'AS akan ambil alih Gaza' - Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam berikrar bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain - satu langkah yang bakal 'menghancurkan' dasar berdekad-dekad AS berhubung konflik Israel-Palestin.
Trump mendedahkan rancangannya yang sungguh mengejutkan itu, tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Washington.
Pengumuman berkenaan menyusuli satu lagi cadangan 'menggemparkan' daripada Trump sebelum itu - memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza ke negara-negara jiran secara kekal - sambil memanggil Gaza sebagai 'tapak perobohan.'
"AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan kami juga akan melakukan sesuatu dengannya. Kami akan memilikinya," kata Trump.
Katanya, AS akan menangani bom belum meletup, 'meratakan tapak' dan mengalihkan bangunan yang telah musnah, selain mewujudkan pembangunan ekonomi yang bakal menyediakan penempatan serta pekerjaan tanpa batas kepada penduduk di kawasan itu.
Bagaimanapun, Trump tidak respons secara langsung terhadap soalan mengenai bagaimana dan bawah kuasa apa yang membolehkan AS mengambil alih Gaza serta mendudukinya dalam jangka panjang.
"Saya melihat kedudukan pemilikan jangka panjang dan nampak ia membawa kestabilan besar di bahagian Asia Barat itu. Saya telah mengkaji perkara ini dengan teliti selama berbulan-bulan," katanya.
Trump sekali gus mendakwa bahawa beliau telah menyuarakannya kepada pemimpin serantau dan mereka menyokong idea berkenaan. Beliau juga memaklumkan bakal melawat Gaza tetapi tidak menyatakan bila.
Ditanya siapa yang akan menetap di situ pula, Trump berkata, ia akan menjadi tempat tinggal 'penduduk dunia' dan meramalkannya berkemungkinan menjadi 'Riviera' Asia Barat.
Namun, Trump nampaknya mencadangkan supaya bukan rakyat Palestin yang akan kembali ke tanah air mereka itu.
"Ia harus tidak melalui proses pembinaan semula dan pendudukan oleh orang sama yang telah betul-betul berada di situ serta berjuang untuknya, tinggal dan mati di sana, serta hidup dalam kewujudan yang sengsara di situ," katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, kira-kira dua juta penduduk Gaza harus 'pergi ke negara lain yang mempunyai jiwa kemanusiaan.'
Trump sekali gus menggandakan desakannya supaya rakyat Palestin berpindah keluar dari Gaza ke negara Asia Barat seperti Mesir dan Jordan, meskipun rakyat Palestin serta kedua-dua negara itu telah menolak mentah-mentah gesaan berkenaan.
Namun pada kali ini, Trump menambah dengan menyatakan beliau akan menyokong penempatan semula rakyat Palestin itu 'secara kekal'.
Sementara itu, Netanyahu pula memuji Trump sebagai 'sahabat terhebat yang Israel pernah ada', sambil mendakwa perancangan Presiden AS itu terhadap Gaza berupaya 'mengubah sejarah' dan 'berbaloi untuk diberi perhatian.'
Sebelum ini, Mesir dan Jordan telah menolak mentah-mentah cadangan Trump untuk memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza.
Pemindahan penduduk Gaza secara paksa adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa dan dilihat bakal mendapat bantahan keras, termasuk daripada negara Barat yang menjadi sekutu Washington. Sebilangan pejuang hak asasi manusia turut menyifatkan idea itu umpama langkah pembersihan etnik.
Pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, mengecam desakan Trump untuk penduduk Gaza berpindah ke negara lain itu sebagai 'pengusiran dari tanah air mereka sendiri.'
"Kami menganggapnya sebagai resipi untuk mencetuskan huru-hara dan ketegangan di rantau itu kerana rakyat Gaza tidak akan membenarkan perancangan sedemikian untuk berlaku," katanya.
Perwakilan Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menegaskan pemimpin dunia harus menghormati kehendak rakyat Palestin.
Bahkan, penduduk Gaza turut bangkit mengutuk idea Trump itu.
"Trump fikir Gaza adalah timbunan sampah - sama sekali tidak," kata penduduk di bandar Rafah, Hatem Azzam, 34.

Kaum Arab telah dalam kesedaran...they are reaching enlightment..so you relax la
BalasPadam