Rabu, 29 Oktober 2025

MURID PANDAI BENCI SEKOLAH


ROTAN BUAT 

MURID PANDAI 

 PANDAI BENCI SEKOLAH

Kerajaan katanya mahu bawa balik rotan dalam sekolah. Katanya nak didik, nak disiplinkan. Hoi! Biar betul? Murid pergi sekolah setiap pagi dengan beg besar, kerja rumah bertimbun, tapi dalam hati satu soalan berlegar: “Hari ini kena rotan ke tidak?”

Saya tahu sebab saya pernah rasa. SJK (C) dulu, tiap kali masuk kelas macam masuk penjara. Salah sikit,  lambat salin nota, ejaan terlepas huruf, matematik tersilap — ZAAAP! Rotan singgah. Padahal budak-budak bukan robot. Kita cuba sebaik mungkin, tapi kalau cikgu sudah angin, habislah.

Soal Bias dan Kuasa Rotan

Siapa jamin cikgu tidak berat sebelah? Ada murid yang cikgu sayang, silap pun kena tegur manja. Ada murid yang cikgu tak berkenan muka, salah sikit kena belasah sampai birat. Bayangkan budak tujuh tahun kena hukum ikut rasa hati orang dewasa. Itu bukan disiplin, itu dendam peribadi.

ADHD, Autism dan Konon “Disiplin”

Lagi malang bila fikir budak-budak yang ada ADHD, autism, tapi belum diagnos. Mereka memang susah fokus, memang susah ikut tempo kelas. Kalau rotan jadi ubat segala masalah, maka budak macam ni lah jadi mangsa utama. Konon nak “disiplinkan”, padahal yang tinggal trauma. PTSD bukan cerita Amerika sahaja — cuba tanya generasi yang takut bau rotan sampai umur 30.

Soal Tanggungjawab

Kalau ada murid luka, ada murid trauma, siapa nak tanggung? Anwar? Fadhlina? Kerajaan? Atau macam biasa — semua lepas tangan, mak ayah disuruh faham, guru disuruh bela diri, dan budak? Budak kena hidup dengan parut. Inilah Malaysia Madani katanya. Madani kepala hotak kalau rotan jadi solusi.

Rotan = Budaya Hamba
Ketakutan tidak melahirkan murid bijak. Ia lahirkan murid yang pandai berpura-pura. Budaya rotan ini tak ubah macam zaman hamba — kerja sebab takut kena sebat, bukan sebab faham ilmu. Sekolah sepatutnya tempat murid rasa ingin tahu, bukan tempat murid jadi trauma centre.

Kerajaan Populis, Bukan Fakta

Kenapa tiba-tiba isu rotan naik? Sebab ikut netizen marah, ikut rentak populis. Politik gaya “like & share”. Tapi fakta? Mana kajian? Mana statistik? Dunia sudah bincang kaedah trauma-informed teaching, kita pula nak undur masuk balik zaman “rotan panjang macam joran.”

Amaran pada Kerajaan

Kalau kerajaan berani hidupkan balik budaya rotan, kerajaan juga kena berani tanggung risiko. Ada budak cedera, cikgu naik mahkamah, ada kes jenayah — jangan pandai-pandai salahkan murid atau ibu bapa. Ingat, kalau guru masuk penjara sebab rotan, itu salah sistem, bukan salah murid.

Jangan terkejut kalau lepas ni murid bawa “bodycam” ke sekolah — bukti sebelum kena rotan, macam polis trafik kena tahan. Atau mungkin jual lotion minyak gamat jadi lebih laris daripada buku teks. Inilah Malaysia — tempat trauma jadi bisnes.

Penutup
Rotan bukan jalan maju. Kalau kerajaan nak murid pandai, jangan buat murid pandai-pandai benci sekolah. Bagi fakta, bukan bagi rotan. Bagi kasih, bukan bagi parut.

TULISAN : 
Tobey Muda Mandiri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan