Bandar Gaza terus dihujani bom, serangan darat Israel
KAHERAH: Pesawat dan kereta kebal Israel terus membedil kawasan timur bandar Gaza sepanjang malam tadi, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang, demikian menurut saksi dan petugas perubatan.
Serangan itu berlaku di ketika pemimpin Hamas, Khalil Al-Hayya, tiba di Kaherah, Mesir untuk menghadiri rundingan bagi menghidupkan semula pelan gencatan senjata disokong Amerika Syarikat (AS).
Sejak rundingan demi rundingan tidak membuahkan hasil antara rejim Zionis dan Hamas, Israel semakin 'menggila' melancarkan serangan baharu bagi mengambil alih bandar Gaza dan memperluaskan lagi penguasaannya.
Pegawai Hamas, Taher al-Nono, berkata mesyuarat dengan pegawai Mesir dijadual bermula hari ini, menumpukan kepada beberapa agenda mustahak.
"Ia akan menumpukan usaha menghentikan peperangan, menyalurkan bantuan dan mengakhiri penderitaan rakyat kami di Gaza," katanya dalam satu kenyataan.
Pelan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk memperluas kawalan ketenteraan di Gaza yang dijangka dilancarkan Oktober ini terus meningkatkan bantahan global yang semakin lantang.
Masyarakat antarabangsa bimbang akan kemusnahan besar-besaran, pemindahan paksa penduduk dan kebuluran berleluasa dalam kalangan 2.2 juta penduduk Gaza.
Pelan itu turut mengundang kritikan di Israel apabila ketua staf angkatan tenteranya sendiri memberi amaran ia berisiko membahayakan nyawa tebusan masih hidup selain menjadi perangkap maut kepada tentera rejim Zionis.
Ia juga mencetuskan kebimbangan akan berlaku pemindahan penduduk besar-besaran dan tekanan berterusan membabitkan kira-kira sejuta rakyat Palestin di bandar Gaza.
Semalam, Menteri luar dari 24 negara termasuk Britain, Kanada, Australia, Perancis dan Jepun menyuarakan kebimbangan bahawa krisis kemanusiaan di Gaza mencapai tahap tidak dapat dibayangkan.
Negara terbabit menggesa Israel membenarkan kemasukan bantuan tanpa sekatan ke wilayah berkenaan.
Semalam lima lagi mangsa termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia di Gaza akibat kebuluran dan kekurangan zat menyaksikan jumlah korban keseluruhan meningkat kepada 227 orang, membabitkan 103 kanak-kanak sejak perang bermula.
Israel pula terus menafikan pihaknya bertanggungjawab atas isu kebuluran yang berlaku di Gaza, dengan menuduh Hamas bertindak mencuri bekalan bantuan.
Rejim Zionis berkata pihaknya mengambil langkah untuk meningkatkan kemasukan bantuan termasuk menghentikan serangan di beberapa kawasan pada waktu tertentu setiap hari, serta mengumumkan laluan dilindungi bagi konvoi bantuan. - REUTERS

Tiada ulasan:
Catat Ulasan