Nik Nazmi turut lepaskan jawatan menteri
KUALA LUMPUR – Nik Nazmi Nik Ahmad melepaskan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkuat kuasa 4 Julai 2025 dan akan bermula cuti esok hingga 3 Julai 2025.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataannya petang ini, Nik Nazmi yang tewas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini berkata, beliau sedar kedudukan sebagai Naib Presiden PKR sebelum ini merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan ke dalam Kabinet.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri,” katanya.
Jelasnya, dengan keputusan itu, beliau kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan Setiawangsa.
Menurutnya, sejak dilantik ke dalam Jemaah Menteri, pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022—Disember 2023), dan seterusnya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023—Julai 2025), beliau telah berusaha sebaik mungkin bersama Timbalan Menteri dan para penjawat awam yang berdedikasi untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan.
Kejayaan dua kementerian ini termasuklah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] – Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi.
Pengurangan kadar penyahutanan yang ketara juga telah mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres.
“Hanya dalam beberapa minggu selepas dilantik, kami berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia. Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat. Dalam sektor air, kami telah memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan.
“Pasukan NRES telah memulakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dari peringkat paling asas, dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen,” ujarnya.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang telah banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini. –

Dulu pasal anak seluruh negara marah-marah dengan Atok, sekarang sampai masa untuk Abang Non pula, sejarah berulang kali sehingga rakyat sudah lali permainan politik setiap masa, carilah orang yang ada kelayakan sekali saja, bagi orang bukan setakat berpelajaran tetapi mempunyai hati naluri berkhidmat bukan mengaut keuntungan dirinya saja kah kah kah boleh jumpa tak manusia begini lagi ???
BalasPadam