Mereka telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.-

samseng tu apa ? samsung ka ?
BalasPadammemang cool bila digilis dengan trailer semasa langgar lampu merah. Kah kah kah!
BalasPadam