Khamis, 31 Julai 2025

PANAS MEMBAWA MAUT



Gelombang haba, 'pembunuh senyap' yang ragut makin banyak nyawa

PARIS: Gelombang haba yang melanda Eropah baru-baru ini hanya reda seketika pada awal Julai, namun sekumpulan saintis mendedahkan sehingga 2,300 orang mungkin terkorban di lebih 12 bandar utama.

Mereka juga sependapat bahawa musim gelombang panas luar biasa panas sejak kebelakangan ini berpunca daripada perubahan iklim akibat perbuatan manusia terutama pembakaran bahan api fosil.

Angka itu bertujuan 'menarik perhatian' dan memberi amaran tepat pada masanya bagi mengelakkan lebih banyak kematian yang tidak sepatutnya berlaku, kata salah seorang penyelidik, Friederike Otto.

"Kita masih berada di awal musim panas, jadi ini bukanlah gelombang haba terakhir.

"Banyak perkara boleh dilakukan oleh orang ramai dan masyarakat untuk menyelamatkan nyawa," kata Otto, saintis iklim dari Imperial College London kepada AFP.

Setiap musim panas di Eropah, gelombang haba boleh meragut puluhan ribu nyawa, namun biasanya mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk mengira jumlah korban sebenar akibat 'pembunuh senyap' itu.

Otto bersama rakan penyelidik menerbitkan anggaran awal hanya seminggu selepas suhu mencatat kemuncak di Eropah Barat.

Meskipun kaedah kajian yang digunakan bukanlah baharu, ia adalah kali pertama kematian akibat gelombang haba dikaitkan secara langsung dengan perubahan iklim sejurus selepas kejadian berlaku.

Pakar pemanasan global dan kesihatan, Raquel Nunes dari University of Warwick berkata, anggaran awal kematian mungkin disalah anggap sebagai hanya sekadar statistik rasmi.

"Namun, dari sudut kesihatan awam, faedah penyampaian bukti tepat pada masanya mengatasi risiko kematian akibat gelombang haba dan dapat menyelamatkan nyawa.

"Pendekatan ini berpotensi mengubah pemahaman awam dan keutamaan dasar berkaitan gelombang haba," tambah Nunes, yang tidak terbabit dalam kajian itu.

Bidang sains kini mampu membuktikan dengan semakin pantas dan tepat bahawa perubahan iklim akibat perbuatan manusia menjadikan gelombang haba lebih panas dan lebih kerap berlaku.

Berbeza dengan banjir atau kebakaran, gelombang haba membunuh secara senyap, di mana pendedahan berpanjangan boleh menyebabkan strok haba, kegagalan organ dan kematian.

Golongan sakit dan warga emas paling terdedah, namun golongan muda yang bersenam atau bekerja di luar juga tidak terkecuali.

Setiap musim panas, nyawa terus terkorban akibat panas melampau dan Otto tertanya-tanya sama ada mesej mengenai bahaya itu benar-benar difahami masyarakat.

"Kami telah jalankan kajian mengenai kes cuaca melampau dan gelombang haba sejak sedekad lalu... tetapi sebagai sebuah masyarakat, kita masih belum bersedia untuk menghadapinya," katanya.

"Orang fikir beza suhu 30 darjah Celsius dengan 27 darjah itu perkara kecil, tapi kita tahu ia bukan perkara kecil," katanya.

Apabila suhu mula meningkat di Eropah pada awal musim panas ini, saintis mengubah pendekatan mereka, namun kesedaran itu tidak tersebar luas dalam kalangan masyarakat umum.

Kerjasama kajian antara Imperial College London dan London School of Hygiene & Tropical Medicine, menumpukan bukan sahaja kepada tahap keterukan, tetapi juga tahap kebinasaan gelombang haba antara 23 Jun hingga 2 Julai.

Menggabungkan sejarah data cuaca dan kematian yang diterbitkan, mereka menganggarkan perubahan iklim menyebabkan gelombang haba itu lebih panas antara satu darjah Celsius hingga empat darjah Celsius di 12 bandar, bergantung kepada lokasi, dan seramai 2,300 orang dipercayai maut.

Namun yang paling ketara, kajian itu menganggarkan 65 peratus daripada jumlah kematian, kira-kira 1,500 orang di bandar seperti London, Paris dan Athens, tidak akan berlaku sekiranya dunia tidak mengalami pemanasan global. – AFP

PANAS YANG

MAKIN PANAS

SEDANG MELANDA

SELURUH DUNIA

AMIN

SEMUA INI HASIL

DARI KERJA

MANUSIA

AMIN

ALAM MURKA

KERANA MANUSIA

MENCEMAR ALAM

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan