Permohonan imuniti Anwar hina sistem keadilan - Bersatu
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz menempelak tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang memohon imuniti bagi mengelak saman sivil berkaitan dakwaan serangan seksual oleh bekas pembantunya, Muhammad Yusoff Rawther.
Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja tidak berasas dari sudut perundangan, malah mencemar prinsip kedaulatan undang-undang, integriti institusi kehakiman dan maruah negara.
"Pertama, perlembagaan tidak pernah mengangkat perdana menteri sebagai kebal daripada undang-undang, Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan jelas, semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang.
"Cubaannya untuk berlindung di sebalik jawatan eksekutif bagi mengelak pertanggungjawaban atas dakwaan peribadi adalah satu langkah bacul dan tidak bermoral. Malaysia bukan negara diktator. Tiada siapa, termasuk Perdana Menteri, boleh menuntut layanan istimewa di luar batas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Tun Faisal turut mempersoalkan kewajaran permohonan imuniti tersebut, memandangkan Raja-Raja Melayu sendiri tidak lagi menikmati kekebalan mutlak selepas pindaan Perlembagaan pada 1993.
"Seksyen 183 memperuntukkan bahawa tindakan sivil dan jenayah masih boleh diambil terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan kebenaran Peguam Negara. Jika seorang sultan tidak kebal daripada tindakan undang-undang, apakah logiknya seorang perdana menteri menuntut keistimewaan lebih tinggi daripada Raja sendiri?" soalnya dalam kenyataan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Anwar telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi minggu lalu untuk merujuk lapan soalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan, bagi menentukan sama ada dia berhak mendapat imuniti sebagai perdana menteri daripada saman sivil yang difailkan oleh Yusoff.
Saman tersebut berkaitan dakwaan serangan seksual yang didakwa berlaku pada Oktober 2018, ketika Anwar masih memegang jawatan Presiden PKR dan sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Portal Free Malaysia Today (FMT) semalam melaporkan bahawa Anwar kini sedang mendapatkan pengesahan muktamad daripada Mahkamah Persekutuan sama ada peruntukan Perkara 39, 40, dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan dirinya kekebalan bersyarat daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan oleh Yusoff.
Anwar melalui firma guaman barunya, Zain Megat & Murad, juga memohon agar mahkamah menentukan jika perbicaraan kes ini akan menjejaskan keupayaannya menjalankan
tugas eksekutif dan mencabuli prinsip pengasingan kuasa antara cabang pentadbiran dan kehakiman.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dilaporkan mendengar permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan penuh berhubung saman dikemukakan Yusoff.
Peguam Yusoff, Muhammad Rafique Rashid Ali mengesahkan hakim Roz Mawar Rozain menetapkan 3 Jun ini untuk mendengar permohonan penangguhan itu.
Sementara itu Tun Faisal berkata, imuniti eksekutif bukan lesen untuk lari dari dakwaan peribadi, sebaliknya imuniti dalam sistem common law hanya melindungi pegawai kerajaan atas tindakan rasmi dan dalam skop fungsi mereka.
Katanya, tindakan yang didakwa (serangan seksual) adalah pertamanya, bersifat peribadi dan keduanya, berlaku sebelum Anwar memegang jawatan perdana menteri, justeru tidak layak mendapat perlindungan imuniti rasmi.
"Dalam undang-undang antarabangsa, termasuk di Amerika Syarikat (AS), presiden hanya menikmati imuniti atas tindakan rasmi dalam kapasiti jawatannya. Mereka tidak kebal atas perbuatan peribadi sebelum dilantik.
"Dalam kes Clinton vs Jones (1997), Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa presiden boleh disaman dalam kes sivil yang berkait dengan tindakan sebelum dia memegang jawatan. Anwar cuba mengubah prinsip ini untuk melindungi diri, satu usaha licik dan tidak beretika.," dakwanya.
TUn Faisal turut menyifatkan permohonan itu sebagai cubaan terang-terangan menyalahguna kuasa dan mencabar prinsip asas demokrasi dan ‘rule of law’.
"Jika mahkamah tunduk kepada tekanan sebegini, maka lenyaplah kedaulatan undang-undang di negara ini. Apa yang akan menghalang mana-mana pemimpin masa depan daripada menggunakan alasan yang sama untuk melarikan diri daripada bertanggungjawab?
"Jika bersih, kenapa takut mahkamah? Jika benar Anwar tidak bersalah, buktikan di mahkamah seperti rakyat biasa yang lain. Lari daripada proses kehakiman melalui alasan imuniti hanya menunjukkan ketakutan, bukan keyakinan. Ini bukan tentang politik. Ini tentang keadilan, dan keadilan mesti ditegakkan secara terbuka, telus, dan saksama.” katanya.
Tun Faisal turut menggesa mahkamah menolak permohonan tersebut secara tegas dan segera demi mempertahankan maruah institusi kehakiman serta masa depan demokrasi negara.
"Malaysia bukan milik mana-mana individu. Ia milik rakyat yang percaya pada undang-undang, bukan pada imuniti," kata Tun Faisal lagi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan