Lebih 20 pemimpin dunia berkumpul pada sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai
TIANJIN, China: Presiden Russia dan Belarus menyertai lebih 20 pemimpin Eurasia dalam satu majlis perasmian yang dihoskan oleh Presiden China, Xi Jinping, sempena hari terakhir sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang menonjolkan peranan utama Beijing dalam hubungan serantau.
Sidang kemuncak dua hari itu bermula semalam di pelabuhan utara China, Tianjin, beberapa hari sebelum perarakan tentera besar-besaran diadakan di ibu negara, Beijing, bagi memperingati 80 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua.
SCO dianggotai oleh China, India, Russia, Pakistan, Iran, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan dan Belarus, manakala 16 negara lain mempunyai status sebagai pemerhati atau "rakan dialog."
Majlis perasmian itu menyaksikan buat kali pertama semua pemimpin hadir secara serentak, dan Jinping dijadual menyampaikan ucapan khas.
Presiden Russia, Vladimir Putin tiba di Tianjin semalam bersama delegasi yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dan wakil perniagaan.
Jinping turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin-pemimpin lain termasuk Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, sekutu rapat Putin serta Perdana Menteri India, Narendra Modi yang melakukan lawatan pertamanya ke China sejak 2018.
Dalam pertemuan itu, Modi menyatakan komitmen India untuk memperkukuh hubungan berdasarkan 'kepercayaan bersama, maruah dan kepekaan'.
China dan India adalah dua negara paling ramai penduduk di dunia bersaing hebat dari segi pengaruh serantau dan pernah terbabit dalam pertempuran berdarah di sempadan pada 2020.
Hubungan antara kedua-dua negara mula beransur pulih sejak Oktober lalu selepas Modi dan Jinping bertemu di Russia, buat pertama kali dalam tempoh lima tahun.
Susulan itu, keselamatan diperketatkan di Tianjin dengan banyak jalan ditutup kepada lalu lintas dan kehadiran anggota polis yang ramai di sekitar bandar.
Poster rasmi mempromosikan SCO turut menghiasi jalan-jalan dengan mesej seperti 'manfaat bersama' dan 'kesaksamaan' dalam bahasa Cina dan Russia.
China dan Russia sering menggambarkan SCO sebagai alternatif kepada pakatan ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Sidang kemuncak kali ini juga adalah yang pertama sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kembali ke Rumah Putih.
Lebih 20 pemimpin termasuk Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dan rakan sejawatannya dari Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turut hadir dalam pertemuan terbesar SCO sejak ia ditubuhkan pada 2001.
Disamping itu, Putin dijangka mengadakan rundingan bersama Erdogan dan Pezeshkian bagi membincangkan isu konflik Ukraine serta program nuklear Iran.
Kebanyakan pemimpin yang hadir dijangka meneruskan lawatan ke Beijing pada Rabu ini bagi menyaksikan perarakan tentera sempena ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua, yang turut akan dihadiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan