‘Minit bocor’: Adakah undi penentu pengerusi JAC diguna, soal PN
Sekiranya petikan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang didakwa bocor itu sahih, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan memberi penjelasan terhadap beberapa isu utama.
“Adakah undi penentu Pengerusi JAC seperti mana peruntukan yang terdapat dalam Seksyen 13(6), Akta JAC digunakan,” soalnya dalam kenyataan petang ini.
Takiyuddin turut menyoal mengenai hasil mesyuarat JAC yang berikutnya, sambil memetik Seksyen 13(1) Akta JAC 2009 yang menetapkan bahawa suruhanjaya tersebut perlu bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Pada 24 Jun, FMT melaporkan seorang hakim kanan telah dipanggil oleh JAC untuk menjawab beberapa dakwaan campur tangan dalam pelantikan kehakiman yang berlaku sejak tahun lalu.
“Selepas sesi soal jawab itu, satu perbincangan hangat berlaku dalam mesyuarat bulanan JAC bulan lalu, yang kini terpecah kepada dua kumpulan, dengan satu daripadanya bersimpati kepada hakim tersebut,” menurut satu sumber kepada portal berita berkenaan.
Pada hari sama, Malaysiakini melaporkan satu laporan polis yang dibuat bagi pihak hakim kanan itu telah dibocorkan. Laporan tersebut berkaitan dengan soalan yang diajukan oleh Malaysiakini kepada hakim berkenaan pada 12 Jun berhubung dakwaan yang dibangkitkan terhadapnya dalam mesyuarat JAC bulan sebelumnya.
Susulan laporan itu, Unit Jenayah Terancang Bukit Aman telah merekodkan kenyataan daripada Ketua Editor Eksekutif Malaysiakini, RK Anand, dan Editor Berita, Zikri Kamarulzaman.
Semalam, petikan yang didakwa daripada minit mesyuarat JAC telah tersebar di media sosial. Kandungannya kelihatan selari dengan dakwaan yang disebut dalam laporan polis yang dibocorkan sebelum ini.
Sementara itu, Takiyuddin menegaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu menyatakan pendiriannya sama ada dokumen yang bocor itu tulen atau tidak.
Takiyuddin juga menuntut penjelasan jika perdana menteri telah menerima cadangan-cadangan daripada JAC berkaitan pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan selepas mesyuarat pada 16 Mei atau mana-mana mesyuarat berikutnya, khususnya yang melibatkan pelantikan Ketua Hakim Malaya dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak.
“Bilakah kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia akan diisi mengikut peruntukan dan prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
"Justeru PN menuntut Perdana Menteri memberikan penjelasan yang tuntas bagi perkara-perkara di atas dalam tempoh yang segera memandangkan isu ini adalah isu tertentu yang mempunyai kepentingan awam yang tinggi serta amat perlu disegerakan.,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata dia tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang bocor itu, namun memberi amaran bahawa sekiranya ia sahih, ia tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Sekiranya ia dokumen yang sahih dan terperingkat, diklafikasikan terpakai di bawah Akta Rahsia Rasmi, jadi kita perlu berwaspada.
“Sekiranya ia sahih dan berstatus rahsia, terutama rakan-rakan media saya minta untuk berhati-hati jangan kita sebarkan kalau sesuatu dokumen itu terperingkat, maka Akta Rahsia Rasmi terpakai,” katanya lagi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan