TRUMP MANGSA
PERAS UGUT
Donald Trump Presiden Amerika yang ke 47 dilaporkan sebagai mangsa peras ugut. Apakah desas desus peras ugut ini masuk akal. Peras ugut memang wujud dalam kehidupan harian.
Kita selalu terbaca dan terdengar Si Anu dan Si Polan kena peras ugut. Bukan hanya di Amerika ada peras ugut. Di Malaysia juga ada berlaku peras ugut. Peras ugut istilah resmi – istilah Dewan Bahasa dan Pustaka. Lebih popular peras ugut di panggil pau. Mangsa peras ugut di kenali sebagai mangsa kena pau.
Pihak yang menjalankan peras ugut atau pau ini akan mendapat keuntungan. Tujuan memeras ugut ialah untuk mencari untung. Ada keuntungan politik dan ada keuntungan ekonomi. Garis bawahnya ialah untung dan laba.
Kes pemerasan politik boleh melibatkan penggunaan gambar, video rakaman rahsia, rakaman perbualan talipon untuk memburukkan pihak yang di ugut. Jika ahli politik yang di pau - ini bertujuan untuk memaksa keputusan politik yang akan menguntung tukang pau.
Ketua Negara atau Pak Menteri akan di pau melalui gambar, rakaman video atau dokumen yang akan memalu dan memburukan kedudukan mangsa. Mungkin juga Pak Menteri di pau untuk mendapatkan projek. Di pau untuk mendapat tanah untuk cari gali atau untuk mendapatkan konsesi negara.
Peras ugut ini menggambarkan bagaimana maklumat, pengaruh ekonomi dan ancaman geopolitik digunakan untuk memanipulasi atau memeras pelaku politik dan negara untuk kepentingan politik.
Tapi apakah masuk akal Donald Trump Ketua Agong Angkatan Tentera Amerika – sosok yang paling berkuasa di dunia ini menjadi mangsa pau. Sekali imbas pasti tidak meyakinkan. Tetapi media arus perdana Amerika terus melaporkan wujudnya berita Trump sedang kena pau.
Tukang pau ialah Netanyahu Perdana Menteri Israel. Jelas ini satu tuduhan yang amat serius. Apakah ada kebenaran?
Tuduhan peras ugut ini datang bukan hanya dari Tik Tok atau dari Penpengaruh yang mencari nama. Tidak. Tuduhan ini datang dari sosok-sosok yang berpengaruh.
Kolonel Douglas Macgregor yang pernah bertugas dalam NATO. Sosok ini pernah terlibat dalam perang Kosovo tahun 1998. Sesudah bersara Kolonel Macgregor menjadi Duta Amerika ke Jerman. Juga pernah bertugas sebagai Penasihat kepada Pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika. Jelas sosok ini bukan kecik anak.
Pada 8 September 2025 dalam Podcast Judge Napolitano bekas Kolonel ini berkata ‘ Netanyahu ada memegang sesuatu... untuk peras ugut Trump...’ Kata-kata ini muncul bila ditanya tentang pendirian Trump terhadap Gaza.
Perkara yang sama pernah di nyatakan oleh Ray MacGovern. Sosok ini bekerja sebagai Penganalisa CIA dari tahun 1963 – 1990. Kini bersara dan pada tahun 2003 mengasaskan lembaga VIPS - Veteran Intelligence Professionals for Sanity - untuk menjaga kepentingan bekas-bekas pegawai perisik CIA.
Ray MacGoveran tidak berlapik : ‘... Netanyahu is blackmailing Trump... Netanyahu sedang memeras ugut Trump....’ Ini juga bersangkutan dengan dasar Trump terhadap Palestin dan Gaza.
Pastilah sosok bekas penganalisa CIA ini tahu apa yang sedang berlaku. Ini kerana kerja peras ugut adalah sebahagian dari cara bekerja CIA dan lembaga risikan untuk mendapatkan maklumat.
Seorang lagi pemikir dan pembuat dasar luar Amerika Profesor Jefferey Sachs juga memiliki pendapat yang sama. Profesor ini pernah menjadi penasihat presiden Reagan dan Gorbachev. Sosok ini terlibat dalam penyelesaian Perang Dingin.
Pada 8 September 2025 dalam Judging Freedom Podcast dia telah di tanya apa pandangan terhadap peras ugut. Profesor Sachs menjawab ‘... peras ugut ini berlaku dalam politik Amerika semenjak dulu...apa yang kita ketahui Epstein ialah dia agen Mossad...dia mengumpul bahan pau untuk mengkompromi para politikus Amerika... kerana itu tertiba file itu dikatakan hilang... tanda tangan Trump dikatakan bukan tulisan Trump...ini amat menyedihkan...’
Malah Tucker Carlson personaliti media dan bekas Sauh Pengacara Fox News – penyokong kuat Trump juga merasakan bahawa Trump hari ini telah masuk ke dalam saku Netanyahu.
Masuk ke dalam saku Netanyahu inilah yang menjadi punca yang menimbulkan berita bahawa Presiden Amerika ini sedang menjadi mangsa pau Netanyahu.
Cukup mudah untuk memahami bagaimana peras ugut ini berjalan. Bahan ugut di rakam dan di kumpul oleh Epstein dan sampaikan kepada Mossad. Netanyahu Perdana Menteri Israel akan memberi tahu secara berseloroh bahawa dia telah menuntun babak Trump ‘bergumpal diatas katil ‘ di Rumah Tamu Epstein.
‘ Tapi jangan risau tuan Presiden ....saya akan beri arahan pada Mossad untuk memusnahkan bahan-bahan ini....‘ Khalas. Ayat pendek ini telah mencukupi untuk memasukan Trump ke dalam saku Netanyahu.
Berita Presiden Amerika kena pau oleh Mossad makin menjadi-jadi. Pertama apabila Trump mengarahkan Jabatan Peguam Negara Amerika untuk menemu bual Ghislaine Maxwell yang sedang menjalani hukuman 20 tahun penjara kerana menjadi Ibu Ayam.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kemudian telah mengeluarkan transkrip wawancara ini.
Dalam transkrip yang dikeluarkan Ghislaine Maxwell memuji Trump dan menegaskan bahawa dia tidak pernah melihat Trump terlibat dalam sebarang kelakuan lucah.
"Saya sebenarnya tidak pernah melihat Presiden Trump dalam apa-apa jenis suasana atas katil sedang di urut ," kata Ghislaine.
Apa yang memeranjatkan ialah sesudah temu bual ini dijalankan Ghislaine telah di pindahkan ke penjara yang lebih lumayan. Ini memperkuatkan teori bahawa Ghislaine sedang membantu membersihkan nama Trump. Untuk ini Ghislaine telah di hadiahkan penjara yang lebih lunak.
Apa yang lebih meyakinkan warga Amerika bahawa Trump sedang kena pau ialah dasar Trump dan tidak tanduk Trump terhadap apa yang sedang berlaku di Gaza.
Ketika ini Amerika menghadapi dua perang : Perang Ukraine dan Perang Gaza. Dasar dan tidak tanduk Trump terhadap Ukraine agak jauh berbeza dengan dasar Trump dengan Gaza.
Untuk Ukraine Trump mahu perang di tamatkan. Manakala untuk Gaza Trump seolah -olah tutup mata tidak ambil tahu apa yang sedang di lakukan Israel.
Genosid yang kini di kutuk oleh seluruh dunia tetapi Trump tidak memberi apa-apa komen. Malah dasar pro Israel Trump dalam politik Amerika makin menjadi-jadi. Beberapa buah universiti tersohor seperti Havard dan Yale telah di kenakan sekatan dana kerana di tuduh oleh Trump sebagai sarang pro-Palestin.
Paling akhir ialah melarang kemasukan delegasi Palestin ke New York untuk mengambil bahagian dalam persidangan tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam bulan September ini.
Apa yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin dan Gaza di lihat oleh Trump sebagai tindakan Israel mempertahankan diri. Malah Amerika di bawah Trump terus menghantar bantuan senjata kepada Israel.
Hakikatnya jika pagi esok Presiden Donald Trump membuat kenyataan mengarahkan Netanyahu memberhentikan serangan terhadap Gaza dengan serta merta pembantaian terhadap Palestin akan berhenti.
Jika esok pagi Presiden Donald Trump beri arahan agar semua pintu masuk di sempadan Israel di buka. Maka beratus-ratus lori yang tersadai di Rafah boleh masuk membawa bantuan makanan dan perubatan ke Gaza.
Jika esok pagi Presiden Donald Trump membuat kenyataan bahawa segala bantuan ketenteraan – senjata dan peluru dihentikan dari dihantar ke Israel. Dengan serta merta United Kingdom juga akan berhenti sama.
Tetapi semua ini tidak berlaku walau pun dari kajian dan pungutan suara kini lebih dari 35 % warga Amerika bersimpati terhadap Palestin.
Pada 28 Ogos 2025 Al-Jazeera melaporkan pungutan suara terbaru menunjukkan bahawa setengah dari pengundi di Amerika mengangap Israel sedang melakukan genosid. Berita yang sama juga melaporkan 6 dari 10 pengundi di Amerika menentang penghantaran senjata ke Israel.
Sehingga akhir Ogos dan awal September 2025, 147 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf sebuah negara Palestin. Jumlah ini termasuk ikrar baru-baru ini untuk mengiktiraf kenegaraan dari negara seperti Perancis, UK, Kanada dan Australia, yang akan diserahkan kepada Perhimpunan Agung PBB pada bulan September ini. Majoriti negara di Timur Tengah, Asia, dan Afrika sudah mengiktiraf Palestin.
Pada bulan September ini kita akan melihat bahawa persidangan PBB akan beralih dari New York ke Geneva di Switzerland. Ini untuk membolehkan wakil dari Palestin datang sama mengambil bahagian.
Semua yang sedang terpapar di hadapan mata kita menunjukan bahawa Amerika di bawah Trump kini terpencil bersendirian. Malah sekutu dan kawan setia Amerika di Eropah juga telah beralih kiblat untuk menyokong terdiri sebuah negara bernama Palestin.
Dengan semua yang terpampang Presiden Donald Trump masih enggan menarik diri dan mengubah haluan tentang Zionis Israel. Maka tidak dapat tidak berita bahawa Donald Trump sedang kena pau oleh Netanyahu diyakini.
Jelas lagi meyakinkan kenapa Trump terus mengikut telunjuk Netanyahu walau pun dunia sudah beralih. Jelas dan meyakinkan bahawa Netanyahu dan Mossad memilik bahan-bahan sulit yang akan mengkompromi status Trump sebagai Presiden.
Apa yang ada dalam file Epstein tidak kita ketahui. Apa yang akan kita ketahui ialah bila pengundian di ambil di Geneva dalam persidangan PBB September ini ialah 191 menyokong mewujudkan negara Palestin. Dua undi menolak – Israel dan Amerika.
Maka jelas dan terbukti bagaimana kuasa pau – kuas peras boleh mengalih geopolitik dunia. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI









Tiada ulasan:
Catat Ulasan