Israel usir empat aktivis GSF
BAITULMAQDIS: Israel semalam mengusir empat aktivis dari Itali, kumpulan pertama daripada ratusan yang ditahan terbabit dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) bagi menghantar bantuan ke Gaza.
Konvoi kemanusiaan itu tidak berjaya berlabuh di pantai Gaza selepas kapal terakhir kumpulan terbabit dipintas tentera rejim Zionis.
Menurut Kementerian Luar Israel, pihaknya mengusir empat aktivis warga Itali yang menyertai flotilla berkenaan, manakala selebihnya dalam proses pengusiran.
"Lebih 470 peserta flotilla telah ditahan oleh polis tentera, menjalani pemeriksaan ketat dan dipindahkan ke pentadbiran penjara," katanya.
Tentera laut Israel mula memintas bot berkenaan pada Rabu lalu.
Memetik laporan, tentera rejim Zionis semalam memaklumkan tentera laut bertindak menghentikan kesemua 42 kapal GSF itu dalam operasi yang berlangsung kira-kira 12 jam.
Kapal berkenaan kemudiannya dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel untuk diperiksa oleh polis.
Pihak berkuasa sebelum ini berkata, tiada kapal GSF berjaya menembusi sekatan maritim ke atas Gaza.
Marinette adalah kapal terakhir GSF dipintas pada jam 10.29 pagi semalam, kira-kira 42.5 batu nautika dari Gaza.
Tentera laut Israel bertindak memintas secara haram kesemua 42 kapal berkenaan, setiap satunya cuma membawa bantuan kemanusiaan, sukarelawan dan tekad memecahkan kepungan haram rejim Zionis ke atas Gaza.
Antara yang ditahan termasuk lebih 20 wartawan, menurut badan pemantau media Reporters Without Borders (RSF), termasuk wartawan dari akhbar El Pais (Sepanyol), Al Jazeera (Qatar) dan penyiar awam Itali, RAI.
Pintasan haram dilakukan Israel terhadap kapal terakhir GSF itu berlaku ketika mogok umum diadakan di seluruh Itali, sebagai tanda solidariti sehingga mencetuskan gangguan perkhidmatan kereta api dan trafik pelabuhan.
Kelmarin, protes besar-besaran meletus di seluruh dunia termasuk di Barcelona di mana tempat GSF memulakan pelayaran.
Sekitar 15,000 orang berarak sambil melaungkan slogan termasuk 'Gaza, kamu tidak keseorangan', 'Boikot Israel' dan 'Kebebasan untuk Palestin'.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan