𝐀𝐧𝐚𝐥𝐢𝐬𝐢𝐬 𝐁𝐞𝐫𝐢𝐭𝐚 : 𝐏𝐞𝐫𝐣𝐚𝐧𝐣𝐢𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐠𝐚𝐧𝐠 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚-𝐀𝐒 𝐂𝐞𝐭𝐮𝐬 𝐊𝐞𝐛𝐢𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 ‘𝐊𝐞𝐝𝐚𝐮𝐥𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐄𝐤𝐨𝐧𝐨𝐦𝐢’
KUALA LUMPUR, 29 Okt 25 — Rundingan perjanjian perdagangan baharu antara Malaysia dan Amerika Syarikat kini mencetuskan gelombang kebimbangan dalam kalangan penganalisis dan ahli Parlimen, yang melihat langkah itu berpotensi mengorbankan dasar ekonomi bebas negara demi kelegaan sementara daripada tekanan tarif Amerika.
Menurut laporan Reuters, Malaysia kini menyasarkan kadar tarif “serendah mungkin” dalam rundingan dua hala dengan Washington, namun masih berdepan tekanan masa dan syarat berat sebelah yang belum dimuktamadkan.
Sumber diplomatik serantau pula menyifatkan pendekatan ini sebagai langkah “defensif” untuk mengelak sekatan perdagangan yang boleh menjejaskan eksport elektronik dan komoditi utama negara.
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS Malaysia) dalam satu analisis turut mengingatkan bahawa walaupun perjanjian itu kelihatan pragmatik, ia bersifat asimetri yakni memberi ruang lebih besar kepada syarikat dan piawaian Amerika untuk mempengaruhi dasar dalam negara.
“Konsesi yang dibuat bukan semestinya kelemahan, tetapi dalam jangka panjang boleh mengehadkan fleksibiliti Malaysia dalam menentukan peraturan pelaburan dan standard tenaga kerja,” menurut laporan analisis ISIS bertajuk The State of the Nation.
Di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Perikatan Nasional dan Blok Kerajaan, Hassan karim turut mendesak kerajaan mendedahkan butiran penuh perjanjian tersebut, termasuk mekanisme penyelesaian pertikaian dan peruntukan berkaitan data digital serta perolehan kerajaan.
Mereka bimbang syarat yang terlalu terbuka akan menyebabkan Malaysia hilang ruang untuk melindungi industri strategik tempatan.
Dengan landskap global yang semakin terpecah antara blok ekonomi Barat dan Asia Timur, Malaysia kini berdepan dilema: sama ada mengekalkan keseimbangan diplomatik atau berisiko menjadi sekadar pemain pinggiran dalam percaturan kuasa besar.
Perjanjian Malaysia–AS ini bukan sekadar urusan tarif atau eksport, tetapi mencerminkan cabaran struktur yang lebih mendalam — bagaimana negara bersaiz sederhana seperti Malaysia mempertahankan dasar ekonomi berdaulat dalam sistem perdagangan global yang didominasi kuasa besar.
Tanpa ketelusan dan strategi serantau yang kukuh, Malaysia berisiko meletakkan kedaulatan ekonomi dan keselamatan negara diambang percaturan geo-politik antarabangsa. Politiko.my

Tiada ulasan:
Catat Ulasan