Sekutu utama Trump, Charlie Kirk ditembak mati di universiti AS
LOS ANGELES: Sekutu utama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Charlie Kirk yang juga seorang pempengaruh dan aktivis belia sayap kanan, ditembak mati dalam insiden 'pembunuhan politik', semalam.
Kejadian itu sekali gus mencetuskan kebimbangan akan peningkatan keganasan politik yang semakin buruk di AS.
Trump dalam hantaran melalui laman sosial Truth Social mengesahkan Kirk, 31, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah akibat serangan itu.
AFP melaporkan Kirk ditembak ketika berucap pada satu acara di Universiti Utah Valley.
Rakaman video di tempat kejadian menunjukkan beliau sedang berucap di hadapan khalayak ramai sebelum kedengaran bunyi satu das tembakan.
Kirk kemudian dilihat rebah ke atas kerusinya, manakala hadirin menjerit dan berlari dalam keadaan panik.
Penyiasat percaya tembakan das tunggal itu dilepaskan dari bumbung kampus oleh seorang yang dilaporkan berpakaian hitam, dalam insiden dipercayai adalah pembunuhan bersasar.
Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel, berkata seorang individu telah ditahan susulan kejadian itu.
Bagaimanapun, beliau kemudian memaklumkan bahawa individu terbabit sudah dibebaskan selepas disoal siasat, dan siasatan masih diteruskan.
Berikutan kematian Kirk yang disifatkan sebagai individu amat penting dalam lingkungan Trump, pemimpin itu mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang di semua bangunan kerajaan hingga Ahad ini. Bendera AS di Rumah Putih turut dikibarkan separuh tiang sejurus selepas arahan Trump itu.
"Tiada yang memahami atau memiliki jiwa belia di AS lebih daripada Charlie. Beliau disayangi dan dikagumi oleh semua terutama saya, dan kini beliau tiada lagi bersama kita," tulis Trump.
Dalam pada itu, Trump menyelar pihak didakwa berhaluan 'kiri radikal' susulan pembunuhan Kirk, sekali gus berikrar akan mengambil tindakan keras.
"Ini adalah detik gelap untuk Amerika," katanya yang kelihatan sugul ketika menyampaikan mesej dari meja beliau di Pejabat Oval, dalam satu rakaman video disiarkan melalui Truth Social.
Gabenor Utah, Spencer Cox pula menegaskan kejadian itu adalah pembunuhan politik dan ia merupakan hari yang tragik kepada AS.
Kirk mempunyai pengaruh besar dalam politik AS, malah memainkan peranan penting dalam membantu melonjakkan sokongan pengundi muda kepada Trump - antara faktor utama yang membawa kemenangan Trump pada pilihan raya tahun lalu.
Bapa kepada dua anak itu juga adalah pengasas bersama 'Turning Point USA' pada 2012 untuk memacu pandangan konservatif dalam golongan muda.
Sementara itu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan Kirk sebagai 'rakan Israel yang berani serta memperjuangkan ketamadunan Judeo-Kristian.'
"Saya baru bercakap dengannya dua minggu lalu dan menjemput beliau datang ke Israel. Malangnya, lawatan itu tidak akan berlaku," katanya sebagaimana dilaporkan REUTERS.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan