Protes terhadap dasar imigresen Trump menular seluruh AS
LOS ANGELES: Gelombang protes terhadap dasar imigresen keras Donald Trump terus merebak di seluruh Amerika Syarikat (AS) semalam, meskipun tindakan keras disokong tentera dilancarkan di Los Angeles serta amaran Presiden Republikan itu untuk menggunakan "kekuatan berat".
Di Los Angeles, tempat bermulanya protes sejak Jumaat lalu, perintah berkurung yang dikuatkuasakan di pusat bandar pada waktu malam menyaksikan polis menahan 25 individu.
Pegawai keselamatan lengkap bersenjata berkawal di sekitar bangunan kerajaan, manakala peniaga mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup tingkap kedai menggunakan papan bagi mengelak sebarang insiden vandalisme.
Pasukan Marin AS yang diarahkan Trump untuk dikerahkan selain lebih 4,000 anggota Pengawal Nasional membuat penampilan pertama di jalanan semalam.
Protes yang sebahagian besarnya berlangsung secara aman itu tercetus susulan peningkatan mendadak dalam usaha menangkap migran yang tiada dokumen di negara itu.
Bagaimanapun, beberapa insiden keganasan dilaporkan termasuk tindakan membakar teksi pandu sendiri serta membaling batu ke arah pasukan polis, yang kemudian mencetuskan tindak balas besar sehingga pihak berkuasa termasuk penggunaan gas pemedih mata dan senjata kawalan orang ramai.
Trump memenangi pilihan raya tahun lalu sebahagiannya atas janji untuk mengekang apa yang didakwanya sebagai "pencerobohan" oleh migran tanpa dokumen.
Kini beliau dilihat menggunakan kesempatan itu untuk meraih keuntungan politik apabila mengarahkan Pengawal Nasional California dikerahkan, meskipun ditentang Gabenor Gavin Newsom — tindakan pertama seumpamanya oleh seorang Presiden AS dalam tempoh beberapa dekad.
Trump kemudiannya menguji had perlembagaan apabila mengarahkan kira-kira 700 anggota Marin — sebuah pasukan yang lazimnya ditugaskan untuk misi ketenteraan luar negara — dihantar ke lokasi protes.
"Kalau pasukan tentera kita tidak masuk ke Los Angeles, bandar itu pasti sudah musnah dijilat api sekarang," dakwa Trump menerusi media sosial semalam tanpa mengemukakan sebarang bukti.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, Presiden Trump tidak akan membiarkan pemerintahan jalanan berlaku di AS.
"Tanggungjawab paling asas sesebuah kerajaan adalah mengekalkan undang-undang dan ketenteraman pentadbiran ini komited terhadap amanah berkenaan," katanya.
Gabenor Newsom, seorang Demokrat, menuduh Trump sengaja mahu mencetuskan ketegangan demi kepentingan politik.
"Demokrasi sedang diserang secara terbuka di depan mata kita, California mungkin yang pertama, tapi pastinya bukan yang terakhir," katanya dalam satu ucapan yang disiarkan secara langsung lewat malam Selasa.
Trump turut menyatakan sokongan terhadap gesaan seorang pegawai kanannya yang mahu Newsom ditahan kerana beliau dilihat sebagai seorang tokoh yang dilihat sebagai calon berpotensi untuk jawatan presiden daripada Parti Demokrat pada 2028, tahun di mana Trump secara perlembagaan perlu berundur.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan