Pentagon mulakan proses mencari kontraktor Golden Dome
WASHINGTON: Agensi Pertahanan Peluru Berpandu Pentagon memulakan proses pemberian kontrak bagi pelaksanaan sistem pertahanan peluru berpandu utama Presiden Donald Trump yang dikenali sebagai Golden Dome.
Menurut satu notis tender yang disiarkan pada Rabu, Golden Dome dilihat sebagai versi lebih besar lagi rumit berbanding sistem pertahanan Iron Dome milik Israel iaitu satu sistem pelindung peluru berpandu.
Ia mempunyai skop yang lebih luas tidak terhad kepada AS sahaja, membabitkan jaringan satelit yang mengorbit bagi melindungi kawasan lebih besar.
Kontrak berkenaan, dikenali sebagai Multiple Award Scalable Homeland Innovative Enterprise Layered Defense (SHIELD), adalah perjanjian penyampaian tidak terhad bernilai AS$151 bilion (RM636 bilion) selama 10 tahun.
Ia bertujuan mempercepatkan penghasilan dan penempatan teknologi pertahanan baharu untuk melindungi AS, pasukan tentera ditempatkan di luar negara, sekutu dan rakan-rakan daripada ancaman peluru berpandu balistik, hipersonik dan peluru berpandu jelajah benua (ICBM).
Penyerahan cadangan akan dibuat pada 10 Oktober, menurut buletin kerajaan yang diterbitkan Rabu lalu.
Struktur kontrak itu membolehkan Pentagon dan entiti lain di bawah Jabatan Pertahanan mengeluarkan arahan tugas dengan lebih pantas melalui satu mekanisme perolehan yang anjal, tanpa perlu mengadakan proses tender berasingan bagi setiap keperluan.
Pada dasarnya, kontrak SHIELD dijangka berfungsi bagi menyelaraskan keseluruhan perolehan, menurut wakil industri pertahanan.
Pihak industri menyatakan bahawa syarikat-syarikat kini sedang meletakkan diri untuk menjadi vendor yang diluluskan di bawah kontrak besar ini, yang dijangka diberikan kepada semua pembida yang layak, bukan hanya kepada beberapa syarikat terpilih.
Skop kerja merangkumi 19 bidang termasuk penyelidikan dan pembangunan awal, pengeluaran, ujian serta penyelenggaraan sistem senjata canggih.
Antara syarikat pertahanan utama seperti Lockheed Martin, Northrop Grumman, RTX dan Boeing dijangka akan menyertai projek Golden Dome ini kerana kepakaran masing-masing dalam sistem pertahanan peluru berpandu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan