Menangani Kekeliruan Dalam Berpolitik (Bhg 1)
Politik adalah perjuangan. Ia memenuhi tuntutan Allah: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (al-‘Imran: 104)
Sejarah politik menunjukkan dari semasa ke semasa, berlaku islah (pembaharuan). Islah dizahirkan dalam pelbagai kaedah, contohnya, pemikiran, gagasan dan gerakan.
Dalam konteks hari ini, ketika rakyat sengsara serba-serbi, maka, Hamzah Zainudin mencadangkan supaya diadakan reset politik. Reset ini bagi menzahirkan Konsensus Nasional Baru dan Pembetulan Struktural Ekonomi. Gagasan ini adalah tonggak utama tawaran segar untuk rakyat.
Ia dapat direalisasikan, antaranya, melalui penghayatan Politik Baru. Ini harus bermula dengan menangani kekeliruan-kekeliruan dalam berpolitik. Antaranya ialah:
Ada pihak terkhilaf apabila mengaplikasi ayat-ayat al-Quran, contohnya, “…Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu…” (an-Nisa’: 59) dan “Dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai…” (al-‘Imran: 103) dengan maksud dan tujuan yang tidak tepat.
Ada pemimpin berasa masih sehebat dahulu. Tetapi terlupa yang kini beliau tidak lagi memiliki faktor-faktor yang menguatkannya itu, iaitu kuasa, kontijen pegawai dan dana. Secara sendirian, beliau sebenarnya tidaklah istimewa.
Ada pihak kurang menghayati makna dan kaedah perundingan dalam membuat keputusan-keputusan sama ada dalam organisasi ataupun dengan pihak-pihak luar (organisasi dan parti setara serta pihak atasan yang lebih berkuasa). Ia mendakwa melakukan perundingan, tetapi hakikatnya, apa yang dilakukannya tidak lebih daripada dumping, delegasi, anarki, manipulasi, tokenism, kosmetik dan window dressing sahaja ataupun sombong dan angkuh.
Ada pihak melakukan kesilapan. Bagi menutup kesilapan itu, ia mencipta naratif lain supaya seolah-olah ia bukannya kesilapan, tetapi hal yang lain, malah cuba dikatakan kononnya ia dilakukan bagi menegakkan prinsip dan sebagainya.
Ada pihak terlibat, secara langsung atau tidak langsung, ataupun mencetuskan operasi cucuk-mencucuk, termasuk menyebarkan surat layang. Apabila terdapat kandungan surat layang tersebut menyentuh perkara rahsia, contohnya, yang diketahui oleh A dan B sahaja, tetapi surat layang menuduh B sahaja, maka, timbullah persoalan tentang siapa yang membocorkan rahsia tersebut dan siapa di belakang surat layang tersebut.
Ada pihak lupa peringatan Islam tentang keburukan membuat fitnah (Zulkifli Mohamad al-Bakri, Bayan Linnas Siri Ke-182: Bahaya Fitnah), Hadith Sahih Muslim (1711) tentang mereka yang mendakwa darah dan harta orang ramai sebagai milik mereka, panduan al Quran tentang tabayyun (memastikan kesahihan) apabila berdepan berita yang dibawa orang fasik (al Hujurat: 6), serta pengajaran kisah anak-anak Nabi Yaakub memperdayanya kerana iri hati terhadap adik beradiknya, Yusuf, sehingga Yusuf hilang (kemudiannya diangkat sebagai Nabi Yusuf).
Ada pemimpin pick and choose, mendengar pendapat seorang dua sahaja, iaitu tidak mendengar pendapat keseluruhan anggota kepimpinannya. Ini menyebabkan kumpulan majoriti yang suaranya kurang diendahkan mengumpulkan bukti tentang ramainya mereka yang mempunyai pendapat yang kurang diendahkan itu.
(Bersambung minggu depan.)
Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan Menteri Luar Negeri.
Rencana ini telah diterbitkan di Sinar Harian 12 Sep 2025

Tiada ulasan:
Catat Ulasan