Pasukan Taktikal SPRM lengkap bersenjata tiba di kediaman Tan Sri
KUALA LUMPUR – Pasukan Taktikal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di kediaman individu bergelar Tan Sri berhubung penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang pada jam 10.50 pagi.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, sebanyak empat buah kenderaan dilihat tiba di kawasan kediaman pemegang konsesi lebuhraya yang terletak di Bandar Tasik Selatan itu.
Ia melibatkan kenderaan dua buah van putih dan dua buah lagi kereta jenis Grand Livina dan Honda City.
Terdahulu, pada jam 8.45 pagi tadi sebuah kenderaan Toyota Vios memasuki kawasan kediaman Tan Sri untuk merakam percakapan individu itu yang memasuki hari kedua.
Pada masa sama, kawasan kediaman Tan Sri itu masih dikawal ketat anggota polis bantuan dengan meletakkan kon penghadang bagi mengelak orang awam menghampiri dengan jarak kira-kira 500 meter.
Pada 3 Jun lalu, SPRM menyenaraikan harta dengan keseluruhan sitaan berjumlah kira-kira RM143 juta, dirampas dalam siasatan penyelewengan sukuk untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang membabitkan seorang kenamaan bergelar Tan Sri.
Pasukan siasatan SPRM juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri terbabit di dalam serta luar negara termasuk di London dan Switzerland.
Tan Sri itu sebelum ini dilaporkan sebagai saksi utama dalam siasatan yang dijalankan SPRM membabitkan rampasan pelbagai aset mewah bernilai lebih RM143 juta.
Antara sitaan termasuk wang tunai dalam akaun individu dan syarikat berjumlah RM37.5 juta, hartanah bernilai RM24.5 juta, sembilan kenderaan mewah (RM7.65 juta), jam tangan eksklusif (RM25 juta), barangan kemas serta berlian (RM6 juta), tas tangan berjenama (RM3 juta), minuman keras (RM3 juta) dan empat ekor kuda bernilai RM400,000.
Turut dikesan ialah aset luar negara melebihi RM15 juta serta aktiviti perjudian mencecah RM20 juta yang dikaitkan dengan Tan Sri terbabit. –

Tiada ulasan:
Catat Ulasan