Lebih baik jadi samseng daripada penakut hanya tahu tepuk tangan – Syauqi Ibnihajar
KUALA LUMPUR – Tidak mengapa kalau Pemuda UMNO bersuara lantang bela rakyat dianggap “samseng”.
Menurut Exco Pemuda UMNO, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad, lebih baik jadi samseng daripada jadi penakut hanya tahu tepuk tangan.
“DAPSY ni ibarat musang berbulu ayam, konon prihatin tapi sebenarnya jadi pembela Zionist dengan cuba halang suara yang menentang kekejaman mereka,” ujar beliau dalam hantaran di Facebook.
Tegasnya, Pemuda UMNO tak pernah jadi pengampu, sebaliknya akan terus bersuara demi maruah Malaysia dan Palestin, walau siapa pun terasa panas.
Beliau mengulas kenyataan DAPSY Kebangsaan yang mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh dan setiausahanya yang hanya ingin berlagak hero dan samseng serta tidak berniat untuk membantu pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelamatkan sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotila.
Kenyataan DAPSY itu dibuat selepas Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong berkata, sebagai pemuda jangan kita sesekali keruhkan keadaan, tambahkan masalah, berlagak hero, ataupun menatijahkan ahli keluarga pemangsa menjadi lebih rimas.
“Kalau tidak mampu membantu, mendoa-doakanlah agar semua tahanan khususnya warga Malaysia kekal selamat,” katanya.
Kah Leong membuat kenyataan tersebut selepas Dr. Akmal mendesak kerajaan membatalkan jemputan negara ke atas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, jika semua aktivis dan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditawan Israel tidak dibebaskan segera.
Menurutnya, Pemuda UMNO juga sedia menganjurkan himpunan besar-besaran untuk membantah kehadiran Trump ketika lawatan pemimpin itu ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, hujung bulan ini.
“Jika semua aktivis dan sukarelawan GSF terutama rakyat Malaysia tidak dibebaskan, kami mendesak kerajaan membatalkan jemputan Trump ke Malaysia atau kami Pemuda UMNO seluruh negara akan turun membantah di hadapan Trump secara besar-besaran ketika lawatannya ke Kuala Lumpur,” kata Dr Akmal. –

DAP musuh sendiri. Masa jadi pembangkang berani macam rimau. Macam macam aduan terhadap parti pemerintah. Bila dah jadi parti pemerintah, diam macam tikus. Takda ide langsung camna nak tadbir negara. Susah nak tukar DNA parti dari membangkang kepada memerintah.
BalasPadam