MAHARAJA
TELAH BERTITAH
Belum sampai tiga minggu Donald Trump di Rumah Putih dunia sudah menjadi huru hara. Saya penyokong Trump dan meramalkan Trump akan menang. Bila menang huru hara akan berlaku dalam dunia. Tetapi saya tidak menjangka secepat ini huru hara berlaku. Kini dunia sedang berhadapan dengan Maharaja Donald J. Trump. Amin.
Media dunia, mata dan telinga pemerhati politik dari kiri dan kanan semua tertumpu ke Rumah Putih. Pemimpin politik dari seluruh dunia – musuh dan kawan – semua meneliti apa yang akan keluar dari mulut Maharaja Trump ini.
Dalam suasana ini saya teringat apa kata Henry Kessinger : "Mungkin berbahaya menjadi musuh Amerika, tetapi menjadi kawan Amerika membawa maut".
Saya hendak menambah – lagi bahaya menjadi jiran tetangga berkongsi sempadan dengan Amerika.
Saya berkata demikian kerana Mexico dan Canada kini menjadi tikus makmal projek cukai import Trump. Dua negara jiran ini telah di kenakan cukai 25%. Manakala China di kenakan cukai 10%.
Perdagangan barangan dan perkhidmatan Amerika dengan Mexico berjumlah dianggarkan $855.1 bilion dolar pada 2022. Eksport ialah $362.0 bilion; import ialah $493.1 bilion. Defisit perdagangan barangan dan perkhidmatan Amerika dengan Mexico ialah $131.1 bilion pada 2022.
Hubungan perdagangan Amerika Syarikat dengan Canada adalah yang terbesar di dunia. Pada 2023, perdagangan barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara berjumlah $923 bilion dolar. Eksport Amerika ialah $441 bilion, manakala import ialah $482 bilion, mengakibatkan defisit perdagangan Amerika $41 bilion dolar dengan Kanada.
Pada 2023, jumlah nilai perdagangan antara Amerika dan China ialah $575 bilion. Amerika mengimport $427.2 bilion barangan dari China pada 2023, sambil mengeksport $147.8 bilion dolar.
Saya yakin bila Yang Amat Mulia Trump melihat data ini dia akan merasa di tipu. Semua perniagaan dengan tiga negara ini berat sebelah tidak menguntungkan Amerika.
Justeru untuk memperbaikinya keadaan ini Yang Amat Mulia mengenakan cukai. Sekali imbas logiknya ada. Tetapi dalam hal jual beli dan perniagaan dunia ada hukum dan syarat-syarat lain.
Tenaga buruh di Amerika mahal. Tenaga buruh di China dan Mexico murah. Kilang di China dan di Mexico tidak peduli dengan hal-hal pekerja dan tidak mengenakan kawalan alam sekitar yang ketat.
Contohnya beberapa a syarikat terkemuka Amerika membuka kilang di China, termasuk: Apple (kilang pemasangan Foxconn), Nike, Tesla, General Motors, Ford, Dell, Mattel (pembuat anak patung Barbie), Coca-Cola, 3M, Boeing, Qualcomm, Carrier, dan Johnson & Johnson.
Kapitalis tidak berbangsa, tidak beragama dan tidak ada kesetiaan pada negara. Tuhan dan rukun iman kapitalis ialah untung. Di mana ada untung di sana kapitalis akan berkumpul. Maharaja Trump sedang cuba melawan dan mengubah hukum kapitalis ini. Trump mahu pengilang dan syarikat Amerika menjadi patriotik dan pulang membuka kilang di tanah tumpah darah sendiri. Amin.
Berita terkini melaporkan China, Canada dan Mexico akan membalas. Ketika tulisan ini di garap belum di ketahui lagi tindak balas dari tiga negara ini.
Apa yang jelas Maharaja Trump telah memulakan perang perniagaan. Inilah yang saya harapkan berlaku. Menghuru harakan sistem ekonomi kapitalis dunia. Saya mahu Trump kacau bilaukan semua sistem ekonomi kapitalis. Huru harakan rantaian pengeluaran sistem ekonomi kapitalis.
Tidak cukup dengan serangan ke atas tiga negara ini Trump juga telah bertitah yang negara-negara Kesatuan Eropah juga akan di kenakan cukai. Mengikut Trump negara-negara ini telah mengambil kesempatan dari hati baik Amerika.
Salah satu titah Maharaja Trump ialah menyelamatkan duit dari perbendaharaan negara. Kerja ini telah di jalankan oleh Panglima Elon Musk. Tugas ini memerlukan dana di potong di sana sini. Dari apa yang di lapor Elon Musk telah menamatkan bajet untuk USAID.
Lembaga USAID ini beroperasi berselirat di seluruh dunia. Ramai warga Amerika bekerja dengan lembaga ini. Juga ada beribu warga asing dari pelbagai negara yang juga bekerja dengan USAID. Lembaga ini membuat kerja amal semenjak Presiden Kennedy menubuhkan pada tahun 1961.
Satu minggu sesudah Trump naik takhta beribu-ribu warga Amerika hilang pekerjaan. Dana untuk Badan Bukan Kerajaan – NGO – juga di lupuskan.
Trump juga telah bertitah untuk memutuskan hubungan dengan WHO – Badan Kesihatan Dunia – yang di kendali oleh Bangsa-Bangsa Bersatu. Trump tidak puas hati pada badan ini kerana bersekongkol dengan China dalam hal asal usul virus Covid-19.
Maharaja Trump juga merancang untuk memutuskan penglibatan Amerika dengan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan melanjutkan larangan pembiayaan ke atas agensi PBB untuk pelarian Palestin – UNRWA.
Amat jelas Maharaja Trump sedang membuat kacau dan huru hara sedang berlaku di seluruh dunia. Dalam Amerika kacau. Luar Amerika pun lagi kacau.
Mata dunia sedang buntang memandang apa yang akan di lakukan oleh Maharaja Trump kepada Ukraine. Sebaik sahaja mendapat kuasa Trump telah membatalkan semua bantuan kepada Ukraine. Dunia melihat ini tanda-tanda positif yang perang ini akan ditamatkan.
Dalam masa yang sama Trump juga telah memberi amaran kepada BRICS atau kaum kerabat BRICS. Jika BRICS mahu mendirikan satu lagi mata wang untuk bersaing dengan dolar maka negara-negara ini akan di kenakan cukai 100%.
Amaran Maharaja ini telah menjemput suara lembut dari Presiden Putin. Mengikut Putin BRICS tidak berniat untuk mewujudkan mata wang baru untuk melawan dolar.
Kenyataan lembut dari Putin ini bersangkut paut dengan keinginan Rusia untuk menamatkan Perang Ukraine. Presiden Putin sedar perang ini juga menghuru harakan ekonomi Rusia - justeru jalan damai wajib di teroka.
Dalam perhitungan Putin sosok terbaik untuk menamatkan perang ini pastilah Maharaja Donald Trump. Amin.
Seperti Maharaja di zaman dahulu kala Trump juga menggunakan ancaman senjata dan bala tentera. Dua negara yang menjadi sasaran ialah Panama dan Greenland. Dua negara ini menjadi wilayah yang amat strategik dari segi pertahanan untuk Amerika.
Pituffik Space Base di barat laut Greenland ada pangkalan tentera udara Amerika. Greenland adalah penting untuk tentera Amerika dan sistem amaran awal peluru berpandu balistiknya. Dari pulau ini adalah laluan terpendek dari Eropah ke Amerika Utara.
Trump mahu menjadikan pulau Greenland ini sebahagian dari Amerika melalui jual beli atau di tawan. Perkara yang sama juga sedang berlaku kepada Panama.
Terusan Panama yang di dirikan oleh Amerika pada tahun 1914 ini telah di pulangkan kepada rakyat Panama pada tahun 1977. Mengikut Trump kerajaan Panama telah mungkir janji.
Kini pintu masuk dan pintu keluar terusan ini sedang di kendalikan oleh syarikat China. Ini membawa bahaya ke atas keselamatan Amerika. Justeru Trump bertitah : Undur atau tentera Amerika akan datang mengambil alih kembali terusan ini.
Belum pun sempat tulisan ini selesai di garap perkembangan baru telah datang mendadak. Titah dan ancaman Maharaja Trump telah membawa hasil.
Kerajaan Mexico yang awalnya berkeras akan membalas cukai Trump kini jadi lemah longlai. Mexico bersetuju untuk menghantar 10,000 bukan sepuluh orang soldadu untuk mengawal sempadan Amerika – Mexico. Pendatang haram akan di bedal oleh Mexico. Pihak keselamatan Mexico akan memperkuatkan lagi kempen anti dadah – fentanyl.
Dadah kimia fentanyl datang dari China. Mengikut hujah Trump ini cara awal China untuk melemahkan benteng pertahanan Amerika. Hantarkan dadah ke Amerika dahulu.
Di Canada Perdana Menteri Justin Trudeau juga menjadi lembik bila berhadapan dengan ancaman Trump. Dari bualan talipon mereka Canada bersetuju akan menghantar soldadu dan polis untuk mengawal ketat sempadan Canada-Amerika yang banyak membawa masuk pendatang haram ke Amerika.
Sama seperti Mexico Justin Trudeau juga berjanji untuk memastikan dadah fentanyl dari China tidak di seludup masuk ke Amerika melalui sempadan Canada.
Jelas terbukti cara Trump mengeluarkan titah telah menakutkan banyak negara. Penyokong Trump termasuk saya juga mengalu-alukan kejayaan dasar anti pendatang haram ini. Dalam masa yang sama Maharaja Trump mengingatkan kita untuk berwaspada terhadap perancangan jangka jauh dari China.
Bila Maharaja Trump naik takhta bukan semuanya tragedi. Ada juga komidi untuk kita sama-sama tersenyum dan merayakan kejayaan dasar Maharaja Trump. Untuk ini saya bawa pembaca ke India.
Kita sendiri di Malaysia tahu dan ada pengalaman membaca bagaimana warga India datang masuk melalui KLIA ke Malaysia dan kemudian tidak pulang- pulang. Perkara yang sama berlaku ke atas Amerika.
Dengan sekali seru kerenah jahat warga India ini terhenti. Trump bertitah semua visa untuk warga India di mansuhkan. Jeng jeng jeng.
Apa yang terjadi sesudah titah ini di umumkan membawa kita semua ketawa terbahak-bahak.
Warga India yang masih tergila-gila nak ke Amerika ini telah berduyun- duyun bersembahyang di sebuah kuil bernama Chamatkari Hanuman di Ahmedabad wilayah Gujerat. Kuil ini sekarang di panggil kuil Visa Hanuman.
Akhbar The Times of India telah melaporkan berita bagaimana Sami Vijay Bhatt yang menjaga kuil ini akan mengambil pasport untuk di sembahyangkan di hadapan Tuhan Hanuman. Si pemilik pasport ini akan bertawaf sebanyak 108 kali mengelilingi Tuhan Hanuman sambil berdoa akan di berikan visa untuk memasuki Amerika.
Pada hemat saya titah Trump ini ke atas Mexico, Canada, Greenland, Ukraine dan Panama semuanya cuba di selesaikan secara duniawi. Hanya di India titah Maharaja Trump ini cuba di tumpulkan dengan kuasa ghaib. Kah kah kah.
Sebelum tulisan ini selesai di garap dunia di beritahu bahawa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah sampai ke Amerika. Waran tangkap ke atas Netanyahu pasti tidak di pedulikan oleh Maharaja Trump.
Mata dunia sedang menunggu untuk melihat kesampaian Netanyahu ke Rumah Putih. Telinga dunia sedang terpasang untuk mendengar apa isi perbualan Maharaja Trump dan Tok Penghulu dari kariah bernama Israel. Kita tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/733694









All Hail optimus prime. Koncu koncu decepticon kat mesia..sila siap seraga.
BalasPadam